Ketakutan Di Sebalik Percaturan Ketenteraan Amerika di Asia Pasifik

US ArmadaPengalihan tentera Amerika ke Asia Pasifik memang sudah dirancang sekian lama oleh mereka. Sebelum ini, mereka lebih tertumpu di benua Eropah dengan menempatkan banyak aset ketenteraan dan bilangan anggota tentera di sana, tetapi perpindahan arah kekuatan ketenteraan mereka ini pastinya memiliki beberapa sebab. Pada bulan Jun yang lalu, Setiausaha Pertahanan Amerika, Leon Panetta berkata semasa beliau berada di persidangan keselamatan di Singapura, “Amerika akan mengekalkan enam kapal pengangkut pesawat di Asia Pasifik dan akan mengalihkan 60% kapal perang ke kawasan ini bermula tahun hadapan sehingga 2020”. Beliau memberitahu bahawa pemindahan ini adalah di dalam konteks untuk melaksanakan strategi baru untuk meningkatkan pengaruh ketenteraan Amerika di rantau Asia Pasifik. Apakah alasan Amerika untuk bergerak ke arah strategi baru ini? Apakah matlamat yang ingin mereka perolehi?

Salah satu sebab kenapa Amerika mengalihkan kekuatannya ke rantau ini adalah kerana kedudukan geografinya yang sangat strategik. Di kawasan inilah adanya Selat Melaka yang merupakan selat yang tersibuk di dunia yang menghubungkan di antara laut China Selatan dan Lautan Hindi. Ia merupakan laluan perdagangan utama dunia bagi kapal-kapal perdagangan untuk membawa segala jenis produk dan kelengkapan dari Barat ke Timur, begitu juga sebaliknya. Selain itu, di kawasan ini juga terdapatnya negara-negara yang memiliki kepentingan terhadap Amerika seperti Jepun, Korea Utara, Korea Selatan, China dan Taiwan.

Dalam keadaan China yang cuba menyaingi Amerika dari segi ketenteraan, pastinya keberadaan mereka di sekitar Pasifik akan sedikit sebanyak memberi tekanan kepada China. Ini adalah penting bagi Amerika terutamanya dalam menghalang China untuk mendominasi kawasan-kawasan yang kaya dengan sumber tenaga di Timur Jauh seperti di Laut China Selatan yang kaya dengan sumber petroleum. Ini bagi memastikan sumber tenaga di kawasan ini akan sentiasa berada di bawah pengaruh mereka sebagaimana yang berlaku di Timur Tengah. Di sini juga terdapat beberapa kawasan yang masih menjadi pertikaian di antara negara di sekitar Laut China Selatan seperti Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei, Filipina dan Vietnam yang pastinya akan menjadi alasan yang kukuh untuk Amerika terus campur tangan di kawasan ini.

Selain itu, Amerika  yang menempatkan armada tenteranya di segenap pelusuk dunia bermula dari Lautan Pasifik, melalui Selat Melaka ke Lautan Hindi, sehinggalah ke Laut Arab dan Laut Merah adalah kerana kebimbangan mereka akan bangkitnya satu kuasa baru yang akan menyaingi mereka iaitu Negara Khilafah. Ini adalah kerana, dari segi perkiraan mereka, kawasan ini adalah sangat berpotensi untuk lahirnya Khilafah kali kedua kerana di sinilah terdapatnya lebih daripada separuh populasi umat Islam. Dengan perkembangan baru di Timur Tengah serta kebangkitan umat Islam di seluruh kawasan ini sudah pastinya amat membimbangkan mereka. Amerika sememangnya tidak mampu untuk menghalang kebangkitan ini. Apa yang mereka hanya mampu lakukan sekarang adalah bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan-kemungkinan yang bakal berlaku ini.

Dalam keadaan Amerika yang semakin melemah dengan ditambah dengan kegawatan ekonomi mereka yang tidak pernah nampak penghujungnya, strategi untuk meregangkan ketenteraan mereka di kawasan yang lebih luas sudah pasti akan menyulitkan lagi keadaan mereka. Berbanding dengan kedudukan umat Islam yang sedia ada yang strategik serta terdapatnya sumber tenaga yang mampu menidakkan kebergantungan dengan negara-negara lain, ini dengan pastinya akan melemahkan lagi Amerika ke tahap yang paling kritikal, melainkan terdapatnya pengkhianat di kalangan penguasa umat Islam.

Semoga mimpi ngeri Amerika ini akan segera menjadi kenyataan dengan izin Allah dan kemuliaan itu akan kembali ke pangkuan umat Islam, insyaallah. Wallahu a’lam.

Sumber : Utusan Online, 21/12/2012