Mas kahwin dan wang hantaran – permudahkanlah!
Insiden pergaduhan antara dua keluarga pengantin di Masjid Siti Khadijah, Pantai Dalam baru-baru ini telah mengejutkan masyarakat, khususnya mereka yang beragama Islam. Menurut berita yang telah disiarkan oleh Kosmo, insiden pergaduhan berpunca ekoran kegagalan pihak lelaki mencukupkan wang hantaran sebanyak RM15,000. Manakala maklumat dari pihak perempuan pula mengatakan insiden bukan disebabkan hantaran, tetapi kerana keceluparan pengantin lelaki dan kegagalan membawa mas kahwin (mahar).
Kedua keluarga pengantin sudah tentu tahu punca sebenar perbalahan dan bagi kita yang tidak mengetahuinya, tidak perlulah menyalahkan atau menghukum mana-mana pihak atau memburukkan lagi keadaan. Namun, ada kebaikan yang boleh diambil dari peristiwa ini untuk dijadikan pengajaran kepada semua pihak agar perkara yang tidak diingini seperti ini tidak berulang kepada yang lain.
Persoalan ‘wang hantaran’ telah lama mendominasi adat perkahwinan di Malaysia dan semakin lama, jumlah wang hantaran semakin mahal seiring dengan peningkatan kos hidup. Tidak dinafikan bahawa wang hantaran memang menjadi beban yang sungguh berat, khasnya kepada lelaki, sehingga tidak sedikit bilangan pengantin lelaki yang terpaksa berhutang dalam usaha mencukupkan wang hantaran. Lebih memburukkan keadaan apabila keluarga perempuan sering masuk campur dan meminta wang hantaran yang tinggi, apatah lagi kalau anak perempuan mereka mempunyai ijazah atau berkerjaya.
Walaupun ramai penceramah agama yang sering memberi nasihat dan sering perli keluarga perempuan dalam hal ini seperti orang yang ‘menjual’ anak, namun sebahagian besar masyarakat tidak mengendahkannya. Alasan yang biasa diberikan ialah wang tersebut digunakan untuk tujuan kenduri yang memerlukan belanja yang besar.
Jika benar insiden seperti yang berlaku di Pantai Dalam itu berpunca dari wang hantaran yang tidak mencukupi, maka di sinilah setiap Muslim perlu sedar bahawa wang hantaran itu hanya merupakan adat yang tidak termasuk dalam rukun atau syarat sah nikah. Dirikanlah dulu ‘masjid’ dengan seadanya walaupun hantaran tidak mencukupi dan permudahkanlah urusan yang baik ini agar dapat mempersatukan kaum Adam dan Hawa dengan sebuah ikatan suci yang akan membahagiakan keduanya.
Persoalan mahu mengadakan kenduri besar-besaran atas alasan apa sekalipun, hal ini boleh diketepikan terlebih dahulu, kerana syarat-syarat yang wajib itu perlu didahulukan berbanding dengan yang sunat atau mubah. Justeru, jika telah cukup syarat-syarat wajibnya, alangkah baiknya jika hal itu terus dilaksanakan, berbanding menuntut pelaksanaan perkara yang tidak wajib sehingga bernatijah kepada pembatalan dan pergaduhan yang tidak sepatutnya.
Sesungguhnya urusan perkahwinan ini adalah sesuatu yang mulia dan perlu disegerakan demi menutup pintu khalwat dan zina. Namun, perkahwinan dalam Islam bukanlah untuk memenuhi syahwat semata-mata, tetapi bertujuan untuk melestarikan kejadian manusia dengan jalan yang diredhai oleh Allah SWT, di samping menjadi jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah (taqarrub ila Allah) apabila kedua-duanya menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT. Melalui perkahwinan yang baik, pasangan akan merasakan kehidupan yang sakinah, mawaddah wa rahmah (tenang, berkasih sayang dan rahmat) sebagaimana mana firman Allah SWT,
“Di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untuk kalian isteri-isteri dari jenis kalian sendiri supaya kalian cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikanNya di antara kalian rasa kasih dan sayang” [TMQ al-Rum (30):21].
Bagi lelaki yang ingin bernikah, sudah pasti memerlukan mahar (mas kahwin) yang wajib diberikan kepada bakal isterinya. Dia hendaklah bersedia dengan mahar yang mampu baginya dan tidak perlulah ‘bercakap besar’ demi menjaga ego, jika dia memang tidak mampu. Perlu diingat bahawa Islam sedikit pun tidak memberatkan urusan ini, malah Islam menggalakkan wanita agar meletakkan mas kahwin yang ‘mudah’, tidak kiralah berupa wang atau lain-lain barangan. Malah boleh sahaja mas kahwin itu berupa bacaan ayat-ayat suci al-Quran. Sabda Rasulullah SAW,
“Wanita yang paling besar mendatangkan berkah adalah yang paling mudah maharnya” [HR al-Hakim dari jalur Aisyah.
Namun, ini tidak bermaksud yang si perempuan tidak boleh meletakkan mas kahwin yang tinggi. Jika bakal suami adalah seorang yang kaya, maka RM15,000 malah jika RM100,000 sekali pun merupakan suatu yang mudah baginya, maka silakan berapa pun mas kahwin untuk ditetapkan.
Satu lagi perkara penting yang wajar diberi perhatian dalam hal ini ialah peranan negara. Negara sepatutnya mempermudahkan dan membantu urusan perkahwinan, sebagaimana yang dilakukan oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang menawarkan wang dari Baitul Mal kepada sesiapa sahaja yang memerlukan wang untuk kahwin. Inilah peranan negara dalam membantu pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga tetapi tidak mampu dari segi kewangan. Keadaan ini sudah pasti tidak akan berlaku pada hari ini dalam sebuah negara yang mana pemerintah tidak mempedulikan rakyatnya, tetapi Insya Allah tatkala berdirinya Khilafah sedikit masa lagi, kita akan dapat menyaksikan semula hal ini.
Wallahu a’lam.