Melawan Polemik Transgender

Menurut Wikipedia, transgender ialah istilah yang digunakan untuk merujuk kepada individu yang mungkin bertindak, berfikir, mempunyai perasaan atau keterampilan yang berbeza daripada jantina atau biologi mereka. Misalnya, seorang lelaki yang berpakaian seperti wanita atau wanita yang berpakaian seperti lelaki.  Dalam Islam, hukuman terhadap transgender selagi tidak sampai melakukan penyimpangan seksual, hukumannya ialah ta’zir.

Banyak faktor yang menyebabkan masyarakat di Malaysia ini terlibat dalam kancah transgender. Antaranya ialah latar belakang keluarga, penglibatan dengan masyarakat sekeliling yang telah pincang dari sudut moral, masalah ekonomi baik secara individu ataupun keluarga yang memaksa mereka untuk bekerja di lorong-lorong hitam dan sebagainya.

Salah satu hujah golongan transgender melakukan perbuatan yang bercanggah dengan agama Islam ini ialah kenyataan bahawa mereka itu merupakan wanita yang terperangkap di dalam tubuh lelaki ataupun sebaliknya. Bahkan ada juga yang cuba untuk memberi perbezaan antara ‘identiti seks’ dan juga ‘identiti gender’.

Bagi mereka, kedua-dua istilah ini harus diberikan pendedahan kepada masyarakat umum. Norma masyarakat menyatakan bahawa lelaki itu akan dianggap lelaki apabila mereka mempunyai alat kelamin lelaki dan wanita akan dianggap wanita apabila mereka mempunyai alat kelamin wanita. Tetapi golongan transgender menganggap ia hanya terma yang digunakan untuk menyatakan identiti seks dan bukannya identiti gender.

Mereka menyatakan identiti seks merujuk kepada alat kelamin – alat kelamin lelaki atau alat kelamin wanita – yang dimiliki secara fizikal. Manakala  identiti gender tidak dapat dilihat secara fizikal kerana identiti itu sudah terakam secara kekal, mendalam dan utuh pada minda seseorang individu semasa masih dalam kandungan ibu. Dengan erti kata lain, identiti gender ini tidak boleh didefinisikan melalui alat kelamin semata-mata.

Hujah sebegini sebenarnya bukanlah hujah yang kuat bahkan merupakan dakwaan yang tidak berasas. Secara ringkasnya, harus kita fahami bahawa setiap manusia itu dikurniakan akal. Maka akallah yang akan memproses segala maklumat yang diterima lalu akan memberi impak kepada pola perbuatan seseorang. Dalam proses berfikir ini, maka terdapat beberapa elemen-elemen yang diperlukan oleh seseorang iaitu akal, pancaindera, objek yang diindera dan maklumat awal. Melalui keempat-empat elemen inilah manusia akan mampu membuat kesimpulan setelah melalui proses berfikir tadi. Ketiadaan salah satu daripada kempat-empat elemen ini mampu membuatkan manusia membuat kesimpulan yang salah. Misalnya seperti ketiadaan objek yang diindera menyebabkan manusia tidak dapat membuat kesimpulan yang benar. Contohnya, jika seseorang itu tidak pernah melihat planet Pluto, maka dia tidak akan dapat membuat gambaran yang jelas ketika dia disuruh untuk memberi gambaran atau melukis rupa bentuk planet Pluto. Contoh yang lain pula seperti seorang lelaki Melayu diberikan sekeping kertas yang bertuliskan tulisan Mandarin. Pasti lelaki tersebut akan terpinga-pinga untuk menyebut serta menterjemahkan tulisan tersebut seandainya dia tidak mempunyai maklumat awal tentang Bahasa Mandarin. Berbeza dengan seseorang yang berketurunan Cina, bersekolah di sekolah yang majoritinya kaum Cina serta menjalani pembelajaran Bahasa Mandarin pasti akan mudah baginya untuk menterjemahkan Bahasa Mandarin tadi.

Tetapi mempunyai maklumat awal sahaja tidak mencukupi melainkan ia merupakan satu maklumat yang benar juga. Bagaimana kita mahu menilai sesuatu maklumat itu benar atau tidak? Maka Islam telah meletakkan kayu ukur atau standard kebenaran itu dalam ajarannya. Seandainya Al-Khaliq (Pencipta) menyatakan bahawa itu benar, maka ia benar. Seandainya Al-Khaliq menyatakan sesuatu itu sebagai satu kesalahan, maka ia merupakan satu kesalahan.
Hal ini sesuai dengan firman Allah SWT:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُوْلِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا

“Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul, serta ulil amri diantara kalian. Jika kalian berselisih dalam suatu hal, maka kembalikanlah kepada Allah dan Rasul-Nya. Jika kalian benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhir.Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya [TMQ an-Nisa’(4): 59].

Berbalik kepada hujah kaum transgender tadi iaitu tentang identiti gender, maka untuk kita menilai sama ada ia hujah yang benar atau pun batil, harus kita kembalikan kepada cara berfikir tadi. Secara ringkasnya kita akan melihat bahawa hujah identiti gender iaitu “seseorang itu tidak dapat dilihat secara fizikal kerana identiti itu sudah terakam secara kekal, mendalam dan utuh pada minda seseorang individu semasa masih dalam kandungan ibu. Dengan erti kata lain, identiti gender ini tidak boleh didefinisikan melalui alat kelamin semata-mata”. Hujah ini merupakan hujah yang batil kerana tidak mempunyai objek yang mampu diindera serta tidak mempunyai maklumat awal yang benar. Bahkan ‘maklumat’ yang mereka hujahkan itu juga tidak dapat dibuktikan kesahihannya. Berbeza dengan identiti seks, ia dapat disimpulkan dengan jelas kerana terdapatnya objek yang boleh diindera iaitu alat kelamin dan juga maklumat awal tentang alat kelamin tersebut yang telah jelas dapat mengkategorikan jantina seseorang itu berdasarkan alat kelaminnya.

Banyak dalil yang telah menjelaskan tentang transgender ini sebagai satu dosa. Rasulullah SAW melaknat serta memberi amaran yang cukup keras terhadap golongan ini. Daripada Ibnu Abbas ra, beliau berkata:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمُتَشَبِّهِينَ مِنْ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ وَالْمُتَشَبِّهَاتِ مِنْ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ

“Nabi SAW melaknat lelaki yang menyerupai seperti wanita, dan wanita yang menyerupai seperti seorang lelaki” [HR: al-Bukhari].

Seandainya transgender ini merupakan sesuatu yang ‘nature’, maka mustahil ia mendapat ancaman yang begitu keras di sisi Islam. Sebenarnya dapat disimpulkan di sini bahawa transgender itu  bukanlah fitrah melainkan penyimpangan terhadap fitrah.

Saudara Hafiz
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia