Rasuah Bantuan untuk Demokrasi – Madu Berintikan Racun

altG8 tawar RM60 bilion kepada negara Arab – Hadiah jatuhkan pemimpin kuku besi, pilih demokrasi

DEAUVILLE: Negara Kumpulan 8 (G8) akan menawarkan AS$20 bilion (RM60 bilion) dalam bentuk ikrar bantuan dan komitmen kepada negara Arab yang menumbangkan pemerintah kuku besi untuk membina kerajaan baru berteraskan sistem demokrasi.

Pemimpin Mesir dan Tunisia bertemu di Normandy semalam bersama Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dan pemimpin G8 lain serta pemimpin Kesatuan Eropah (EU) yang berdebat mengenai saiz sumbangan kepada Mesir dan Tunisia yang belum stabil. Pegawai Eropah berkata, angka global ikrar bantuan itu adalah AS$$20 bilion. Tidak diketahui wang berkenaan akan disalurkan ke mana atau sama ada angka terbabit membabitkan wang yang sudah dijanjikan.

Amerika dan Eropah berkata, masih terlalu awal untuk menegaskan angka tetapi mereka akan mengatur satu rangka umum untuk menggalakkan pelaburan dan pertumbuhan.

“Mereka berkata masalah utama mereka adalah ekonomi. Mereka perlukan sedikit sokongan.

“Saya rasa mereka sudah bersedia. Mari lakukan apa saja untuk bantu Arab. Saya rasa mereka akan berjaya,” kata Presiden Suruhanjaya Eropah, Jose Manuel Barroso kepada pemberita semalam selepas pertemuan dengan pemimpin Tunisia dan Mesir.  IMF memberitahu pemimpin G8 bahawa mereka bersedia meminjamkan sehingga $35 bilion (RM315) kepada negara mengimport minyak di Asia Barat dan Afrika Utara bagi membantu memenuhi pertumbuhan, kestabilan, peluang kerja dan meningkatkan standard kehidupan.

IMF berkata Tunisia, Mesir dan negara bukan pengeluar minyak lain di rantau itu mungkin perlukan lebih AS$160 juta (RM480 juta) secara keseluruhan dalam kewangan sepanjang 2013.

Perancis sedia menawarkan kepada Mesir lebih AS$250 juta (RM750 juta) setahun dalam bantuan pembangunan dan Britain berikrar untuk meluaskan bantuannya kepada Asia Barat dan Afrika Utara dalam usaha untuk memberi tekanan kepada rakan G8 bagi mengeluarkan wang mereka.

Pemimpin G8 juga berdebat bagaimana untuk melawan Libya daripada pergerakan pro demokrasi yang melanda negara sekitar Asia Barat dan Afrika.

Keganasan di Libya lebih membimbangkan pemimpin Amerika, Perancis, Britain, Russia, Jerman, Jepun, Itali dan Kanada berbanding masalah hutang dan pengangguran.

Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi perlu undur dan penduduk Libya perlu masa depan demokratik,” kata Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy. – AP

Sumber : Berita Harian Online, 28/05/2011

Rasuah Bantuan untuk Demokrasi – Madu Berintikan Racun

Kuffar Barat berlumba- lumba untuk meraih buah daripada revolusi rakyat di dunia Arab. Buah yang dipetik hasil daripada darah para pejuang revolusi ini cuba untuk dieksploitasi oleh kuffar Barat. Tangan Barat yang cuba untuk “memberi bantuan” ini merupakan tangan sama yang telah menjaga kepentingan diktator seperti Ben Ali dan Mubarak selama ini. Apakah pemimpin umat Islam masih buta dan tuli akan hakikat ini? Kali ini, dengan tema bantuan pembangunan dan kemanusiaan, ia adalah tidak lebih daripada muslihat yang bakal menjerat umat Islam sekiranya pemimpin umat Islam menerima madu berinti racun ini. Kaum imperialis Kapitalis ini tidak akan memberikan sesuatu secara percuma, melainkan ia memiliki agenda dan manfaat yang hendak diraih. Ini merupakan perkara pokok dalam ideologi Kapitalis yang memandang bahawa manfaat yang maksimum merupakan tujuan utama yang perlu diraih dalam sesuatu tindakan.

Oleh itu, segala bantuan yang hendak diberikan, pastinya memiliki tujuan yang hendak dicapai meskipun ia dinamakan bantuan kemanusiaan. Dengan menawarkan bantuan kewangan sebagai imbalan untuk demokrasi yang akan diguna pakai oleh pemimpin umat Islam, ia merupakan suatu perkara yang amat keji. Ia keji kerana demokrasi yang ditawarkan itu, merupakan racun yang akan mematikan kebangkitan umat Islam, malah ia bakal mengundang murka Allah. Demokrasi yang bertunjangkan idea kebebasan ini akan menjadikan umat Islam semakin terpuruk, serta menjadikan mereka santapan yang lazat kaum kuffar. Bantuan yang sebenarnya hutang ini bakal mencengkam umat Islam sekira mereka menerimanya.

Mengapa perlu memilih demokrasi sedangkan umat Islam memiliki Islam sebagai panduan? Mengapakah tidak memilih sistem Khilafah yang telah terbukti selama 1300 tahun memberi kemakmuran kepada dunia  untuk diterapkan? Demokrasi yang didukung oleh Amerika serta konco- konconya yang cuma berusia sekitar 100 tahun ini telah terbukti membuat kerosakan di seluruh dunia. Ingatlah bahawa kuffar tidak akan redha kepada umat Islam selama mana umat Islam tidak mengambil mereka (kuffar) sebagai ikutan!

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan pernah redha kepada kamu hingga kamu mengikuti langkah mereka.” [TMQ al-Baqarah (2):120]