Manifesto Lapuk BN Sarawak

altSIBU 7 April – Barisan Nasional (BN) hari ini melancarkan manifestonya untuk pilihan raya negeri Sarawak ke-10 dengan tekad terus menjamin masa depan rakyat bersama kepimpinan parti pemerintah tersebut.
Menyempurnakannya di Kampung Bandung di sini, Pengerusi BN Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, manifesto yang ringkas itu membuktikan kerajaan BN mempunyai rekod-rekod baik pada masa lalu dalam memperjuangkan kehidupan rakyat sehingga berjaya pada hari ini. Kata beliau, segala jentera kerajaan digerakkan dengan baik selama ini untuk mengubah wajah Sarawak sebagai sebuah negeri yang maju.

”Sebelum membuat keputusan pada hari pengundian, saya berharap anda (pengundi) mendapat iktibar apabila mengimbas kembali setiap pencapaian dan usaha bersama kita selama ini untuk membangunkan Sarawak.

“Kita mahu menjadi maju setaraf seperti Singapura, Jepun, Eropah dan Amerika, maka inilah tujuan kita di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

”Datuk Seri Najib mahu memastikan Wawasan 2020 yang diilhamkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dapat dicapai. Maka peliharalah bentuk kepimpinan sedia ada supaya Sarawak dapat melaksanakan pembangunannya secara terancang,” kata beliau dalam ucapannya.

Abdul Taib turut mengingatkan rakyat, parti pembangkang tidak ada keupayaan untuk membentuk kerajaan yang baik dan fakta itu diperkukuhkan lagi dengan senario sebelum pilihan raya yang sudah menampakkan pertelagahan sesama sendiri dalam memilih calon.

”Pakatan pembangkang bergaduh sesama sendiri, bahkan sudah berminggu-minggu mereka mengaturkan soal calon dan akhbar-akhbar menyiarkan mereka bergaduh besar mengenai pemilihan calon sehinggakan Snap tidak lagi mahu bersama dalam barisan pembangkang.

”Selain itu, kita boleh nampak calon-calon yang dipilih untuk bertanding oleh pembangkang, jelas sekali menunjukkan kualitinya tidak disesuaikan dengan apa yang dilaung-laungkan iaitu melaksanakan pemerintahan yang boleh menunaikan janji dan menjalankan program membantu rakyat,” ujar beliau.

Kata Abdul Taib: “Tiada pembangunan dapat dilaksanakan tanpa wawasan untuk maju kerana ia ibarat belayar ke laut tanpa sebarang peta.”

Sumber : Utusan Online, 08/04/2011

Manifesto BN Sarawak : Mimpi indah pilihanraya

Tan Sri Abdul Taib Mahmud nampaknya begitu bersungguh-sungguh di dalam berkempen sempena pilihanraya umum Sarawak kali ini. Sistem yang ada akan terus dipertahan dan bahkan akan memastikan hasrat Perdana Menteri dan wawasan bekas Perdana Menteri sebelum ini dapat direalisasikan. Sehingga ingin menjadikan Sarawak seperti Singapura, Jepun, Amerika dan negara Eropah yang lain. Tidakkah Taib Mahmud melihat apakah sedang berlaku di negara-negara kufur tersebut? Krisis ekonomi yang sedang melanda Amerika dan Eropah adalah bukti bahawa sistem ekonomi kapitalis adalah lemah dan rapuh. Walaupun ekonomi Jepun boleh dianggap makmur tetapi apalah maknanya jika ia terpaksa tunduk kepada kehendak Amerika? Apakah dia tidak nampak kehidupan rakyatnya di kawasan luar bandar?

Terdapat laporan yang menyatakan masih wujud kemiskinan di kalangan rakyatnya dengan kadar yang secara relatifnya masih tinggi. Kemudahan asas di kebanyakkan penempatan amat menyedihkan sehingga ada yang masih tidak mempunyai bekalan air sempurna dengan hanya bergantung kepada air hujan dan sungai. Manakala di sesetengah kawasan pula kemudahan jalan raya amat menyedihkan terutama di kawasan luar bandar.  Jadi, mampukah BN Sarawak mencapai cita-cita menggunungnya itu atau sekadar gula-gula pilihanraya?

Jika keadaan tersebut berterusan, pasti sukar untuk mencapai matlamat dan hasrat tersebut. Namun, persoalannya adalah, apakah yang dilakukan oleh kepimpinan Taib Mahmud selama dia memerintah? Bumi kenyalang yang begitu luas dan kaya dengan hasil bumi seperti minyak, gas, kayu balak dan lain-lain lagi masih gagal memberikan kemakmuran kepada rakyatnya. Mengapa demikian? Ya, ini adalah kerana kekayaan-kekayaan tersebut hanya berlegar di kalangan orang-orang tertentu di Sarawak. Padahal kekayaan-kekayaan tersebut adalah milik rakyat dan setiap sen daripada hasil keuntungan mesti dipulangkan kepada rakyat. Rasulullah bersabda;

 “Dari Ibnu Abbas r.a, bahawa Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Kaum Muslimin bersyarikat (berkongsi) dalam tiga perkara iaitu air, padang ragut dan api” [HR Abu Daud].

Ibnu Majah juga meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a, bahawa Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,

“Tiga hal yang tidak akan pernah dilarang (dari manusia memanfaatkannya) adalah air, padang ragut dan api” [HR Ibnu Majah].

Namun apa yang terjadi ialah, hampir semua keuntungan hasil bumi ini dikaut oleh syarikat- syarikat konsesi dan bukannya dijadikan pemilikan umum. Wahai penduduk Bumi Kenyalang! Tiada apa yang lebih baik daripada manifesto BN berbanding dengan Islam. Di bawah sistem Islam, penduduk Sarawak pastinya akan menikmati segala kebajikan, keselamatan serta keperluan asas mereka akan disempurnakan. Malahan dengan penerapan Islam serta segala kebaikan yang ada di dalam pelaksanaannya pasti akan melenyapkan segala kesengsaraan dan ketidakadilan di dalam pengagihan kekayaan hasil bumi. Wallahu a’lam.