Politik wang Kapitalisme

Amalkan politik matang

KUALA LUMPUR 31 Ogos – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sudah tiba masanya semua pihak khususnya mereka yang berstatus pemimpin mengamalkan politik yang lebih matang demi masa depan negara lebih cemerlang.  Perdana Menteri berkata, sekarang bukannya waktu untuk mereka berdebat atau mengupas sesuatu isu secara retorik kerana perbuatan seperti itu tidak akan memberi faedah terhadap usaha memajukan negara.  ”Dalam proses Malaysia memasuki fasa menuju ke arah negara maju selepas 52 tahun merdeka, kita harus sedar bahawa banyak cabaran dan rintangan yang terpaksa kita hadapi.
Dunia sekarang telah berubah dan menuntut kita bekerja lebih keras. ”Oleh itu untuk berhadapan cabaran serta perubahan yang berlaku, negara amat memerlukan amalan politik yang lebih matang. Elakkan sebarang perdebatan dan perkara yang bersifat retorik,” katanya dalam blog 1Malaysia di sini hari ini.  Perdana Menteri berkata, saranannya itu amat berkait rapat dengan usaha kerajaan untuk membina kekuatan dan semangat yang tinggi di kalangan rakyat dan pemimpin negara ini dalam mencapai cita-cita tersebut.  ”Negara ini kita akan wariskan kepada generasi akan datang dan saya amat berharap dengan kerjasama semua pihak tidak kira kaum kita mampu menyediakan negara yang mempunyai masa depan lebih cerah untuk mereka,” katanya. Dalam pada itu Najib berkata, erti kemerdekaan amat bermakna buat dirinya kerana beliau membesar ketika negara baru mencapai kemerdekaan daripada British.  ”Saya lahir empat tahun sebelum negara merdeka. Pada masa itu negara ini masih baru dan muda dan saya menyaksikan bagaimana negara ini mengalami perubahan. Saya akui semangat patriotik saya amat tinggi.  ”Saya juga adalah anak kepada salah seorang Perdana Menteri dan anak saudara kepada seorang lagi Perdana Menteri. Semangat patriotik mereka mengalir ke dalam diri saya. Seperti mana mereka, saya juga berjanji dan berjuang untuk kesejahteraan negara ini,” katanya.  Sementara itu beliau berkata, usia 52 tahun merdeka bukan satu masa yang panjang tetapi dalam tempoh tersebut Malaysia berjaya mengecapi pelbagai kejayaan antaranya daripada negara berteraskan pertanian kepada negara berasaskan pembuatan serta perkhidmatan.  ”Begitu juga dengan kejayaan kerajaan mengurangkan kadar kemiskinan. Pada tahun 1957, lebih sebahagian rakyat kita hidup dalam keadaan miskin tetapi pada masa ini kurang daripada empat peratus mereka yang hidup dalam keadaan miskin.  ”Usaha ini (pembasmian kemiskinan) akan diteruskan dan kejayaan ketika menurunkan kadar kemiskinan adalah hasil daripada tumpuan kerajaan meningkatkan taraf hidup rakyat melalui pendidikan serta kesihatan.

Sumber: Utusan Malaysia 31/08/09

Amalkan Politik Matang??

Apakah bentuk politik matang yang dimaksudkan oleh Najib? Apakah dengan amalan politik Kapitalisme sepertimana hari ini? Bukanlah satu kesilapan sekiranya kita mengatakan bahawa ramai para pemimpin hari ini tidak pernah merasa kesusahan dan penderitaan rakyat yang disengsarakan oleh sistem Kapitalisme semenjak kejatuhan Khilafah. Ini tidak terkecuali di Malaysia. Dunia menjadi saksi bahawa dalam dunia politik Kapitalisme tidak wujud kesengsaraan dalam kehidupan para pemimpin dan kroninya. Yang sengsara adalah rakyat. Dalam amalan politik Kapitalisme siapa yang paling pandai memanipulasi keadaan dan paling cekap menggunakan kaedah matlamat menghalalkan cara, maka mereka itulah ahli politik yang bijak. Bagi pengamal politik Kapitalisme, kuasa politik itu adalah batu loncatan bagi mengaut kekayaan sebanyak mungkin. Apakah terlampau hebat kejayaan negara 52 tahun selepas “merdeka”? Ya, mungkin kita berbangga dengan KLCC, KLIA, PLUS, jambatan Pulau Pinang dan segala macam pembangunan material yang lain, namun hakikatnya kita telah gagal dalam ‘membangunkan’ manusia. 

Sebagai contoh, selepas 52 tahun merdeka, kita masih jauh dari penyelesaian dalam masalah perkauman. Demontrasi di Seksyen 23 Shah Alam tempoh hari merupakan sebahagian dari manifestasi kegagalan ini. Begitu pula dalam pelbagai aspek lain yang melibatkan hak-hak kehidupan manusia yang wajib dipenuhi. Faktanya sistem pendidikan dan kesihatan yang diamalkan dalam dunia Kapitalisme hari ini termasuklah di Malaysia, hanya memungkin golongan kaya sahaja untuk menikmati perkhidmatan yang terbaik. Di kebanyakan dunia kapitalism, jika seseorang itu ingin mendapatkan perkhidmatan kesihatan atau pendidikan yang terbaik maka galang gantinya adalah kemampuan seseorang itu untuk membayar perkhidmatan tersebut dengan wang. Kalau adapun negara kapitalis yang mengamalkan konsep negara sosial, dengan perkhimatan kesihatan dan pendidikan percuma, galang gantinya adalah bayaran cukai yang cukup membebankan dan zalim. Tidakkah  ini  bermakna kerajaan kapitalis di mana sahaja di dunia ini berniaga dengan rakyat sebenarnya? Yang kuat menindas yang lemah. Apakah ini politik matang yang dimaksudkan Najib????