Membentuk Sebuah Keluarga Islam
Musuh-musuh Islam memang tidak menghendaki kaum Muslim berpegang teguh pada Islam secara utuh. Mereka tidak akan berdiam diri terhadap usaha kaum Muslim untuk menegakkan syariat Islam. Mereka berusaha keras untuk memisahkan kaum Muslim dari syariat Islam. Mereka terus berusaha mengaburkan syariat Islam dan mengikis sedikit demi sedikit syariat Islam dari kehidupan kaum Muslim.
Ternyata usaha mereka membuahkan hasil. Sedikit demi sedikit syariat Islam dipinggirkan oleh umatnya sehingga yang tinggal hanyalah peraturan yang berkaitan dengan ibadah ruhiyah (spiritual) dan kekeluargaan (munakahad). Namun, tidak cukup dengan itu, mereka juga terus berusaha untuk merosakkan hukum-hukum kekeluargaan dalam rangka memusnahkan kehidupan keluarga Muslim yang masih tinggal.
Membina Keluarga Islam
Keluarga Islam adalah keluarga yang dibangun atas dasar ketaatan kepada Allah Subhanahu wa Taala, yang mana pemahaman asas anggotanya adalah hanya mencari keredhaan Allah Subhanahu wa Taala, dan yang di atur oleh peraturan-Nya. Setiap anggota keluarga Islam ini menjalankan hak dan kewajiban masing-masing sesuai dengan peraturan Allah Subhanahu wa Taala. Ketaatan ini dimulakan dari sejak awal, iaitu dari sejak menentukan kriteria pasangan hidup, proses memilih, khitbah (meminang), pernikahan, serta proses menjalani kehidupan rumahtangga, iaitu sentiasa berada di jalan kebenaran, jalan Allah Subhanahu wa Taala.
Motivasi awal yang benar merupakan asas untuk membangun kehidupan rumahtangga yang kukuh. Dalam hal ini, Islam menetapkan bahwa motivasi seseorang melangsungkan kehidupan suami-isteri adalah untuk melaksanakan salah satu dari bentuk ibadah kepada Allah Subhanahu wa Taala. Kehidupan pernikahan adalah kehidupan persahabatan antara seorang suami dan isterinya. Suami menjadi sahabat kepada isterinya dan isteri menjadi sahabat kepada suaminya secara sempurna dalam seluruh aspek kehidupan. Allah telah menjadikan pernikahan sebagai tempat ketenangan bagi pasangan suami isteri, sebagaimana firman-Nya:
”Di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah diciptakan-Nya untuk kalian isteri-isteri dari diri kalian sendiri—supaya kalian cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikan-Nya di antara kalian rasa kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” [TQS Surah ar-Rum [30]: 21].
Bagaimana kita dapat membentuk keluarga yang sesuai dengan tuntutan Allah Subhanahu wa Taala, iaitu sebuah keluarga yang berasaskan ideologi Islam?
Pertama, asas dari pernikahan tersebut adalah akidah Islam, bukan manfaat ataupun kepentingan. Dengan menjadikan Islam sebagai landasan, maka segala sesuatu yang terjadi dalam keluarga tersebut dirujuk kembali pada Islam.
Kedua, adanya visi dan misi yang sama antara suami isteri tentang hakikat, tujuan hidup dan berkeluarga dalam Islam.
Ketiga, memahami dengan benar fungsi dan kedudukan masing-masing dalam keluarga dan berusaha sedaya upaya menjalankannya sesuai dengan tuntutan Allah dan Rasul-Nya.
Keempat, menjadikan Islam dan syariatnya sebagai penyelesaian terhadap seluruh permasalahan yang terjadi dalam kehidupan berkeluarga. Halal dan haram dijadikan landasan dalam melakukan sesuatu, bukan hawa nafsu.
Kelima, mengamalkan amar makruf nahi mungkar di antara sesama anggota keluarga sehingga seluruh anggota keluarga sentiasa berjalan pada landasan Islam.
Keenam, menghiasi rumah dengan membiasakan melakukan amalan-amalan sunnah, seperti membaca al-Quran, bersedekah, melakukan solat sunnah, dan sebagainya.
Ketujuh, sentiasa berdoa kepada Allah dan bersabar dalam apa jua situasi.
Peranan Penting Keluarga
Itulah bangunan asas untuk membentuk keluarga yang kukuh dan berideologi Islam. Lebih dari itu, bangunan keluarga tersebut akan mencapai kekuatan yang hakiki jika berjaya di dalam persekitarannya, kerana keluarga memiliki peranan yang penting dalam pembentukan sebuah masyarakat. Keluarga adalah persekitaran awal pendidikan asas bagi seorang manusia. Jika keluarga, sekolah, dan masyarakat merupakan sendi-sendi pendidikan yang penting, maka keluarga adalah pemberi pengaruh pertama. Keluarga memiliki peranan strategik dalam proses pendidikan anak, bahkan umat manusia. Keluarga lebih kuat pengaruhnya dari sendi-sendi yang lain. Sejak awal kehidupannya, seorang manusia lebih banyak mendapat pengaruh dari keluarga sebab waktu yang dihabiskan di keluarga lebih banyak daripada di tempat-tempat lain.
Pada hakikatnya, pendidikan di dalam keluarga merupakan pendidikan sepanjang hayat. Pembinaan dan pengembangan keperibadian serta penguasaan tsaqâfah Islam dilakukan melalui pengalaman hidup sehari-hari dan dipengaruhi oleh sumber pembelajaran yang ada di dalam keluarga, terutama ibu dan bapanya. Keluarga adalah sebahagian dari masyarakat. Hubungan keduanya saling berkaitan dan saling mempengaruhi. Nilai masyarakat yang baik dan benar akan mewarnai kehidupan keluarga; begitu juga sebaliknya kerana individu-individu yang beriman dalam keluarga yang Islamik akan menjadi benih bagi penyebaran pemikiran, perasaan dan peraturan, serta nilai Islam di tengah masyarakat. Jadi, peranan keluarga dalam masyarakat tidak boleh diabaikan. Keluarga mesti dibina dan ditegakkan di atas nilai Islam.
Begitu pentingnya pembinaan dan pendidikan di dalam keluarga, pendidikan anak sejak awal dalam keluarga akan tertanam secara kuat di dalam diri seorang anak. Sebab, pengalaman hidup pada masa-masa awal umur manusia akan membentuk ciri-ciri khas, samada dalam tubuh mahupun pemikiran, yang boleh jadi tidak ada yang dapat mengubahnya sesudah masa itu.
Untuk itu, keluarga secara langsung ataupun tidak turut mempengaruhi jatidiri sebuah masyarakat. Dari keluargalah munculnya generasi manusia yang bermartabat, memiliki perasaan kasih sayang, dan saling tolong-menolong di antara mereka. Dengan itu, akan terciptalah aturan kehidupan masyarakat yang kuat, yang disokong oleh keluarga-keluarga yang harmoni dan berkasih sayang kerana memiliki pemikiran ideologi Islam sebagai asasnya.
Keluarga Islam tidak boleh memisahkan diri dengan masyarakat sekelilingnya. Kita mesti berada di tengah masyarakat; mewarnai dan mengubahnya dari keadaan jauh dari Islam menjadi Islamik. Langkah inilah yang dicontohkan oleh Rasul. Rasulullah memerintahkan kita berbuat baik terhadap jiran tetangga, ertinya mesti ada interaksi yang positif dengan persekitaran tempat kita berada. Bahkan, Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam memerintahkan kita untuk menjadi orang yang membuat kebaikan, kerana Rasul bersabda, “Sebaik-baik manusia adalah orang yang paling banyak berbuat kebaikan (manfaat) kepada yang lainnya.”
Kepentingan Sistem Politik yang Kondusif
Akhirnya, hal penting lainnya yang tidak boleh kita abaikan dalam pembentukan keluarga yang kuat dan berideologi Islam adalah peranan sistem yang menyokong hal tersebut. Ini adalah kerana walau betapa kuatnya kita melindungi keluarga dengan idea-idea dan pemikiran-pemikiran Islam dan pembinaan yang gigih kepada anak-anak dan anggota keluarga lainnya, apabila sistem yang dilaksana dan dikuatkuasakan di tengah kehidupan keluarga itu tidak menggunakan peraturan-peraturan Islam, maka sukar bagi bangunan keluarga yang kukuh itu untuk bertahan.
Ini disebabkan serangan dari luar akan senantiasa menghalang, samada dalam bentuk (i) pemikiran-pemikiran yang bertentangan yang boleh mempengaruhi tingkah laku dan moral anggota keluarga ataupun (ii) rintangan melalui ekonomi yang menyukarkan untuk memenuhi keperluan asas anggota keluarga. Dari sinilah biasanya muncul tindakan jenayah dan lain-lain masalah sosial. Untuk itu, penataan kehidupan yang benar berkaitan dengan semua urusan masyarakat sangat diperlukan. Dengan sistem politik Islamlah semua ini boleh diwujudkan.
Sistem politik Islam memiliki kemampuan untuk memberikan penyelesaian atas semua persoalan. Sama ada persoalan individu, keluarga, ataupun masyarakat. Sistem Islam mampu membendung serangan musuh-musuh Islam di tengah-tengah kaum Muslim dan menjaga masyarakat agar tetap dalam keimanan dan aturan yang sesuai dengan peraturan Islam. Hal ini dilakukan dengan cara penerapan peraturan-peraturan Islam yang menyeluruh. Sebab, sistem politik Islam itu sendiri intinya adalah bagaimana menciptakan pengaturan urusan masyarakat sesuai dengan tuntutan syariat Islam sehingga tercipta aturan masyarakat yang baik, damai, dan sejahtera; yang dipenuhi dengan keampunan dan keredhaan Allah Subhanahu wa Taala.
Khatimah
Untuk menghalang usaha menghancurkan keluarga Muslim dan Islam secara umumnya, maka kaum Muslim secara bersama-sama dituntut untuk memiliki kesedaran dalam memahami Islam secara menyeluruh dalam segala aspek. Dengan begitu, kaum Muslim akan dapat memahami dan menjangkakan bahaya idea-idea asing yang bertentangan dengan Islam seperti feminisme, kesamaan gender, emansipasi, liberalisme dan sebagainya. Pemahaman Islam seperti ini boleh kita perolehi dengan cara membina diri kita dan kaum Muslim secara terus-menerus dengan tsaqâfah Islam.
Tsaqâfah Islam tersebut kemudiannya dijadikan sebagai acuan atau landasan untuk berhadapan dengan pelbagai pemikiran dan pemahaman asing yang menyerang. Hal ini mesti diteruskan dengan sentiasa mengikuti perkembangan berita dan fakta-fakta, kemudian memahaminya dan memberikan penyelesaian sesuai dengan Islam.
Selain itu, penting untuk melibatkan diri secara aktif dalam usaha menyebarkan idea-idea Islam tersebut di tengah-tengah masyarakat. Ini adalah kerana membentuk keluarga yang kukuh tidak cukup dilakukan oleh individu di dalam sebuah keluarga semata-mata. Akan tetapi, hal itu juga mesti ditempuh secara politik, sistematik, dan ideologis dalam suatu gerakan yang terorganisasi secara rapi. Ini juga disebabkan kaum kafir pun, dalam menghancurkan keluarga Muslim, melakukannya bukan hanya melalui aktiviti penyebaran idea secara individu semata, tetapi melalui sebuah gerakan yang memiliki kekuatan besar dan didukung oleh ideologi tertentu (kapitalis-sekular) di belakangnya.
Oleh kerana itu, yang perlu menjadi agenda kaum Muslim pada masa ini untuk menghalang usaha menghancurkan keluarga Muslim adalah bagaimana menghadirkan Islam dengan pemahaman Islam yang utuh dan menyeluruh dalam pengaturan umat secara nyata, sama ada diperingkat individu, keluarga, masyarakat, mahupun negara. Dengan begitu, kaum Muslim boleh keluar dari kesengsaraan dan sekaligus bangkit kembali sebagai umat terbaik (khayr al-ummah), yang tegak di atas keluarga-keluarga yang kuat.
Ketika persekongkolan besar musuh-musuh Islam berjaya meruntuhkan Khilafah Islamiyah pada tahun 1924, yang masih tinggal di tengah-tengah umat Islam adalah tatacara kehidupan sosial di antara mereka, beserta hukum-hukum yang bersifat individu seperti ibadah solat, puasa, zakat, haji. Walaupun sistem pemerintahan Islam sudah hancur dengan runtuhnya Khilafah Islam, sisa-sisa budaya keIslaman masih terpelihara baik di dalam rumahtangga-rumahtangga kaum Muslim. Pada masa kini, keluarga-keluarga Muslim menjadi harapan tempat bersemainya kembali ideologi Islam. Keluarga dengan ayah sebagai pemimpin seluruh anggota dan ibu sebagai sumbu aktiviti dalam rumah tangga menjadi tumpuan lahirnya generasi-generasi yang kelak akan menghidupkan kembali peradaban dunia dengan Islam. Wallahu’alam bishawab
Sumber : HTI