Peri pentingnya pelaksanaan polisi pendidikan atas asas Islam dalam mencorak keperibadian unggul Muslim

[Teks ucapan Abu Khalil, Shaikh Ibrahim Othman yang disampaikan dalam Muktamar Online Rajab 1443H: Islam Kaffah Hanya Akan Terealisasi Di Bawah Khilafah pada 28 Rajab lalu]

Polisi Pendidikan Islam adalah sebahagian daripada kesempurnaan dalam sistem Islam. Objektif yang ditetapkan dalam polisi pendidikan ialah pembinaan syakhsiyyah Islamiyyah (keperibadian Islam), dan membekalkan ilmu dan pengetahuan yang berkaitan dengan urusan kehidupan.

Rasulullah (saw) telah bersungguh-sungguh mendidik para Sahabat baginda di Makkah sebelum Hijrah ke Madinah, dan juga selepasnya. Matlamat baginda (saw) adalah untuk menjadikan setiap daripada mereka memilik keperibadian Islam dalam pemikiran dan tingkah laku. Inilah yang kemudiannya menjadi panduan bagi mereka (Sahabat) menilai setiap perbuatan dan benda, dan (membentuk) kecenderungan mereka terhadap Islam.

Selain mengajar hukum-hukum yang berkaitan dengan urusan kehidupan mereka, baginda (saw) menekankan nilai-nilai murni seperti mencari redha Allah (swt), dan merasa bangga memikul tanggungjawab menyebarkan dakwah kepada manusia dan membimbing mereka kepada Islam secara efektif dan produktif.

Firman Allah (swt):

ٱدْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلْحِكْمَةِ وَٱلْمَوْعِظَةِ ٱلْحَسَنَةِ ۖ وَجَـٰدِلْهُم بِٱلَّتِى هِىَ أَحْسَنُ ۚ

“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik…” [TMQ an-Nahl (16): 125].

Baginda (saw) juga memerintahkan mereka agar menghafal Al-Quran dan mengajarkan mereka untuk berpegang teguh kepada ajaran Islam seraya membiarkan mereka belajar apa sahaja yang perlu untuk hidup, baik dari segi perdagangan, pembuatan dan pertanian.

Beginilah keadaan Daulah Khilafah selepas Rasulullah (saw) dan sepanjang eranya, memberikan perhatian yang sangat besar kepada sains, pengetahuan dan para Ulama. Universiti Al-Azhar, Al-Qarawiyyin, Az-Zaitun dan lain-lain telah melahirkan ribuan Ilmuan dalam bidang perubatan, astronomi, aritmetik, tafsir Al-Quran, fiqh, dan lain-lain. Sesungguhnya umat ini kaya dengan Ulama yang terkemuka dalam pelbagai bidang dan tsaqafah, seperti Ibn Al-Haitsam, Al-Khawarizmi, Asy-Shafie, Al-Bukhari dan lain-lain lagi. Khilafah adalah negara terkedepan dalam ketamadunan, tsaqafah dan sains.

Apabila Daulah Islam mulai melemah di penghujung eranya, penjajahan tsaqafah dan intelektual pun bermula, dan gerakan misionaris tersebar, khususnya di wilayah Sham, selepas ia diduduki oleh penjajah. Mereka telah mengubah kurikulum pendidikan mengikut asas pendidikan Perancis. Objektif kurikulum pendidikan ini sangat jelas – untuk menanamkan konsep pemisahan agama daripada akidah umat Islam sehingga membuatkan mereka mempersoalkan agama mereka sendiri, membencinya, menghina sejarahnya dan seterusnya memuliakan Barat dan budayanya. Inilah permulaan kejatuhan Daulah Khilafah yang berlaku dalam bulan ini, pada 28 Rajab 1342 Hijrah, iaitu 101 tahun Hijriyyah yang lalu. Kemudian penjajah membahagi-bahagikan tanah umat Islam ini dan mengubah polisi pendidikan di dalamnya, dengan menanam tsaqafah kufur di institusi pendidikan.

Justeru, apa yang kita jumpa pada hari ini di dalam dunia Islam adalah, anak-anak muda yang jauh dari akidah Islam mereka, yang berfikir atas asas “pemisahan agama dari kehidupan” dan menerima konsep kehidupan penjajah kuffar Barat. Maka keperibadian mereka bukan lagi keperibadian Islam, yang seharusnya berfikir atas asas Islam dan menerima kehidupan atas asas syariat Islam.

Untuk membina kembali keperibadian Islam, adalah perlu untuk mengembalikan polisi pendidikan atas asas Islam, dan ini hanya akan dapat dilakukan dengan usaha keras untuk mengembalikan Khilafah Rasyidah ala minhaj nubuwwah; yang akan menerapkan syariat Islam dalam pelbagai aspek kehidupan.

Inilah seruan kami kepada saudara seIslam di Malaysia dan di seluruh dunia agar berganding bahu dengan Hizbut Tahrir untuk menegakkan Khilafah ar-Rasyidah ala minhaj nubuwwah untuk kali yang kedua. Janji Allah (swt):

وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مِنكُمْ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ كَمَا ٱسْتَخْلَفَ ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ ٱلَّذِى ٱرْتَضَىٰ لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّنۢ بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًۭا ۚ

“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa….” [TMQ An-Nur (24): 55)

Dan khabar gembira dari Rasulullah (saw) yang kita sayangi: “…Kemudian akan ada Khilafah di atas jalan kenabian, kemudian baginda diam.”

Islam kaffah hanya terealisasi di bawah Khilafah!