Maruah dan keyakinan diri wanita ada dengan Islam, bukan dengan Miss/Mrs Plus World Malaysia!
Penganjuran Miss/Mrs Plus World Malaysia 2020 (MPWM2020) mengundang bantahan daripada pelbagai pihak yang melihatnya sebagai suatu yang bertentangan dengan syariat Islam. Ada pertubuhan yang menentang program tersebut yang akan berlangsung pada 2 Januari depan kerana ia tidak bermanfaat dan menyuburkan budaya hedonistik. Tidak kurang juga yang membuat permintaan ‘pelik’ misalnya mendesak penganjur menggugurkan perkataan “Miss/Mrs” kerana bertentangan dengan ketetapan yang dibuat oleh institusi agama di negara ini berhubung penganjuran pertandingan ratu cantik.
Sementara itu, ada pula yang mempertahankan penganjuran program MPWM2020 ini, dan sudah pasti termasuk peserta finalis pertandingan itu sendiri. Menurut salah seorang daripadanya, para peserta tidak perlu berpakaian seksi atau memperagakan bentuk tubuh dalam pertandingan ini. Tambahan pula, menurutnya platform berkenaan banyak membantu wanita bersaiz besar mencari dan membina keyakinan diri sendiri [Malaysiakini, 22/12/2020].
Krisis keyakinan diri sebegini semakin ketara di saat amalan body shaming begitu berleluasa baik dalam alam nyata mahupun di alam siber. Perbuatan mengejek atau merendah-rendahkan orang yang mempunyai bentuk tubuh yang gemuk seringkali menyebabkan individu yang tidak mempunyai bentuk tubuh yang tubuh ‘ideal’ berasa disisihkan dan hilang keyakinan diri.
Amalan buruk sebegini muncul dengan berlatarbelakangkan persepsi umum dalam masyarakat hari ini yang meletakkan paras rupa dan bentuk tubuh yang cantik sebagai suatu yang sinonim dengan kejayaan dan keyakinan diri yang tinggi.
Perkara ini diburukkan lagi dengan tindakan kelompok kapitalis yang mengeksploitasi persepsi sebegini demi melariskan penjualan produk-produk kecantikan, mencerahkan kulit, dan melangsingkan tubuh yang mereka keluarkan. Tubuh badan yang dikatakan ‘ideal’ ini diperagakan demi menarik minat pembeli, khususnya wanita. Namun perlu ditegaskan bahawa lelaki juga tidak terkecuali daripada menjadi sasaran kelompok kapitalis ini. Kesannya bukan sekadar pada psikologi semata-mata, bahkan boleh mengundang mudarat kepada kesihatan apabila produk-produk yang tumbuh ibarat cendawan diambil tanpa mengambil kira kesan sampingannya.
Dalam pada itu, muncul pula permintaan yang tinggi terhadap pembedahan-pembedahan kosmetik bagi mencantikkan fizikal. Pastinya pembedahan-pembedahan seperti ini dikelolakan oleh pakar bedah dan pakar bius yang berkemahiran. Sedangkan kepakaran dan sumber yang ada ini sepatutnya boleh dimanfaatkan bagi memberikan perkhidmatan rawatan dan pembedahan yang lebih kritikal dan memerlukan.
Sebagai respons kepada masyarakat yang dibelenggu persepsi serong sebegini, muncullah sekelompok gerakan atau inisiatif yang bertujuan untuk membela serta meningkatkan keyakinan diri golongan yang tidak mempunyai fizikal yang ‘ideal’ ini. Maka muncullah istilah seperti ‘plus size’ bagi mengikis persepsi serong ini. Namun sebenarnya inisiatif sebegini turut berpaksikan persepsi yang sama, iaitu dengan meletakkan fizikal sebagai ukuran (meskipun disandarkan pada ‘standard’ ideal yang berbeza), dan orientasinya hanyalah satu iaitu keuntungan.
Tanpa disedari, usaha sebegini mulai mendapat tempat termasuklah dalam kalangan umat Islam dan Muslimah khasnya. Sedangkan Islam telah sekian lama mengangkat martabat, memelihara maruah, dan membina keyakinan diri para Muslimah. Tidak perlu kepada penganjuran program seperti ini untuk mencapai kesemua itu.
Pertamanya, Islam dengan tegas melarang sebarang bentuk pertandingan kecantikan, meski pesertanya memperagakan busana yang menutup aurat, bertudung atau berjubah sekalipun. Penutupan aurat bukanlah tiket untuk membenarkan hal ini, kerana isunya di sini ialah pertunjukan atau peragaan itu sendiri, yang mengandungi banyak keharaman di dalamnya. Dalam pada itu, Islam juga melarang perbuatan tabarruj, iaitu mengenakan pakaian yang berhias dan menarik perhatian umum. Firman Allah (swt):
قَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الْأُولَىٰ ۖ
“Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah berhias dan bertingkah laku seperti orang jahiliyah yang dahulu…” [Al-Ahzab (33): 33].
Kedua, Islam melarang perbuatan menghina atau merendah-rendahkan orang lain, termasuklah menghina atau merendah-rendahkan bentuk tubuh seseorang. Firman Allah (swt):
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِنْ قَوْمٍ عَسَىٰ أَنْ يَكُونُوا خَيْرًا مِنْهُمْ وَلَا نِسَاءٌ مِنْ نِسَاءٍ عَسَىٰ أَنْ يَكُنَّ خَيْرًا مِنْهُنَّ ۖ وَلَا تَلْمِزُوا أَنْفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ ۖ بِئْسَ الِاسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الْإِيمَانِ ۚ وَمَنْ لَمْ يَتُبْ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah suatu kaum menghina kaum yang lain, (kerana) boleh jadi mereka (yang dihina itu) lebih baik daripada mereka (yang menghina), dan jangan pula wanita-wanita (merendah-rendahkan) wanita lain (kerana) boleh jadi wanita-wanita (yang dihina itu) lebih baik daripada wanita (yang menghina) dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri dan janganlah kamu panggil- memanggil dengan gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah (panggilan) yang buruk sesudah beriman dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim” [Al-Hujurat (49): 11].
Dalam sebuah peristiwa diriwayatkan bahawa Abdullah ibn Masud (ra) pernah ditertawakan oleh para sahabat (ra) kerana melihat betisnya yang kurus ketika beliau sedang mengambil ranting untuk dijadikan siwak. Rasulullah (saw) bertanya, “Apa yang membuat kalian tertawa?”
“Kedua-dua betisnya yang kecil, wahai Nabi Allah,” jawab mereka.
Lalu Rasulullah (saw) bersabda;
“Demi Dzat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sungguh kedua-dua betis itu lebih berat ditimbangkan dengan Gunung Uhud di Mizan (Hari Pertimbangan) nanti” [HR Ahmad].
Ketiga, ukuran kemuliaan dan darjat seseorang itu adalah berdasarkan keimanan dan ketakwaannya, bukan rupa paras atau bentuk fizikalnya. Firman Allah (swt),
وَلَا تَهِنُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَنْتُمُ الْأَعْلَوْنَ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ
“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman” [Ali Imran (3): 139].
Maka, tidak selayaknya para Muslimah meletakkan martabat mereka begitu rendah dengan tunduk serta memperakukan persepsi serong yang menyandarkannya kepada bentuk fizikal mahupun rupa paras. Sesungguhnya Allah (swt) telah pun memuliakan kaum Muslimah dengan Islam, dan Islam sudah cukup bagi mereka untuk membina sebarang keyakinan tanpa perlu ragu-ragu, dan tanpa perlu berpegang kepada perkara lain.
Apa yang perlu diubah adalah cara berfikir Muslimah itu sendiri dan juga persepsi serong mana-mana orang terhadap kaum wanita, bukannya dengan mengadaptasi dan menganjurkan program-program yang memperkukuhkan lagi sudut pandang yang meletakkan fizikal sebagai ukuran kejayaan dan martabat.
Dalam pada itu, tidak bererti bahawa kesihatan fizikal itu tidak perlu diberikan perhatian. Perlu dibezakan antara mengagungkan bentuk fizikal dengan menjaga kesihatan fizikal. Islam tidak menghalang individu daripada memastikan fizikalnya sihat dan ‘ideal’, baik melalui aktiviti senaman mahupun pemakanan.
Begitu juga, larangan tabarruj tidak bererti Islam mengabaikan aspek kebersihan dan kekemasan. Namun semua itu hendaklah selari dengan batas-batas syarak. Menghias diri untuk suami adalah dibenarkan, dan menjaga bentuk badan yang ideal untuk menjaga kesihatan atau untuk kelihatan puas di mata suami juga adalah dibenarkan.
Apa yang salah dan haram ialah Muslimah menunjukkan dan memperagakan bentuk tubuh kepada orang lain, baik bentuk tubuh yang ideal atau yang gemuk, kedua-duanya adalah haram. Dan apa yang lebih haram lagi ialah penganjuran atau terlibat dalam acara Miss/Mrs Plus World atau apa sahaja namanya, kerana ia merupakan sebuah “pertunjukan badan wanita” untuk dipertontonkan kepada seluruh manusia. Hakikatnya penganjuran pesta-pesta maksiat seperti ini hanyalah sebuah “produk” Kapitalis yang ingin mengaut kepentingan dengan mengeksploitasi wanita, dalam apa bentuk sekalipun.
Wallahu a’lam.