Masalah Integriti: Ayuh Kembali pada Syariat Islam

Sudah acap kali kita dengar tentang kisah masalah integriti, baik berkaitan dengan rasuah mahupun kegiatan lain. Awal April yang lalu, seorang anggota polis dihadapkan ke Mahkamah atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah, lima tahun lalu. [UTUSAN MALAYSIA 6/4/2021]

Mengikut kamus dwibahasa Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) 1985 integriti ialah “kejujuran dan ketulusan”. Ini bermaksud integriti adalah sifat “jati diri” yang merangkumi juga keikhlasan, keterbukaan, ketelusan, amanah, tidak mudah dipengaruhi, boleh dipercayai, boleh pegang cakapnya dan lain-lain. Malah, Islam sendiri menjadikan setiap perbuatan seseorang adalah terikat dengan hukum syarak. Ini bermakna bahawa sebelum melakukan sesuatu perbuatan, seorang muslim wajib mengetahui pandangan hukum syarak mengenai perbuatan tersebut.  Allah SWT  berfirman, “Maka demi Tuhanmu, Kami pasti akan menanyai mereka semua. Tentang apa yang telah mereka lakukan.” [TMQ Al-Hijr (15):92-93].

Jika dikaitkan dengan berita diatas, kita dapati bahawa ianya berlaku antara lain disebabkan oleh sikap individu itu sendiri. Jawatan yang disandang tidak dipandang sebagai satu amanah, tetapi sebagai peluang untuk meraih keuntungan dan kekayaan peribadi. Amanah yang seharusnya digalas telah dicemari dengan sifat tamak dan rakus. Hasilnya, individu tersebut berhadapan dengan masalah integriti dan tidak menggambarkan imej polis yang sinonim dengan slogan bersih, cekap dan amanah ini.

Namun, faktor individu bukanlah satu-satunya pencetus kepada isu ini. Ini kerana individu yang merupakan sebahagian dari anggota masyarakat akan turut dipengaruhi atau dibentuk oleh persekitaran atau sistem kehidupan tertentu. Jika sistem tersebut dibentuk dengan asas yang bersumber dari wahyu, iaitu akidah Islam, maka setiap individu itu akan menyedari bahawa setiap tindakannya akan dinilai dengan pahala dan dosa serta kesan perbuatannya akan dibalas di akhirat kelak.

Namun sebaliknya, jika sistem itu lahir dari akidah sekularisme seperti demokrasi yang bertunjangkan pemisahan agama dari kehidupan, maka individu yang terhasil adalah individu yang tidak berasa bersalah dan berdosa kerana aspek sedemikian tidak diambil kira ketika dia melakukan perbuatannya di dunia. Malah sistem ini juga mengiktiraf kebebasan bertingkah laku. Ini secara tidak langsung mendorongnya untuk bersifat materialistik dengan sentiasa mementingkan harta dan kebendaan asalkan kepuasan peribadinya tercapai. Malah mereka sentiasa melihat ruang bagi meraih peluang yang sukar diperolehnya dengan jalan jujur. Sistem yang rosak ini telah mengakibatkan individu tidak segan silu melakukannya bagi memenuhi keperluan yang tidak dapat dipenuhi sehingga mereka langsung tidak memikirkan hukuman yang bakal dikenakan keatasnya dan juga tidak mampu membezakan halal dan haram terutamanya dalam menyediakan nafkah yang halal untuk seisi keluarga. Sedangkan mereka sebagai kakitangan yang diamanahkan untuk memberikan keamanan dan keselamatan sepatutnya menjadi contoh kepada rakyat dan tidak menyalahgunakannya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah SWT mencintai seseorang yang apabila mengerjakan suatu pekerjaan, dilakukannya dengan penuh kesungguhan (itqan).” (HR al-Baihaqi)

Meskipun begitu, sebenarnya masalah integriti dalam kalangan masyarakat mampu diatasi dengan kembalinya masyarakat kepada syariat Islam yang sebenarnya. Masyarakat hendaklah melaksanakan ajaran Islam sepenuhnya dan bukan hanya mengambil Islam sekadar keperluan yang boleh dipilih-pilih sesuai dengan selera masing-masing. Dalam syariat Islam, setiap perkara yang diharamkan akan dicegah dari awal hingga ke akar-akarnya agar tidak merosakkan masyarakat seperti masalah dadah, rasuah, pecah amanah dan banyak lagi tindakan salah laku yang tidak berkesudahan dalam sistem demokrasi. Pelaksanaan Islam secara keseluruhan hanya mampu direalisasikan di bawah naungan Daulah Khilafah Islamiah. Sistem kehidupan di bawah naungan Islam ini telah terbukti menjamin kehidupan yang sejahtera selama lebih kurang 1300 tahun lamanya.   Wallahu’alam.

Siti Banun