Memaknai Kemenangan Dalam Syawal

Oleh : Nusrah Amal

Kedatangan bulan Syawal pastinya akan disambut gembira oleh umat Islam seluruh dunia, terlebih lagi setelah kita menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan. Syawal dikatakan sebagai bulan kemenangan kerana umat Islam telah menang dalam mujahadah melawan lapar dan dahaga selama sebulan, bermujahadah melawan hawa nafsu dengan memperbanyakkan amal ibadah serta memperbaiki diri dengan amalan-amalan sunat.

Kemenangan tersebut dalam meraih ketakwaan dinyatakan oleh Allah SWT dalam firmanNya:

Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa. “ [TMQ al-Baqarah (2): 183].

Namun apakah kita benar-benar menang kali ini?

Ramadan kali ini disambut dengan rasa sayu serta rasa bersalah mengenangkan umat Islam di Malaysia atau mana-mana negara umat Islam yang tidak ada konflik boleh berpuasa dan berbuka dengan pelbagai juadah. Namun, saudara semuslim kita di Gaza, Palestin kelaparan malah berdepan dengan kematian setiap hari akibat kezaliman peperangan dengan negara haram Israel. Semenjak 7hb Oktober 2023 mereka telah berpuasa dan hingga kini belum ‘berbuka’ kerana sekatan bekalan makanan dan minuman oleh pemerintah haram ini.

Bulan Syawal kembali lagi dengan memberikan pengertian kemenangan kepada seluruh umat islam. Namun, apakah ini kemenangan yang kita inginkan? Apakah kita terus bersikap mementingkan diri dan melupakan nasib saudara-saudara seakidah kita? Apalah makna pahala yang kita kumpul sepanjang Ramadan jika kita tiada sedikit pun perasaan simpati dan empati terhadap umat Islam di belahan lain dunia.

Islam mewajibkan kita mendatangkan keredaan Allah dengan menebarkan kasih sayang. Rasulullah SAW pernah bersabda diriwayatkan Imam Abu Daud,

Sayangilah penduduk bumi, nescaya engkau akan disayangi oleh penghuni langit (para Malaikat).”

Rasulullah SAW menekankan pentingnya menjaga persaudaraan terutama bagi sesama muslim. Persaudaraan ini hanya bisa diwujudkan jika sesama muslim saling menyayangi dan mengasihi.

Sebagaimana sabda beliau berikut:

Dari An-Nu’man bin Bisyir dia berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‘Perumpamaan orang-orang yang beriman dalam hal saling mencintai, mengasihi, dan menyayangi di antara mereka adalah ibarat satu tubuh. Apabila ada salah satu anggota tubuh yang sakit, maka seluruh tubuhnya akan ikut terjaga (tidak bisa tidur) dan panas

(turut merasakan sakitnya).” (HR Muslim)

Masih perlukah kita umat Islam menunggu dan bergantung harap pada PBB, ICJ malah OIC yang hingga kini terus senyap tiada tindakan sementara kita melihat Israel terus mengganas dan bertekad untuk menghabisi umat Islam di Gaza, Palestin. Zionis Israel memperlakukan umat Islam sewenangnya tanpa ada perikemanusiaan. Seluruh dunia mengutuk perbuatan mereka, mereka tetap sombong dan angkuh untuk mencapai cita-citanya menghancurkan umat Islam di Gaza.

Islam tidak pernah membenarkan malah mengharamkan sebarang kekuasaan orang kafir ke atas umat Islam. Islam juga mengharamkan mengharapkan bantuan orang kafir untuk membantu umat Islam. Ini yang telah dimaklumkan oleh Firman Allah SWT,

Dan Allah sekali-kali tidak menjadikan jalan (mengharamkan) orang-orang kafir menguasai orang-orang beriman[TMQ an-Nisa’ (4):141].

Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim, yang menyebabkan kamu disentuh api neraka dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolong pun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan[TMQ Hud (11):113].

Di manakah pemimpin-pemimpin umat Islam seluruh dunia? Padahal ada 52 buah negara umat Islam seluruh dunia. Mengapa mereka terus berdiam diri sedangkan mereka memegang kekuasaan dan boleh mengerahkan kepada tindakan jihad. Dunia terus sepi, masa terus berjalan. Semakin hari, bumi Palestin terus bermandikan darah umat Islam yang tidak berdosa.

Dahulu, ketika bumi Arab jahiliah sering melakukan kemaksiatan, manusia hidup tanpa arah tujuan dan kezaliman bermaharajalela. Allah swt menurunkan Islam kepada nabi Muhammad saw untuk disampaikan kepada umat. Kedatangan Islam menjernihkan pemikiran umat dan membawa perubahan besar kepada cara hidup umat dari zaman kegelapan kepada kehidupan yang lebih teratur dan harmoni. Dengan Islam, kehidupan umat menjadi lebih teratur dengan mentaati hukum syarak. Umat Islam dipandang kuat dan mulia oleh musuh-musuh Islam. Seterusnya, di bawah naungan sistem Khilafah Islam, umat Islam memperoleh kesejahteraan sepenuhnya kerana pemimpinnya iaitu Khalifah menjalankan amanah dan tanggungjawab ke atas umat dengan berpandukan syariat daripada Allah.

Kemenangan Syawal hanya dapat dinikmati apabila kekuatan Islam ditegakkan dan dilaksanakan. Kemenangan Syawal hanya dapat dikecapi apabila khilafah didirikan dan seluruh hukum Islam dilaksanakan. Kemenangan Syawal dapat diraikan sebenar-benarnya apabila jihad dikumandangkan dan kezaliman orang kafir ke atas umat Islam dapat dihapuskan.

Firman Allah SWT,

Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari Akhir dan mereka yang tidak mengharamkan apa yang telah diharamkan Allah dan RasulNya dan mereka yang tidak beragama dengan agama yang benar (iaitu orang-orang) yang telah diberikan Kitab, hingga mereka membayar jizyah dengan patuh sedang mereka dalam keadaan tunduk

[TMQ at-Taubah (9):29].

Sesungguhnya kedatangan Syawal, Aidil Fitri yang disambut merupakan salah satu syiar yang menyatukan Muslim dari  barat hingga ke timur, dan mengingatkan kita bahawa perayaan kita satu, Tuhan kita adalah satu, Rasul kita adalah satu, agama kita satu, kiblat kita satu, kitab kita satu dan negara kita adalah satu. Justeru, kita perlu mengorak langkah untuk kembali kepada fitrah dengan melakukan perubahan yang hakiki dan mendasar. Kemenangan Syawal hanya dapat dinikmati dengan adanya perubahan hakiki. Perubahan hakiki yang dapat menyelesaikan secara menyeluruh persoalan umat Islam di seluruh dunia. Membangun kekuatan politik internasional yang akan menyatukan seluruh kaum Muslimin di bawah satu pemerintahan. Kekuatan politik itu tidak lain adalah negara Khilafah Islamiah, yang akan memayungi dan memelihara setiap Muslim di dunia. Seterusnya menerapkan syariat Islam secara kaffah dalam wadah Khilafah Islamiah tersebut berdasarkan kitabullah dan sunnah RasulNya.