Memang Islam sudah lengkap namun mengapa masih memilih selainnya?

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW bukan sahaja satu agama tetapi juga merupakan cara hidup yang lengkap untuk umatnya. Beliau berkata sememangnya umat Islam harus bersyukur kerana berpeluang menghayati kesyumulan atau sifat menyeluruh agama itu. “Kerana itu, kita memperingati hari kelahiran Nabi Muhammad SAW sebagai penyataan kasih dan sanjungan tinggi kita terhadap Baginda atas perjuangannya dalam menyebarkan syiar Islam,” kata Dr Mahathir dalam perutusan sempena sambutan Maulidur Rasul 1440H [Sumber: Astro Awani].


Komentar

Apabila kita melihat realiti di Malaysia, Islam hanya terbatas dalam urusan akidah, ibadah dan secebis dari aspek muamalah seperti pernikahan sahaja. Namun dari aspek muamalah yang lebih besar seperti politik, ekonomi, undang-undang dan lain sebagainya masih lagi berpandukan kepada akal manusia. Memang benar apa yang diperkatakan oleh Tun Dr Mahathir bahawa Islam bukan sahaja agama yang mengajar tentang amalan ritual semata-mata bahkan sebenarnya cara hidup yang lengkap bagi manusia. Namun pernyataan tersebut tidak menggambarkan realiti sebenar yang berlaku dalam pemerintahan beliau sekarang dan langsung tidak mencerminkan apa yang diperkatakannya.

Apa yang pasti, sebelum ini Tun turut mengakui terpaksa menyesuaikan pemikirannya dengan aliran sosialisme dan liberalisme dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan [Sumber: Berita Harian]. Oleh itu, tidak hairanlah apabila beliau tidak menerapkan Islam dalam pemerintahannya sekarang. Cukuplah kita melihat sejarah 22 tahun pemerintahan beliau sebelum ini yang jauh daripada penerapan Islam yang sebenar.

Islam ialah agama yang telah diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW untuk mengatur hubungan manusia dengan tuhannya yakni Allah SWT Yang Maha Pencipta, dengan dirinya sendiri serta sesama manusia. Pengaturan hubungan manusia dengan Allah SWT meliputi aspek akidah dan ibadah manakala aturan terhadap diri sendiri pula seperti yang berkaitan dengan makanan, minuman dan pakaian. Islam juga telah mengatur urusan manusia sesama manusia yang merangkumi tentang sistem pemerintahan, politik dalam dan luar negeri, ekonomi, undang-undang (uqubat) dan lain-lain yang berkaitan dengannya.

Dengan demikian, agama Islam telah cukup lengkap dan sempurna dalam semua aspek kehidupan tanpa perlu diambil atau dicedok daripada pemikiran atau undang-undang buatan manusia. Terlalu banyak ayat-ayat dalam al-Quran yang menyatakan kewajipan untuk menerapkan dan mengamalkan Islam secara keseluruhan. Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ

“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu” [TMQ al-Baqarah (2): 208].

Allah SWT juga telah menegaskan bahawa siapa sahaja yang memilih jalan selain Islam baik dalam aspek agama mahupun cara hidup, maka perbuatan tersebut tidak akan diterima oleh Allah SWT dan akan menyebabkan pelakunya mendapat kesengsaraan di akhirat kelak. Firman Allah SWT:

وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ

“Dan siapa sahaja yang mengambil selain Islam sebagai agama, maka tidak akan diterima dan di akhirat kelak dia termasuk dalam kalangan orang-orang yang rugi” [TMQ ali-Imran (3): 85].

Oleh yang demikian, jika Tun Dr Mahathir benar-benar mengakui bahawa Islam agama dan cara hidup yang lengkap seperti apa yang beliau katakan, maka beliau perlulah melaksanakan hukum Islam secara kaffah (keseluruhan) dalam pemerintahannya tanpa perlu berlengah atau memberikan alasan lagi.

Wallahualam.

Affan
Aktivis HTM