Apa lagi yang melahirkan keluarga ‘sandwich’ kalau tidak system taghut buatan manusia!!

Keluarga ‘sandwich’ hadapi tekanan

Satu daripada empat keluarga di empat negeri berdepan masalah emosi kerana wang

KUALA LUMPUR: Sebanyak 111,401 atau satu bagi setiap empat keluarga di ibu kota didapati menghadapi tekanan emosi dan mental yang teruk kerana tergolong dalam keluarga ‘sandwich’ kerana kemampuan kewangan mereka terhad. Sindrom keluarga ‘sandwich’ adalah istilah digunakan bagi pasangan yang perlu menanggung anak sendiri disamping terpaksa menjaga ibu bapa mereka, iaitu tiga generasi duduk dalam satu rumah.  Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Keempat dan Banci Penduduk Perumahan Malaysia 2010 juga mendapati selain Kuala Lumpur, masalah itu turut serius di Selangor, Perak dan Terengganu.

Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Aminah Abdul Rahman, berkata saiz isi rumah keluarga di Kuala Lumpur yang rendah iaitu purata empat orang setiap keluarga turut menyebabkan beban untuk menjaga ibu bapa mereka terpaksa dikongsi jumlah anak yang sedikit.

Beliau berkata, situasi itu akan menjadi lebih serius dan membimbangkan terutama bagi pasangan muda yang tidak mempunyai sumber kewangan mencukupi untuk menguruskan keperluan anak dan ibu bapa serentak.

“Cabaran itu tidak boleh diambil ringan kerana tuntutan keluarga dan kerjaya memberi tekanan emosi dan mental sekiranya khidmat sokongan keluarga tidak disediakan pihak berwajib,” katanya kepada pemberita selepas taklimat Dasar Keluarga Negara di sini, semalam. Turut hadir, Pengerusi LPPKN, Tan Sri Napsiah Omar.

Sehubungan itu, Aminah menyarankan kerajaan supaya menyediakan khidmat sokongan lebih komprehensif seperti mempermudahkan peraturan bagi pusat jagaan kanak-kanak dan warga emas, selain mengkaji semula dasar yang tidak mesra keluarga di tempat kerja.
Katanya, semua dasar kerajaan berhubung isu kekeluargaan perlu diambil kira dalam setiap perancangan dan pembangunan bagi memperkasakan ketiga-tiga generasi keluarga sandwich itu. LPPKN kini mengadakan jelajah ke seluruh negara untuk memberi penerangan mengenai Dasar Keluarga Negara (DKN). Aminah berkata, cadangan dan maklumat yang diperoleh sepanjang sesi jelajah di seluruh negara itu akan disampaikan kepada kerajaan sama ada bagi menambah baik dasar sedia ada atau menggubal dasar baru.

Sumber : Berita Harian: 30/06/2011

Apa lagi yang melahirkan keluarga ‘sandwich’ kalau tidak system taghut buatan manusia!!

Masalah masyarakat dan umat Islam hari ini nampaknya semakin lama semakin parah. Dari satu masalah kepada masalah yang lain. Tepatlah firman Allah SWT: “Dan barangsiapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam  keadaan buta”. [ TMQ Thaahaa (20) : 124]. Malangnya umat Islam khususnya para pemimpin dan pemerintah yang terlibat dalam pengaturan dan pengurusan urusan umat tidak pernah cuba memahami bahawa masalah ini adalah sebenarnya simptom dari masalah utama iaitu apabila tidak diterapkannya sistem kehidupan Islam.  Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW dijamin oleh Allah SWT sebagai suatu sistem yang akan menebarkan rahmatnya ke sekelian alam. FirmanNya: “dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam”. [ TMQ Al Anbiyaa’ (21) : 107].

Faktanya, sistem yang diterapkan hari ini adalah sistem taghhut kapitalisme yang lahir dari akidah sekular yang memisahkan  peranan agama dari kehidupan. Inilah yang menjadi penyebab yang paling utama berlakunya pelbagai masalah termasuklah isu yang berkaitan dengan kemiskinan. Umat Islam hari ini perlu sedar bahawa satu-saunya penyelesaian yang paling benar adalah Islam. Ini termasuklah dalam isu kemiskinan. Caranya, Islam wajib diterapkan di dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Apa yang pasti, negara yang menerapkan Islam akan juga menerapkan sistem ekonomi Islam sebagai salah satu dari sistem-sistem Islam yang wajib diterapkan untuk mengatur hubungan manusia dengan manusia yang lain. Sejarah kegemilangan Islam di zaman Khilafah membuktikan kejayaaan dan kemampuaan Islam sebagai suatu cara hidup untuk menyelesaikan seluruh masalah umatnya termasuklah persoalan ekonomi. Apa lagi yang diharapkan oleh umat Islam hari ini kepada sistem kapitalisme dalam menyelesaikan masalah mereka sedangkan Allah SWT telah menyediakan sistem Islam sebagai suatu sistem yang terbaik untuk manusia? Kegagalan sistem kapitalisme hari ini sudah ternyata di depan mata. Firman Allah SWT: “Apakah hukum jahiliyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin ?”  [TMQ Al Maa-idah (5) : 50].

Apakah kalian masih mahu terus menutup mata kalian?