Menyingkap Sejarah Gerakan Para Wanita Melahirkan Generasi Salahudin Al Ayyubi

Oleh : Dr Aslam Diyana binti Selamat

Pendahuluan

Sewaktu era kemerosotan Daulah Abbasiyah, umat Islam menghadapi penyakit internal yang amat parah. Pemikiran masyarakat Muslim mengalami kekeliruan dan kerancuan kerana pengaruh besar daripada pemikiran falsafah Yunani sehingga munculnya pelbagai aliran pemikiran ahli Mutakallimin. Gaya hidup sebahagian para pemimpin dan rakyatnya pula hanyut dalam arus kemewahan dan budaya hedonisme akibat interaksi dengan budaya dan tsaqafah asing. Bahkan konflik fanatisme mazhab seperti konflik antara Syiah dan Sunni sangat mencengkam kaum Muslimin sehingga perpecahan kesatuan Islam melebar. Ketidakstabilan politik kekuasaan Daulah Abbasiyyah sangat mendasar di mana banyak penyimpangan yang berlaku samada daripada aspek pemerintahan, pendidikan, budaya, pertahanan, ekonomi, sosial dan lain-lain sehingga akhirnya wilayah Baitul Maqdis jatuh ke tangan pasukan tentera Salib secara rasmi pada tahun 1099M.

Itulah titik paling rendah kehidupan umat pada zaman tersebut. Dalam tempoh empat malam, pasukan tentera Salib telah berjaya membunuh puluhan ribu umat Islam termasuk wanita dan anak-anak sementara pusat Daulah Khilafah di kota Baghdad tidak melakukan apa-apa. Bahkan Andalusia dan Mesir yang dikuasai oleh Syiah turut berdiam diri dan berkhianat. Imam al-Ghazali telah menceritakan dan mengkritik keterpurukan umat Islam melalui penulisan kitab terulungnya iaitu Ihya’ Ulumuddin. Para Sultan lebih peduli pada burung peliharaannya daripada rakyat yang sedang mati kelaparan. Ulama-ulama lebih asyik serta sibuk dengan perdebatan hal-hal yang remeh dan perselisihan yang bersifat khilafiyah. Para ahli sufi hanya mementingkan penampilan yang lusuh tetapi hatinya tetap dipenuhi dengan nikmat dunia.

Setelah beberapa dekad sejak kejatuhan Baitul Maqdis, gelombang kelompok pelarian dari Palestin semakin membesar. Namun masyarakat Baghdad masih tetap selesa kerana tidak merasakan tentera Salib sebagai ancaman. Tambahan lagi, jarak antara Baghdad dan Palestin diperhitungkan jauh. Suatu ketika, seorang Imam dari Damsyik menyampaikan ceramah di Masjid Agung Baghdad iaitu setelah beliau datang bertemu khalifah, lalu berkata, “Wahai para Jemaah, saudara-saudara kita di Syam kehilangan rumah-rumah mereka. Kini hidup mereka terlantar di atas sadel unta, di bawah untaian bangkai burung-burung. Kepada siapa lagi mereka hendak meminta bantuan selain daripada saudara-saudara seimannya?” Lalu kesemua hadirin yang mendengarnya menangis tersedu-sedu dan terus memberi sumbangan yang besar untuk para pelarian Palestin yang dimaksudkan tersebut.

Gerakan Perubahan Para Wanita Era Generasi Salahuddin

Munculnya Gerakan Tajdid dan Ishlah yang dipelopori oleh Imam al-Ghazali dan terdiri daripada kelompok para ulama adalah usaha mengembalikan semula cara hidup Islam dalam kehidupan masyarakat. Gerakan ini merupakan pola kerja kolektif (al-amal al-jamaie) yang melibatkan seluruh unsur umat, bukannya pola perjuangan individual yang diletakkan pada kekuatan seorang individu semata. Menurut catatan Dr Majid Al Kilani, misi besar ini mengambil masa 50 tahun melalui tiga fasa generasi di mana Salahuddin al-Ayyubi merupakan generasi ketiga apabila beliau dan pasukan tenteranya berjaya membebaskan semula wilayah Baitul Maqdis di bawah kekuasaan Islam.

Generasi awal yang dibina adalah berproses pada memahami kesalahan dalam umat, mendiagnos dan menilai dengan menyediakan pelan strategi induk (grand design) bagi mengubah dan memperbaiki keadaan masyarakat. Bahkan para wanita sejak dari awal melalui kedudukan utamanya (main core) sebagai ibu telah memanfaatkan peranan dan pengaruh yang strategik dalam gerakan pada saat itu bagi membangunkan semula generasi pembebas Baitul Maqdis. Keterlibatan wanita secara signifikan dapat dilihat menerusi keseluruhan fasa generasi iaitu sebagai:

1. Ulama Muslih Wanita (Fasa Generasi Awal)

Ramai tokoh Muslimah memainkan peranan yang aktif dalam memperbaiki generasi Muslim ke arah pembebasan Syam. Mereka bergerak melalui madrasah-madrasah dengan aktiviti taklim samada yang bersifat politik mahupun bukan politik dengan tujuan untuk mengembalikan Baitul Maqdis ke pangkuan Islam. Arus gelombang kecintaan terhadap ilmu dan jihad sewaktu fasa ini telah melahirkan wanita seperti Siti Khatun iaitu ibu kepada Salahuddin al Ayyubi.

Siti Khatun, isteri kepada Sultan Najmuddin al-Ayyubi merupakan pemerintah wilayah Tikrit yang memiliki rencana besar untuk melahirkan pahlawan pembebas Baitul Maqdis daripada jalur keturunannya tidak pernah silap memilih Siti Khatun sebagai pasangannya, meskipun menyedari bahawa beliau lahir daripada keluarga yang miskin dari perkampungan. Siti Khatun merupakan sosok yang cerdas dengan pola berfikir yang sangat strategik dan sering kali memberi perhatian terhadap permasalahan umat. Beliau selalu memperdengarkan telinga anak-anaknya akan kewajipan besar lagi mulia iaitu melaksanakan jihad melawan tentera Salib untuk membebaskan Baitul Maqdis.

Selain Siti Khatun, Syeikhah Aisyah binti Muhammad al Baghdadi adalah tokoh yang berperanan besar dalam gerakan ini. Beliau merupakan lulusan Madrasah al-Qadiriyah. Beliau meraih ijazah daripada pengasas madrasah tersebut iaitu Syeikh Abdul Qadir al-Kilani dan mengoptimakan seluruh waktunya untuk membimbing para wanita.

Tidak kurang pula Syeikhah Taj an-Nisa binti Fadhail bin Ali at Takriti iaitu isteri Abdurrazzq bin Abdul Qadir al-Kilani sekaligus ibu kepada Ketua Hakim (Qadhi Qudhat) yang terkenal, Nasr bin Abdurrazzaq. Bersama suaminya, beliau menimba ilmu daripada Syeikh Al-Qadir di Madrasah al-Qadiriyah. Setelah sekian lama belajar, beliau menjadi ulama wanita yang aktif memberi kajian dan bimbingan sehingga menjadi sangat terkenal. Beliau konsisten dengan jihad pendidikan sehingga saat kewafatannya di Baghdad.

Mereka adalah sebahagian kecil daripada generasi ulama wanita. Jumlah mereka sebenarnya mencapai ribuan dan banyak tercatat dalam kitab-kitab tabaqat ahli hadith dan ahli fiqh serta buku-buku sejarah. Namun metod catatan sejarah yang bersifat partial (tidak menyeluruh dan terpisah-pisah) cenderung mengelirukan fenomena sejarah. Sedangkan peranan ulama wanita adalah peranan kolektif yang berangkai dalam mengharmonikan gerakan pembaikan dan penyedaran umat.

2. Mujahidah dan Ahli Politik Muslimah (Fasa Generasi Kedua dan berikutnya)

Generasi ini muncul setelah Gerakan Ishlah menjadi asas politik yang kuat semasa pemerintahan Sultan Nuruddin dan Salahuddin al-Ayyubi. Ia berjaya melahirkan generasi baru dengan kekuatan spiritual dan praktikal yang mengamalkan ajaran dan akhlak Islam. Generasi ini terus berkembang dan turut menduduki posisi-posisi strategik dalam institusi politik, ketenteraan, pendidikan, sosial dan ekonomi. Malah generasi jihad wanita ini turut menyumbang kepada gerakan jihad di bawah pimpinan Imaduddin Zanki yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat iaitu bermula daripada golongan elit sehingga masyarakat umum. Uniknya, para isteri sultan dan pegawai pemerintahan turut memainkan peranan besar sebagai ahli politik dan mujahidah yang menyumbang secara langsung pada pembebasan Baitul Maqdis. Mereka sangat terkenal dengan komitmen yang tinggi pada ilmu dan juga perkembangan madrasah.

Antaranya ialah Sayidah ‘Ishmatuddin Khatun binti Mu’inuddin iaitu isteri Nuruddin Zanki yang terkenal sebagai ahli fiqh mazhab Hanafi, ahli zuhud dan ahli ibadah yang mewakafkan Madrasah Khatuniyah Juwaniyah untuk melahirkan para mujahid berilmu yang layak membebaskan Baitul Maqdis. Keberadaan beliau di belakang Nuruddin Zanki dan Salahuddin berpengaruh besar pada perlawanan terhadap tentera Salib. Ini turut mendorong Salahuddin al-Ayyubi untuk menikahi beliau setelah kewafatan suaminya Nuruddin Zanki. Khatun juga adalah wanita terkenal yang tidak pernah lewat dalam menempa diri melakukan ibadah ruhiyah, kerap membaca al-Quran dan bertahajud di malam hari.

Lagi kisah fenomenal daripada Sayidah Zumurrud Khatun binti Jauli, adik perempuan kepada Sultan Daqmaq bin Tatsy sekaligus isteri kepada Sultan Buri bin Thaftakin yang dikurniakan dua orang putera. Beliau pernah memerintahkan pembunuhan terhadap puteranya sendiri yang bernama Syamsul Muluk Ismail tatkala didapati berkhianat dan bekerjasama dengan penguasa Salib setelah kewafatan suaminya. Setelah peristiwa tersebut, beliau menikah dengan Imaduddin Zanki dan menghabiskan sisa hidupnya untuk membangunkan madrasah di kota Damsyik. Dikisahkan saat kewafatannya, harta beliau yang tersisa sangat sedikit kerana kegemarannya bersedekah.

Hal yang sama turut dilakukan oleh kebanyakan para isteri pegawai pemerintahan Nuruddin dan Salahuddin yang sentiasa bergiat aktif dan produktif menyumbang dalam gerakan ishlah dan jihad. Maka sangat wajarlah daripada rahim mereka ini lahirnya lapisan generasi pembebas Baitul Maqdis yang sedia berkorban dan tidak lagi terbuai dengan kemegahan duniawi seperti di pusat kota kekhilafahan.

Kelahiran Para Mujahid dan Murabithun

Kelalaian Khalifah pada masa lalu memperhatikan kawalan wilayah batas persempadanan membuatkan umat Islam perlu merebut kembali Baitul Maqdis dengan harga yang mahal. Walhal Islam memiliki syariat khusus berkaitan kawalan batas persempadanan dan bagaimana kualiti sosok manusia yang perlu menjaganya. Ketika risalah Islam diturunkan, Masjidil Haram dijadikan sebagai kawasan utama hidayah dan Masjid al-Aqsa sebagai kawasan pertahanan batas sempadan. Penegakan hukum-hukum ribath (aktiviti kawalan berjaga-jaga) adalah termasuk urusan besar kaum Muslimin yang perlu diberi perhatian yang serius.

Tuntutan bagi kaum Muslimin untuk melakukan ribath disebutkan dalam firman Allah,

Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa sahaja yang kalian sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang, (yang dengan persiapan itu) kalian menggetarkan musuh-musuh Allah dan musuh-musuh kalian.” [TMQ Al-Anfal (8):60]

Wahai orang-orang beriman, bersabarlah kalian dan kuatkanlah kesabaran kalian dan tetaplah bersiap (di perbatasan negeri kalian) dan bertaqwalah kepada Allah supaya kalian menjadi golongan yang beruntung.” [TMQ Ali-Imran (3):200]

Melakukan ribath sehari semalam di jalan Allah lebih baik dari puasa dan solat sebulan. Jika dia mati, maka amalnya yang diperbuatnya terus mengalir untuknya, rezekinya terus mengalir untuknya, dan dia selamat dari siksa (kubur)” [HR Muslim – status sahih dari Salman RA]

Generasi Salahuddin telah berjaya mewujudkan kualiti sosok individu manusia yang layak menjadi murabithun dengan karakter keimanan yang unggul. Gerakan ishlah para ulama telah menghasilkan lapisan para mujahid dan murabith (orang yang melakukan ribath) yang mengabdikan diri mereka untuk membebaskan al-Aqsa. Ini kita dapat saksikan dalam rangkaian usaha pembebasan Baitul Maqdis yang bermula dari wilayah paling luar pantai Mediterranean.

Sungguh, usaha membebaskan Baitul Maqdis tidak mudah. Kaum Muslimin terpaksa melepasi pelbagai tahapan untuk membebaskan Baitul Maqdis. Usaha terawal yang dilakukan oleh Salahuddin adalah menyatukan pelbagai potensi kekuatan umat dari pelbagai wilayah. Setelah kekuatan tersebut berjaya dikumpulkan, beliau bersama para pasukannya melakukan pembebasan dari satu wilayah ke wilayah lain yang terjajah secara strategik bermula dari Shafuriyah, Thabariyah, Akka, Majdalyabah, Nablus, Tabnin, Asqalan, Gaza dan akhirnya Baitul Maqdis.

Ketika Baitul Maqdis hendak dibebaskan, ia merupakan tempat bersemayamnya Ketua Paus Kristian dan juga Belain II (pemimpin Ramallah). Wilayah ini dibentengi dengan manjanik di sekeliling tembok kota dengan lebih 60 ribu pasukan tentera Salib yang berkawal di sekitarnya. Benteng kota yang terkuat ini berjaya ditawan oleh Salahuddin al-Ayyubi dan pasukan terbaiknya. Akhirnya seluruh kota Baitul Maqdis diserahkan semula kepada kaum Muslimin pada akhir Rejab tahun 583H.

Khatimah

Sesungguhnya catatan sejarah membuktikan keterlibatan para ulama muslih, mujahidah dan ahli politik wanita bersama golongan para ulama dalam gerakan tajdid dan ishlah semasa era pra generasi Salahuddin dan selepasnya. Ini jelas merupakan usaha kolektif (al-amal al-jamaie) yang ekstensif dalam melakukan kesedaran dan pembaikan generasi umat berdasarkan asas pemikiran dan intelektual.

Pada masa kini, kita juga sangat menantikan pembebasan Baitul Maqdis kali ketiga. Bercerminkan kepada ciri kemunduran yang pernah terjadi pada era pra generasi Salahuddin, keadaan dan kualiti umat Islam pada hari ini jelas memiliki kemiripan dan kesamaan. Ia menuntun kita untuk menempuh suatu proses yang mesti diagendakan ke atas seluruh Muslimah bagi meraih kelayakan seperti yang pernah ditempuh oleh generasi Salahuddin al-Ayyubi. Maka, kita perlu berusaha membebaskan kota Baitul Maqdis dan seluruh bumi umat Islam yang telah berlarutan dijajah hampir satu abad lamanya dengan dakwah Islam dan pembangunan kualiti diri untuk menjadi sebahagian daripada change maker (pembawa perubahan) serta seterusnya menegakkan kembali Islam pada kedudukan yang tertinggi.

Rujukan :

  1. Model Kebangkitan Umat Islam ; Upaya 50 Tahun Gerakan Pendidikan Melahirkan Generasi Salahuddin dan Merebut Palestina, Dr Majid ‘Irsan al Kilani
  2. Menantikan Sang Pembebas, Dr Fika Komara
  3. Syahsiyyah Islamiyyah Jilid II, Sheikh Taqiuddin an Nabhani