Bagaimana Menjadi Pencetak Generasi Islam Unggul

Oleh : Amani Mohamed

Satu amanah besar bagi insan yang bergelar ibu adalah saling membahu dengan suami dalam membentuk anak-anak supaya terus berada dalam fitrah Islam. Ibnu Qayyim al-Jauziyah pernah berkata, “Barangsiapa yang tidak mengajar perkara-perkara yang bermanfaat kepada anaknya dan membiarkannya begitu sahaja, bermakna dia telah menderhakai anaknya. Ramai anak yang rosak akibat tindakan ibu dan ayah yang membiarkan mereka tanpa mengajar kewajipan-kewajipan dan sunnah-sunnah dalam agama Islam yang sepatutnya anak lakukan. Mereka telah mensia-siakan masa anak-anak semasa kecil, sehingga anak-anak tersebut tidak memberi manfaat kepada diri mereka sendiri dan tidak dapat memberikan manfaat sedikit pun kepada ibu bapa mereka ketika mereka sudah berusia lanjut.” Peringatan ini perlu difahami dan diperoleh dengan ilmu yang benar oleh semua muslimah sebelum menjadi ibu. 

Syurga yang terdapat dalam setiap langkah seorang ibu tentunya akan membawa anak-anaknya menjadi generasi terbaik dalam era peradaban yang terbaik. Bayangkanlah kehadiran generasi Islam yang sentiasa merindui syurga, taat sepenuhnya kepada Allah dan Rasul, berhati-hati untuk tidak terjerumus ke dalam perbuatan maksiat, dan hidup sentiasa dalam koridor perjuangan dakwah. Kita mengharapkan mereka menjadi ulama’ dan ilmuwan yang cemerlang. Sama seperti generasi Quran pada zaman anak-anak para Sahabat Rasulullah SAW yang kegemilangannya berterusan sehingga pemerintahan para Khulafa’. Yakinlah bahawa kita mampu mengulanginya.

Mencetak generasi yang unggul ini perlu dimulakan sejak hari pertama anak dilahirkan ke dunia. Beberapa pengkaji sejarah sistem pendidikan Islam telah mencadangkan bahawa pendidikan anak dibahagikan kepada dua peringkat kehidupan yang berbeza, iaitu peringkat pra-Baligh dan peringkat Baligh. Perbezaan ini disebabkan oleh tanggungjawab yang dikenakan oleh hukum syarak daripada Allah. Namun, dasar pendidikan tetap berpaksikan aqidah Islam. Penulisan ini hanya memberikan ringkasan peranan ibu dalam tiga fasa umur anak.

1. Peringkat Pra-Baligh I: Menuju Mumayyiz (0-6 tahun) 

Rasulullah SAW telah menasihatkan agar anak-anak dalam lingkungan usia ini dilayan seperti seorang raja. Anak hanya perlu berbaring, dimandikan, disusukan, tidur, dan dihiburkan. Memberikan kasih sayang sepenuhnya adalah tanggungjawab ibu bapa. Seiring dengan bertambahnya usia, anak diajar cara mengurus diri sehingga mereka boleh berdikari dengan sedikit arahan dan tidak memerlukan bantuan seperti ketika mereka masih bayi. Mereka sedang melalui fasa yang sangat berharga (Golden Age) kerana semua indera mereka memerlukan rangsangan untuk berkembang dengan baik. Oleh itu, pastikan mereka sering mendengar kalimah tauhid ketika didodoi dan membaca ayat-ayat al-Quran daripada suara ibu, bukan sekadar nursery rhymes yang diulang setiap hari. Apabila anak sudah lebih fokus, bolehlah dibacakan buku-buku cerita teladan yang dijual dengan pelbagai versi menarik di pasaran. Biarkan mereka terinspirasi untuk menjadi anak yang hebat seperti Saidina Ali RA. Selain itu, anak-anak ini perlu melihat ibu bapa mereka melaksanakan pelbagai kewajipan agama seperti solat berjemaah, berpuasa, bersedekah, menutup aurat, berdakwah, dan lain-lain. Namun, perlu diingat bahawa mereka belum disasarkan untuk melaksanakan kewajipan seperti kita, jadi hukuman tidak diberikan melainkan hanya dorongan. Akhirnya, anak-anak telah siap menjadi mumayyiz. 

2. Peringkat Pra-Baligh II: Mumayyiz Menuju Baligh (6-12 tahun)

Di Malaysia, pada usia ini, anak-anak berada di prasekolah hingga tamat sekolah rendah. Fasa penting ini perlu diberikan perhatian oleh ibu dan tidak hanya bergantung kepada guru di sekolah kerana anak perlu disiapkan untuk menjadi seorang mukallaf. Oleh itu, perlakukan mereka dengan baik seperti tawanan perang, bukan lagi seperti seorang raja. Keyakinan anak terhadap enam rukun iman perlu diperkuat dengan proses berfikir. Gunakanlah video-video di Youtube sebagai contoh, untuk menunjukkan kebesaran ciptaan Allah dengan penjelasan dari ibu bapa. Kesedaran tentang hubungan dengan Allah Yang Maha Melihat perlu ditingkatkan dan diingatkan kepada mereka agar sentiasa ingat akan hukum-hukum-Nya. Selain itu, tingkatkan rasa cinta mereka kepada Rasulullah SAW supaya mereka sentiasa ingin mengikuti segala yang dibawa oleh Baginda. Hasilnya, mereka akan menjadi ahli ibadah sepanjang hidup mereka. Selain itu, didiklah akhlak mulia agar menjadi pelengkap peribadi mereka seperti istiqamah dengan Islam, gemar menolong orang lain, menghormati orang tua, tetamu, dan jiran. Ucapan mereka haruslah penuh dengan kebaikan dan bebas daripada perkataan ejekan, celaan, perkataan kotor, dan lucah. Dengan itu, kita yakin anak-anak sudah sedia untuk menghadapi peringkat baligh dan menjadi pemuda dan pemudi Muslim yang hebat. 

3. Peringkat Baligh (12-18 tahun)

Tanggungjawab untuk menanggung dosa dan pahala oleh seorang remaja dan dewasa tidaklah berbeza. Anak pada usia ini perlu diperlakukan dengan baik seperti teman kepada ibu dan bapa. Sekarang, mereka perlu dilatih untuk mengurus orang lain setelah melalui latihan pengurusan kendiri selama 12 tahun sebelumnya. Biasakan mereka mengurus adik-adik, menyertai aktiviti komuniti atau surau setempat, dan sebagainya kerana mereka akan menjadi pemimpin negara kelak. Ajaklah mereka berbincang tentang isu-isu semasa dalam masyarakat dan dengarlah pandangan mereka. Ibu jangan lupa memberikan pandangan Islam agar anak-anak merasakan bahawa Islam adalah solusi untuk semua masalah manusia. Galakkan mereka untuk like, comment, share, atau mencipta kandungan untuk dikongsi di media sosial sebagai usaha dakwah yang mulia. Pada usia ini, mereka juga akan menghadapi cabaran mencari cinta, seperti yang pernah kita alami. Ini adalah wajar bagi manusia. Kita sebagai ibu perlu membimbing mereka untuk menemui cinta yang diredai oleh Allah SWT. Jangan segan untuk meluahkan rindu dan cinta yang tulus kepada anak-anak remaja. Ciptakanlah momen kebahagiaan dan kesedihan bersama tanpa mengabaikan privasi mereka. Dengan penuh kasih sayang dan pengetahuan Islam, Insya Allah anak-anak akan lebih mudah menghadapi cabaran hidup seterusnya. Kelak, mereka akan sibuk dengan aktiviti pembinaan diri dan umat sehingga terbentuk semula peradaban Islam yang cemerlang.  

Kehidupan materialistik dan kapitalistik pada hari ini merupakan cabaran yang besar bagi para ibu dalam mendidik anak-anak. Tetapi ingatlah bahawa Allah telah memberi label kepada kita sebagai Khairu Ummah dengan pelbagai tanggungjawab yang mampu kita laksanakan dengan izin-Nya. Serahkanlah sepenuhnya kepada Allah Yang Maha Berkuasa, marilah para ibu, kita laksanakannya!