Media Gathering Bersama Rakan-Rakan Media Dari  Shah Alam

Bahagian Media Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia telah mengadakan Media Gathering bersama dengan rakan-rakan media dari Shah Alam, bertempat di Marwilis Book Cafe,  Shah Alam,  Selangor.

Dalam pertemuan kali ini, sempena Maal Hijrah 1437H, para hadirin membincangkan isu berkenaan Hijrah dan fenomena hijrah di Malaysia.

Pn Rojana dari Bahagian Media MHTM memulakan dengan mengimbau kebiasaan sambutan maal hijrah di Malaysia. Adakah ia menepati dan sesuai dengan kehendak syarak? Pn Aliya (Ketua Lajnah I’lamiyah MHTM ) menjelaskan definisi syarie hijrah adalah keluar dari darul kufur menuju darul Islam, namun realiti sambutan maal hijrah pada hari ini kebanyakannya tidak mengarah kepada maksud hijrah yang sebenar, iaitu keberadaan “Daulah Islam” (Khilafah). Walhal realitinya negara kita pada hari ini bukanlah negara Islam, berdasarkan syarat-syarat wajibnya sebuah negara Islam.

Selain itu rakan-rakan media turut berkongsi tentang nuansa hijrah di Malaysia, seperti “penghijrahan” individu ke arah yang lebih baik, misalnya dalam aspek menutup aurat. Tidak dinafikan telah menjadi fenomena di Malaysia menggunakan istilah tersebut dalam menggambarkan satu fasa perubahan ke arah yang lebih baik. Namun, sewajarnya seluruh kaum Muslimin memahami serta menerima definisi hakiki  hijrah serta berusaha ke arahnya.

Pn Aliya turut menambah bahawa seseorang Muslimah misalnya berada dalam dilema atau tidak memahami dengan jelas tentang kewajipan mengenakan hijab syarie disebabkan oleh pelbagai faktor. Di antaranya adalah kegagalan sistem pada hari ini untuk menerapkan Islam kaffah, menyebabkan pengetahuan agama yang sepatutnya wajib, hanya menjadi pilihan. Justeru, menyebabkan pengetahuan tentang hukum syarak itu terbatas. Di samping itu pengaruh idea liberalisme turut menjadi ancaman dalam mencemari pemikiran Muslimah tentang kewajipannya. Walhal,  jika negara menerapkan sistem Islam,  pastilah umat Islam akan terpelihara pengetahuan agamanya serta tindak tanduknya, serta tidak terkeliru serta terbius oleh idea liberalisme.

Seterusnya, Dr Ainul (Ahli Lajnah I’lamiyah MHTM ) turut menjelaskan bahawa media yang memiliki kemampuan yang ampuh dalam penyebaran turut memainkan peranan dalam menyebarkan maklumat yang benar (dakwah) serta mendidik masyarakat tentang Islam. Selain itu,  salah faham tentang hijrah juga berpunca dari kegagalan sistem pendidikan yang tidak menekankan pendidikan agama pada setiap individu, sehinggakan sistem pendidikan sekarang gagal membentuk ketakwaan individu,  misalnya dalam kewajipan memakai tudung oleh Muslimah. Bahkan pada hari ini, kebanyakan Muslimah menutup aurat bukan sebagaimana kehendak syarak, mereka bertabarruj,  memakai tudung tapi berpakaian ketat dan sebagainya. Maka, tidak hairanlah generasi pada hari ini tidak memahami hukum syarak sepenuhnya.

Rakan media,  Puan Ida turut berkomentar bahawa ibu bapa juga merupakan pihak bertanggungjawab dalam mendidik anak. Apabila anak-anak tidak didik dengan ajaran Islam yang benar,  ia turut menjadi punca kepada permasalahan gejala sosial yang lain.

Antara isu lain yang turut menjadi topik perbincangan adalah isu kenaikan harga tol yang turut memberi impak kepada masyarakat. Khususnya golongan berpendapatan rendah. Kenaikan harga tol bukanlah perkara remeh kerana ia memberi kesan kepada ekonomi sedia ada.

Di akhir perbincangan, dapat disimpulkan bahawa perlunya penghijrahan hakiki umat kepada Islam kaffah sebagai solusi penting. Justeru, perlunya satu usaha oleh umat Islam untuk melaksanakan HIJRAH berdasarkan ertinya yang hakiki.

Semoga pertemuan ini dapat membina ukhwah islamiyah serta mewujudkan kerjasama yang berterusan  antara pihak media dan Media MHTM.

 Muslimah_Gambar media gathering 2Muslimah_Gambar media gathering 1