Melayu tidak akan bangkit kecuali dengan Islam (Siri 1/2)

Usaha untuk memartabatkan bangsa Melayu nampaknya tidak pernah pudar dengan Tun Dr Mahathir Mohamad. Kali ini beliau cuba mengetengahkan “Proklamasi Orang Melayu” yang meletakkan 12 poin yang kebanyakannya menjelaskan kelemahan orang Melayu disebabkan oleh pemimpin Melayu itu sendiri yang mementingkan diri sendiri.

Walaupun beberapa fakta daripada proklamasi yang ditandatangani pada bulan Mac lalu itu memang benar, namun mungkin Mahathir lupa bahawa beliau pernah menjadi Perdana Menteri dan memimpin parti Melayu terbesar di Malaysia selama lebih 20 tahun, yang jika nasib orang-orang Melayu masih tidak berubah sebagaimana yang beliau katakan, maka beliau turut menjadi penyebab utamanya.

Dilihat daripada poin-poin yang cuba disampaikan di dalam proklamasi tersebut, sangat jelas kritikan yang cuba ditujukan oleh Mahathir kepada parti atau pemimpin yang memerintah sekarang. Atas dasar itu, ia mendapat sokongan beberapa pemimpin pembangkang yang turut menandatanganinya.

Sesungguhnya agenda untuk membangkitkan umat Islam berbangsa Melayu ini bukanlah mudah. Susahnya di mana? Susahnya apabila perjuangan bangsa dikaitkan atau dikatakan sinonim dengan perjuangan Islam, sehingga orang Melayu merasakan, malah yakin, bahawa perjuangan Melayu adalah perjuangan Islam, dan perjuangan Islam adalah perjuangan Melayu. Padahal hakikatnya kedua-duanya sama sekali berbeza!

Malangnya perkara ini sudah lama mendarah daging di dalam tubuh orang Melayu sehingga untuk memisahkan kedua-duanya jauh lebih susah berbanding memisahkan karat dari besi.

Siapa pun yang cuba menyamakan Melayu dengan Islam atau Islam dengan Melayu, hakikatnya ia tidak sama. Ia tidak pernah sama dan tidak akan pernah sama selama-lamanya. Melayu merupakan bangsa, sedangkan Islam adalah agama. Siapa pun tidak boleh memilih untuk menjadi Melayu, tetapi dia boleh memilih untuk menjadi Islam.

Apabila Melayu dan Islam itu tidak sama, maka perjuangan Melayu dan perjuangan Islam juga adalah tidak sama. Walaupun orang Melayu sinonim beragama Islam, tetapi memperjuangkan Melayu adalah berbeza dengan memperjuangkan Islam, dan memperjuangkan Islam adalah berbeza dengan memperjuangkan Melayu.

Allah-lah yang menciptakan manusia dan melahirkan manusia sebagai bangsa apa berdasarkan kehendak-Nya, dan Dia tidak pernah meletakkan kemuliaan manusia itu kerana bangsanya. Namun Dia dengan jelas dan tegas menyatakan bahawa mulianya manusia itu adalah kerana ketakwaannya.

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوباً وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِير

“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal” [Al-Hujurat (49): 13].

Rasulullah (saw) mempertegaskan lagi bahawa kemuliaan seseorang manusia itu bukan kerana bangsanya, tetapi kerana ketakwaannya. Dikeluarkan oleh al-Baihaqi dari Abu Nadhrah dari Jabir bin Abdullah, ia berkata: Rasulullah (saw) berkhutbah kepada kami pada pertengahan hari Tasyriq dalam Khutbah Wada’. Baginda bersabda:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ، إِنَّ رَبَّكُمْ وَاحِدٌ، وَإِنَّ أَبَاكُمْ وَاحِدٌ، أَلا لا فَضْلَ لِعَرَبِيٍّ عَلَى عَجَمِيٍّ، وَلا لِعَجَمِيٍّ عَلَى عَرَبِيٍّ، وَلا لأَحْمَرَ عَلَى أَسْوَدَ، وَلا أَسْوَدَ عَلَى أَحْمَرَ، إِلا بِالتَّقْوَى، إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللهِ أَتْقَاكُمْ، أَلا هَلْ بَلَّغْتُ؟، قَالُوا: بَلَى يَا رَسُولَ اللهِ، قَالَ: فَلْيُبَلِّغِ الشَّاهِدُ الْغَائِبَ

“Wahai manusia, sesungguhnya Rabb kalian adalah satu dan bapa kalian adalah satu (Adam). Ingatlah, tidak ada kelebihan orang Arab atas non-Arab, tidak ada kelebihan non-Arab atas orang Arab, tidak ada kelebihan orang kulit putih atas orang kulit hitam dan orang kulit hitam atas orang kulit putih, kecuali dengan takwa. Sesungguhnya orang yang paling mulia dari kalian di sisi Allah adalah yang paling bertakwa. Ingatlah, apakah aku sudah menyampaikan?” Mereka berkata: “Benar wahai Rasulullah (bahawa engkau telah menyampaikan)”. Rasul (saw) bersabda: “hendaklah orang yang hadir menyampaikan (hal ini) kepada orang yang tidak hadir”.

Sungguh nyata bahawa Rasulullah (saw) tidak pernah memperjuangkan bangsa, dan tidak pernah mengajar umatnya untuk memperjuangkan bangsa. Sebagai Muslim, kita terima apa sahaja bangsa kita, dan bangsa orang lain, seadanya, tanpa perlu memperjuangkan atau meremehkan mana-mana bangsa.

Kita semua berasal dari bapa dan ibu yang satu, sama-sama berasal daripada Adam dan Hawa. Lalu bagaimana mungkin satu kaum merasa lebih tinggi atau lebih mulia berbanding kaum lainnya atas dasar keturunan? Bagaimana mungkin satu kaum boleh meremehkan kaum lain atas dasar keturunan?

Rasulullah (saw) berjuang untuk menegakkan Islam semata-mata, bukannya untuk meninggikan bangsa Arab atau mana-mana bangsa. Rasulullah tidak pernah mengutamakan bangsa Arab berbanding bangsa lainnya. Malah, baginda (saw) mengingatkan umatnya mengenai bahaya seruan kepada perkauman atau nasionalisme (assabiyyah). Sabda baginda:

لَيْسَ مِنَّا مَنْ دَعَا إِلَى عَصَبِيَّةٍ وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ قَاتَلَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ مَاتَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ

“Bukan daripada kami orang yang menyeru kepada assabiyyah, bukan daripada kami orang yang berperang kerana assabiyyah dan bukan daripada kami orang yang mati kerana (mempertahankan) assabiyyah” [HR Abu Daud].

Rasulullah (saw) pernah menegur Abu Dzar yang memanggil Bilal sebagai Ibnu Sauda’ (anak kepada orang hitam). Rasulullah (saw) mengingatkan Abu Dzar bahawa itu merupakan seruan Jahiliah sehingga Abu Dzar merasa sangat bersalah dengan perbuatannya itu, lalu meletakkan mukanya ke tanah untuk dipijak oleh Bilal bagi menebus kesalahannya.

Rasulullah (saw) tidak pernah membezakan Bilal yang berasal dari Habsyah itu, dengan mana-mana orang Arab, hanya kerana warna kulitnya hitam. Rasulullah (saw) memuliakan Bilal dan mengangkatnya sebagai mua’zzinnya. Malah, Bilal merupakan salah seorang sahabat yang telah dijanjikan syurga kerana kemuliaan dan kehebatannya setelah memeluk Islam.

Begitulah Allah (swt) mengangkat seseorang manusia atas dasar Islam, tetapi bukan atas dasar bangsanya. Bukan sahaja Bilal, Salman al-Farisi, salah seorang sahabat Rasulullah (saw) yang berketurunan Farsi (Iran) juga menjadi mulia dengan Islam.

Bersambung…