MEB : Swasta Untung, Rakyat Bagaimana?
KUALA LUMPUR 25 Mac – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak syarikat swasta dan pihak industri bekerjasama rapat dengan kerajaan bagi menjayakan ekonomi berpendapatan tinggi melalui Model Ekonomi Baru (MEB) yang bakal diumumkannya tidak lama lagi.
Perdana Menteri berkata, misi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara perdagangan yang kompetitif bukan hanya terletak pada bahu kerajaan semata-mata tetapi ia perlu disokong pihak swasta dan industri.
“Kerjasama rapat ini penting bagi memastikan negara memiliki tenaga kerja mahir dan produk yang berkualiti bagi membolehkan kita bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya sempena malam Anugerah Kecemerlangan Industri 2009, di sini malam ini.
Sumber : Utusan Malaysia 26/03/10
Secara tidak langsung, kenyataan ini membuktikan bahawa kerajaan yang memerintah tidak lagi mampu untuk meningkatkan prestasi ekonomi negara ke tahap yang lebih mampan dan berdaya saing. Tanpa segan silu, kerajaan merayu kepada pihak swasta untuk kerjasama bagi membantu untuk menambahbaikan mekanisme ekonomi dan perekonomian negara. Adakah ini bermakna, bahawa ekonomi negara hanya dapat diselamatkan melalui kerjasama daripada pihak swasta? Adakah MEB hanya akan berjaya dengan bantuan daripada pihak swasta?
Begitulah cara kepimpinan kerajaan kapitalis yang menyandarkan kemajuan ekonomi dan perekonomian kepada jalinan usahasama dengan pihak swasta. Ia sebenarnya akan membawa malapetaka kepada rakyat. Ini adalah kerana usahasama tersebut akan membuka peluang pihak swasta untuk turut memainkan peranan di dalam pemerintahan kerajaan/negara. Sekiranya negara sudah tidak mampu mentadbir dan memimpin, maka pihak swasta sudah pasti menuntut haknya dengan mengambil alih setiap ‘pelaburannya’ dalam ruang ‘kerjasama’ ekonomi dengan negara tersebut. Akhirnya, negara yang sepatutnya mentadbir dan menjaga kepentingan rakyat telah melepaskan tanggungjawabnya dan menggadaikannya kepada pihak lain yang akan menyebabkan berlakunya monopoli di dalam setiap sektor keperluan kehidupan sehingga menjadikan rakyat menderita. Inilah salah satu usaha yang dikatakan kompetitif menghancurkan rakyat.
Ekonomi Islam memisahkan skop perekonomian berdasarkan hukum pemilikkan. Sesuatu harta yang dimiliki oleh individu baik berupa harta bergerak mahupun selainnya, maka pengelolaan keatasnya terpulang kepada individu mahupun suatu ikatan perkongsian (syarikat), itupun masih tertakluk kepada hukum pengelolaan yang telah ditetapkan syarak. Bagi pemilikkan negara pula, negaralah yang akan mengelolanya berdasarkan pendapat dan ijtihad Khalifah. Bentuk kerjasama dengan mana-mana pihak yang dapat menggugat bidang kuasa ekonomi daulah Islam adalah suatu yang dilarang kerana hukum pemerintahan itu berada di bawah tanggungjawab Khalifah dan tidak bergantung dengan kerjasama pihak yang lain. Berdasarkan hukum syarak, Khalifah – berdasarkan pendapat dan ijtihadnya – membayar kos pengelolaan kepada pihak yang mampu mengelola suatu industri atau perusahaan selama mana daulah sendiri tidak memiliki kemampuannya. Semua keuntungan daripada hasil pengelolaan akan diurus oleh Daulah untuk kepentingan rakyat. Di sini, pihak yang mengelola ( samada syarikat swasta ataupun individu) hanya mendapat upah mengelola yang bersifat tetap dan bukan mendapat bahagian daripada keuntungan daripada hasil mengelola. Ini tidak akan menjadikan rakan kongsi daulah berpeluang untuk campurtangan dalam bidang kuasa Khalifah apatah lagi untuk menggadaikannya demi ‘KDNK’ atau kekayaan pihak tertentu.