Mavi Marmara ketuai flotila baru – Mana bantuan ketenteraan?

altIsrael risau wakil 50 negara bakal rempuh sekatan Gaza, minta bantuan Turki

ANKARA: Kapal Mavi Marmara yang pernah diserang komando Israel ketika membawa bantuan ke Gaza Mei tahun lalu, sekali lagi mengetuai angkatan 15 buah kapal dalam misi kemanusiaan baru ‘Freedom Flotilla 2’ ke Gaza bulan depan. Misi terbaru itu menimbulkan kebimbangan Israel yang sudah meminta Turki menghentikan usaha terbaru melanggar sekatan ke atas Gaza.

Akhbar Israel, Haaretz melaporkan, duta negara itu ke Turki, Gaby Levy, secara rasmi meminta diplomat Turki menghalang flotila bantuan itu yang dijadual memulakan pelayaran bulan depan dan berkata kedatangan konvoi berkenaan adalah sama dengan provokasi ke atas Israel. Mavi Marmara diserang komando Israel Mei tahun lalu, menyebabkan sembilan orang terbunuh, manakala berpuluh lagi cedera. Insiden itu menyebabkan hubungan tegang antara Tel Aviv dan Ankara. Levy memberi jaminan kapal berkenaan akan dibenar memasuki Semenanjung Gaza melalui ‘saluran sah’ tetapi tidak menjelaskan sama ada Israel bersedia menggunakan kekerasan atau keganasan. Langkah diambil selepas laporan media memberi isyarat bahawa Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu sedang menimbang membenarkan kapal bantuan itu belayar ke Gaza, jika mereka bersetuju diperiksa pasukan antarabangsa sebelum ketibaannya. Bagaimanapun, tiada sebarang keputusan rasmi dibuat mengenainya setakat ini.

“Kerajaan Israel mengancam untuk menyerang flotila bantuan baru ini dan kami menggesa semua kerajaan yang terbabit, masyarakat antarabangsa dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar tidak tunduk kepada keganasan Zionis,” kata penganjur misi dalam satu kenyataan. Sumber politik Israel menyatakan, tiada sebarang perubahan dalam dasar membabitkan konvoi bantuan itu, manakala Tel Aviv tetap menyifatkan flotila ke Gaza sebagai ‘musuh dan pengganas’. Penganjur misi Kapal ke Gaza,Vaggelis Pissias, dalam satu sidang media di Athens berkata, persediaan berjalan lancar setakat ini dan kapal bantuan dijangka memulakan pelayaran akhir bulan depan. Misi bantuan terbaru akan membawa peserta dari 50 negara dalam usaha memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza. Beliau berkata, atas sebab keselamatan, penganjur tidak mendedahkan jumlah sebenar kapal yang belayar tahun ini atau dari mana pelayaran akan dimulakan, walaupun berkata sebelum ini bahawa 15 buah kapal akan ikut serta berbanding enam tahun lalu. Sementara itu, aktivis Greece, Dimitris Plionis, berkata dalam misi kali ini akan membawa pelbagai barang termasuk bahan binaan dan produk farmaseutikal. – Agensi

Sumber : Berita Harian Online

 

Mana bantuan ketenteraan?
Apabila para sukarelawan menghantar bantuan kemanusiaan buat kali kedua ke wilayah Gaza, ia cukup menggusarkan Israel. Mungkin mereka bimbang sekiranya mereka membuat kesilapan buat kali kedua dan mengundang kecaman dunia. Namun persoalan yang seharusnya ditanya, manakah bantuan ketenteraan yang sepatutnya dihantar ke wilayah Gaza untuk menghadapi serangan tentera Israel?

Kalau tentera Saudi Arabia dikerahkan ke Bahrain untuk menyuraikan tunjuk perasaan, kenapakah tentera yang sama tidak boleh dihantarkan ke Gaza untuk melindungi Gaza daripada serangan tentera Israel? Sekiranya suatu gerakan seperti Hizbollah boleh mempertahankan Lebanon daripada pencerobohan Israel, maka kenapakah tentera Saudi Arabia yang sama tidak boleh berbuat suatu yang lebih baik daripada tentera Hizbollah?

Para penguasa kaum Muslimin tidak menahan bantuan kemanusiaan dari dihantar ke Gaza menerusi laluan laut, tetapi sekiranya ada segerombolan tentera sukarela yang terlatih yang tidak terikat dengan mana-mana negara umat Islam, yang hendak ke Gaza untuk berjihad, maka sudah tentu mereka akan ditahan oleh tentera kerajaan masing-masing.

Semua ini menunjukkan bahawa para penguasa kaum Musliminlah yang merupakan halangan utama bagi sebarang usaha untuk membebaskan wilayah umat Islam daripada penguasaan Israel. Hakikatnya,  Israel hidup dan diperkuatkan oleh para penguasa umat Islam ini. Maka tidak harianlah apabila terletus tunjuk perasaan di negara-negara Arab, ia cukup menggusarkan Israel yang begitu bimbang sekiranya negeri-negeri umat Islam ini tumbang satu persatu dan Khilafah muncul dari debu-debu kejatuhan ini.

Wa Allahu A’lam