Maut dibelasah pemabuk, tapi pemerintah tetap biarkan arak

Seorang lelaki berusia 45 tahun maut dibelasah oleh sepasang adik-beradik yang dipercayai mabuk di Petaling Jaya. Kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati seorang daripada suspek selepas ditegur oleh mangsa kerana meminum arak dan mabuk ketika mereka menaiki lif bersama, menurut kenyataan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid yang dipetik media tempatan [BH Online, 9/10/22].

Ini bukanlah kali pertama arak menyebabkan kematian, dan yang pastinya bukan juga kali terakhir sekiranya industri arak tetap dibiarkan beroperasi. Kejadian ini merupakan antara natijah yang muncul akibat industri arak yang berleluasa di negara ini.

Walaupun telah banyak kritikan dan muhasabah diberikan terhadap kerajaan agar menutup kilang arak, namun manfaat ekonomi terus menjadi pilihan mereka berbanding ketakutan mereka kepada dosa. Firman Allah (swt);

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِنْ نَفْعِهِمَا

“Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya” [TMQ al-Baqarah (2): 219].

Selagi kerajaan tidak menerapkan hukum Allah, selagi itulah kita akan terus membaca khabar duka kematian dan kecederaan yang berpunca daripada arak. Pergaduhan, kemalangan dan kematian khususnya akibat pemandu mabuk sudah menjadi fenomena biasa di Malaysia, yang tidak diambil peduli lagi oleh kerajaan. Itulah arak, selain memudaratkan diri sendiri dari sudut kesihatan, sosial dan sebagainya, mudaratnya turut terkena ke atas orang lain yang tidak berdosa.

Dapatan daripada Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (National Health and Morbidity Survey, NHMS 2019) menunjukkan bahawa 11.8% (iaitu 1 daripada 10) rakyat negara ini meminum minuman beralkohol; 1 daripada 2 peminum minuman beralkohol meminum secara mudarat sehingga mabuk (binge drinking) dan 1 daripada 10 meminum sehingga mabuk (heavy episodic drinking) setiap minggu.

Arak diminum secara berleluasa dan terbuka di Malaysia kerana hal ini dibenarkan oleh negara. Kerajaan nampaknya tidak pernah puas memuaskan nafsu serakah mereka dengan cukai keuntungan daripada industri arak sehingga halal-haram dan dosa sudah tidak lagi menjadi pertimbangan.

Padahal arak jelas merupakan satu keharaman dan negara menanggung dosa kerana membenarkan industri arak serta air kencing syaitan itu secara meluas.

Ketika turunnya wahyu pengharaman khamar, para sahabat dengan segera taat dan patuh, malah terus memecahkan semua tempayan dan kendi-kendi arak, tanpa apa-apa alasan, tanpa dolak-dalih dan tidak bertangguh-tangguh sedikit pun.

Meskipun arak dibenarkan untuk diminum oleh penganut agama lain, namun syarak telah mengharamkan penjualannya secara terbuka, apatah lagi pada skala industri! Syarak menetapkan bahawa orang-orang kafir dibenarkan untuk meminum arak selama hal itu dilakukan tanpa mengganggu ketertiban awam (nizamul ’am).

Orang-orang kafir dibenarkan meminum arak selama dilakukan dalam kehidupan khusus mereka, bukan dalam kehidupan umum iaitu di tempat kaum Muslimin ada bersama mereka, seperti di pasar umum dan lainnya [An-Nabhani, Muqaddimah ad-Dustur].

Tragedi pergaduhan yang diakibatkan dua pemabuk ini bukan sahaja mengganggu nizamul ‘am, bahkan telah menyebabkan melayangnya nyawa, yang mana kesalahan ini langsung tidak boleh dipandang ringan dalam Islam. Malangnya sudah berapa banyak nyawa yang melayang tetapi pemerintah tetap memejamkan mata.

Dalam Islam, kewujudan kilang atau industri arak tidak akan dibenarkan sama sekali dan sekiranya ada usaha oleh pihak-pihak tertentu untuk mewujudkannya, maka mereka akan dikenakan uqubat (hukuman). Orang-orang yang terlibat dengan rantaian arak, baik Muslim mahupun kafir akan dihukum oleh negara:

لَعَنَ رَسُوْلُ اللهِ ص فِى اْلخَمْرِ عَشَرَةً: عَاصِرَهَا وَ مُعْتَصِرَهَا وَ شَارِبَهَا وَ حَامِلَهَا وَ اْلمَحْمُوْلَةَ اِلَيْهِ وَ سَاقِيَهَا وَ بَائِعَهَا وَ آكِلَ ثَمَنِهَا وَ اْلمُشْتَرِيَ لَهَا وَ اْلمُشْتَرَاةَ لَهُ

“Rasulullah (saw) melaknat dalam hal khamar sepuluh pihak: yang memerahnya, yang diperahkan untuknya, yang meminumnya, yang membawanya, yang dibawakan untuknya, yang menuangkannya, yang menjualnya, yang memakan harganya, yang membeli dan yang dibelikan untuknya” [HR Tirmizi dan Ibnu Majah].

Sudah masanya untuk kaum Muslimin menolak pemerintah dan sistem yang mereka terapkan pada hari ini kerana bukan sahaja bertentangan dengan Islam, malah terbukti memudaratkan rakyat.

Wallahu a’lam.

Sumber:

[1] Anggota RELA maut dibelasah dua beradik

(https://www.bharian.com.my/berita/kes/2022/10/1010441/anggota-rela-maut-dibelasah-dua-beradik)

[2] National Health and Morbidity Survey 2019