Melahirkan Generasi Mujahid
Oleh : Aslah
Mendidik generasi Mujahid adalah satu tujuan mulia yang memerlukan pendekatan yang teliti dan menyeluruh. Generasi Mujahid ialah generasi yang memiliki daya kepimpinan, semangat juang yang tinggi, serta keberanian yang luar biasa. Generasi inilah yang telah menjadi sebahagian daripada identiti umat Islam sejak zaman Rasulullah SAW, utusan terakhir Allah SWT, pemilik seluruh alam.
Oleh itu, menjadi kewajipan bagi kita untuk meneladani cara Rasulullah SAW dalam membentuk generasi ini. Dalam al-Quran, Allah SWT sendiri telah mengakui bahawa kekasih-Nya, Rasulullah SAW, adalah contoh teladan terbaik untuk diikuti, sebagaimana firman-Nya:
لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّـهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik.” [TMQ al-Ahzab(33):21]
Rasulullah SAW memulakan usaha dengan menanamkan ketakwaan kepada para sahabat melalui pemikiran Islam yang jelas dan selari dengan fitrah manusia. Hasilnya, lahirlah pemahaman Islam yang kukuh dan menyeluruh dalam jiwa mereka. Baginda kemudian mengajarkan pendidikan al-Quran yang dipenuhi dengan kisah para rasul dan umat terdahulu, yang menjadi pedoman serta iktibar dalam menghadapi kehidupan.
Selain itu, Rasulullah SAW sendiri menjadi teladan terbaik melalui perbuatan dan sikapnya, yang dijadikan panduan dalam membentuk keperibadian serta akhlak mulia para sahabat. Akhirnya, hasil didikan ini melahirkan sebuah persekitaran yang unggul dalam membina generasi Mujahid, yang kemuncaknya adalah berdirinya negara Islam Madinah.
Semua ini boleh dijadikan panduan bagi ibu bapa dalam mendidik anak-anak yang hebat, membentuk generasi Mujahid. Langkah pertama adalah menanamkan ketakwaan, iaitu rasa takut dan tunduk kepada Allah SWT. Didikan ini boleh dimulakan dengan memperkenalkan anak-anak kepada Rabb yang menciptakan diri mereka dan seluruh alam semesta. Hakim meriwayatkan dari Ibnu Abbas RA bahwa Rasulullah SAW bersabda,
إفْتَحُوا عَلَى صِبْيَانِكُمْ أَوَّلَ كَلِمَةٍ بِلا إِلَهَ إِلا اللَّهُ ، وَلَقِّنُوهُمْ عِنْدَ الْمَوْتِ لا إِلَهَ إِلا اللَّهُ (رواه البيهقي في شعب الإيمان)
“Ajarkanlah kalimat Laa ilaaha illallah kepada anak-anak kalian sebagai kalimat pertama, dan tuntunkanlah mereka (mengucapkan) Laa ilaaha illallah ketika menjelang mati.” [HR Baihaqi dalam Syuabil Iman]
Kesedaran ini menjadikan mereka memahami bahawa pengakhiran seluruh manusia adalah kembali kepada Allah SWT, serta mengenali tujuan hidup mereka sebagai hamba-Nya di muka bumi ini.
Langkah kedua ialah membiasakan anak-anak dengan kisah para rasul, sahabat, ilmuwan, dan tokoh-tokoh Islam sebagai sumber inspirasi dan contoh teladan terbaik. Kisah-kisah ini bukan sahaja memberikan pengajaran, malah menjadi cerminan dalam pembentukan keperibadian mereka. Melalui penceritaan, anak-anak dapat menanam sifat berani, cekal, tabah, dan semangat juang yang tinggi dalam diri mereka.
Kajian yang dilakukan oleh Stanford Graduate School of Business, sebuah pusat penyelidikan di Amerika Syarikat, mendapati bahawa manusia mampu mengingati sesuatu mesej yang disampaikan melalui penceritaan 22 kali lebih baik berbanding penyampaian fakta semata-mata. Tidak hairanlah mengapa al-Quran dipenuhi dengan kisah-kisah yang sarat dengan pengajaran dan hikmah.
Langkah ketiga, ibu bapa perlu menjadi teladan yang terbaik bagi anak-anak dengan menunjukkan disiplin, kecintaan terhadap ilmu, keberanian, serta keaktifan dalam melakukan kebaikan—baik dalam keluarga mahupun dalam masyarakat.
Sudah tentu, semua ini bukan sesuatu yang mudah untuk dipraktikkan. Oleh itu, ibu bapa sendiri perlu memiliki ilmu yang mendalam serta semangat yang tinggi dalam mendidik anak-anak berlandaskan ajaran Islam. Ini kerana anak-anak bukan sahaja amanah yang dipertanggungjawabkan, tetapi juga sumber pahala yang berterusan selepas kematian.