Membina Pemahaman Yang Benar Terhadap Berita

Firman Allah:
الم
غُلِبَتِ الرُّومُ
فِي أَدْنَى الْأَرْضِ وَهُمْ مِنْ بَعْدِ غَلَبِهِمْ سَيَغْلِبُونَ
فِي بِضْعِ سِنِينَ ۗ لِلَّهِ الْأَمْرُ مِنْ قَبْلُ وَمِنْ بَعْدُ ۚ وَيَوْمَئِذٍ يَفْرَحُ الْمُؤْمِنُونَ
بِنَصْرِ اللَّهِ ۚ يَنْصُرُ مَنْ يَشَاءُ ۖ وَهُوَ الْعَزِيزُ الرَّحِيمُ
(1)  Alif Laam Miim. (2) Telah dikalahkan bangsa Rom. (3) Di negeri yang terdekat  dan mereka sesudah dikalahkan itu akan menang (4)  Dalam beberapa tahun (lagi). Bagi Allah-lah urusan sebelum dan sesudah. Dan pada hari (kemenangan bangsa Rom) itu bergembiralah orang-orang yang beriman, (5) Karena pertolongan Allah. Dia menolong siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Dialah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.[TMQ Ar-Rum(30):1-5]

Sebagai Muslim, kita diamanahkan untuk memainkan peranan sebagai duta untuk Islam dan membawa pemikiran dan idea Islam kepada orang lain. Bagi mencapai tujuan tersebut, adalah penting untuk memahami dunia di mana kita hidup. Langkah pertama kepada hal ini adalah dengan menyedari peristiwa-peristiwa dan isu-isu yang terjadi setiap hari dengan mengikuti berita-berita yang terjadi di seluruh dunia.

Al-Quran telah mengungkap realiti semasa pada peringkat awal kitab ini diturunkan. Salah satu contohnya adalah peperangan yang terjadi di antara Rom dan Parsi yang menjadi buah mulut di kalangan penduduk Mekah setelah bangsa Parsi yang musyrik mengalahkan bangsa Rom yang beragama Kristian. Surah Ar-Rum diwahyukan untuk mengungkapkan hal ini dan meramalkan bahawa kekalahan bangsa Rom hanyalah sementara, yang mana mereka akan menang sekali lagi pada masa akan datang.

Selain itu, Al-Quran juga menyatakan keyakinan pada Tuhan yang satu dan menekankan permasalahan sosial yang berlaku seperti kes penipuan di pasar dan tindakan menanam anak perempuan hidup-hidup. Walaupun Nabi Muhammad SAW menangani keperluan individu, baginda juga menekankan kepincangan dan kerosakan masyarakat ketika itu.

Dengan munculnya saluran berita 24 jam, blog, web portal, youtube dan telefon pintar, berita-berita terkini dapat diketahui lebih awal berbanding membaca surat khabar harian. Kemudahan yang memungkinkan sesiapa sahaja untuk menulis dan memberikan pendapat tentang sesuatu isu daripada sudut pandang masing-masing. Perkembangan penulisan berita juga telah menentukan fungsi berita yang mana pada peringkat awal ia sekadar menyebarkan informasi tentang peristiwa-peristiwa tertentu hinggalah digunapakai sebagai kaedah untuk menyebarkan pemikiran atau ideologi menerusi sesuatu isu. Hal ini boleh dilihat di dalam paparan berita-berita tempatan, nasional dan global, namun tidak ke atas semua jenis berita.

Sebagaimana yang akan dibahaskan nanti, kebanyakan paparan berita mengandungi kecenderungan politik dan ideologi serta ditentukan oleh konteks politik semasa berkaitan masalah tertentu. Contohnya jika pandangan umum masyarakat dan pandangan para pemimpin politik mengenai harga-harga komoditi adalah sesuatu yang tinggi, hal ini akan memerlukan seorang wartawan yang sangat berani atau kurang bijak untuk menentang pandangan tersebut. Di sebalik slogan dan pandangan umum mengenai kebebasan media, kebanyakkan wartawan lebih rela mengikuti landasan ideologi yang menjadi pegangan umum masyarakat dan negara.

Menghilangkan Pendapat Kewartawanan daripada Berita

Sesiapa sahaja yang menulis tentang sesuatu peristiwa akan mendapati pendapat diri sendiri tentang peristiwa tersebut muncul dalam tulisan-tulisan mereka. Hal ini merupakan akibat semula jadi dengan adanya pandangan dan idea tentang sesuatu di dunia ini. Demi menghargai sepenuhnya sesebuah berita dan untuk membina sudut pandangan Islam kita sendiri, maka adalah perlu untuk melihat berita-berita dengan cara yang benar.

Sebagai contoh, sebuah kisah tentang kebakaran yang terjadi di sebuah kilang yang terletak di suatu tempat dan tindak balas yang diberikan oleh pasukan keselamatan ke atas kejadian tersebut dapat diambil sebagai informasi, karena tidak ada pandangan tertentu yang dikaitkan dengan berita itu. Walaupun jika seorang wartawan merasakan bahawa pasukan keselamatan mampu bertindak lebih cepat, semua ini tidak relevan kerana satu-satunya informasi adalah kebakaran itu sendiri.

Di sisi lain, terjadinya setiap serangan bom di Lahore, Pakistan maka paparan berita-berita memberikan sudut pandangan yang berbeza, yang pada waktu ini kebanyakannya akan berkisar pada konteks menyalahkan kumpulan ‘militan Islam’ atas terjadinya serangan. Ia melaporkan di dalam bentuk yang menunjukkan rakyat Pakistan sedang diserang dan hak kebebasan serta konsep demokrasi mereka sedang terancam. Semua ini dipaparkan dan disiar berulang-kali walaupun siasatan belum selesai. Ulasan seperti ini merupakan salah satu contoh bahawa pendapat jurnalis telah mengatasi fakta sebenar yang belum pun diketahui kerana masih di dalam siasatan, sebuah kaedah klasik yang digunakan oleh pengamal media. Dengan mengulang-ulang kenyataan apa yang ‘mungkin’ boleh berlaku, secara tidak langsung akan menjadikan fakta yang tidak pasti akhirnya ‘diterima’ oleh orang ramai sebagai sesuatu kebenaran. Akhirnya, pengulangan berita untuk jangka masa yang panjang akan membawa kesimpulan yang dikehendaki iaitu bahawa apabila seseorang mendengar suatu letupan lagi di bandar-bandar lain di Pakistan pada masa akan datang, maka yang terlintas pertama kali dalam fikirannya adalah kejadian tersebut merupakan  serangan pengganas walaupun sebenarnya hal itu terjadi disebabkan oleh kebocoran gas.

Oleh hal yang demikian, adalah penting untuk menghilangkan pendapat kewartawanan tersebut daripada berita dan hanya mengambil fakta-faktanya, kerana jika tidak demikian, pemahaman ke atas peristiwa-peristiwa terkini boleh dipengaruhi oleh sumber penyiar berita itu sendiri. Keadaan ini menyebabkan orang-orang yang membawa informasi tentang kejadian-kejadian yang berlaku hanya sekadar untuk praktikal akademik.

Peristiwa semasa terbaik yang menunjukkan pendapat berat sebelah dalam laporan berita adalah peristiwa Revolusi Arab. Ketika kejadian yang berlaku di Mesir diungkap pada akhir Januari 2011, laporan-laporan awal dalam kebanyakkan saluran berita adalah terjadinya protes ‘Anti-Mubarak’, dan hal ini adalah pandangan yang diwar-warkan oleh sumber berita seperti Al-Jazeera, BBC dan New York Times. Walau bagaimanapun, ketika protes itu mulai matang dan jumlah orang ramai yang turun ke jalanan semakin meningkat, secara tiba-tiba saluran berita beralih topik dengan merujuk protes tersebut sebagai protes ‘pro-demokrasi’. Hampir semalaman semua saluran berita itu mengacu kepada seruan bagi demokrasi gaya Barat di wilayah tersebut. Apa yang ditimbulkan ini bukanlah mengenai konspirasi tertentu oleh pihak media, tetapi lebih kepada mencerminkan konteks yang diciptakan untuk mereka oleh ahli politik Barat seperti Barack Obama yang mana dengan sikapnya yang mendukung protes dan menyerukan reformasi demokratik telah menetapkan agenda tertentu untuk diikuti oleh pihak media.

Tidak ada fakta yang menunjukkan bahawa orang ramai menyeru kepada demokrasi sejak demonstrasi itu mulai terjadi seminggu sebelumnya ataupun lebih awal. Jika ada alasan kenapa semakin ramai orang yang turun ke jalanan dan ratusan ribu orang berdoa di Tahrir Square, maka yang lebih tepat adalah titik rujukan ( alasan) bagi kebanyakan penunjuk perasaan itu bukanlah liberalisme melainkan Islam. Pemberitaan secara konsisten mengenai demonstrasi pro-demokrasi bermaksud ketika kebangkitan itu sampai ke Libya, Yaman dan Syria, secara automatik kebanyakkan orang akan mengandaikan bahawa rakyat negara tersebut juga menginginkan demokrasi, suatu andaian yang berbasis pada informasi rekaan sebelumnya, bukan pada realiti.

Semasa protes di Yaman mencapai kemuncaknya, banyak saluran berita utama menunjukkan gambar-gambar Sheikh Zindani berucap kepada kerumunan peserta demonstrasi besar-besaran yang diadakan pada hari Jumaat di Sana’a. Jika anda percaya pada berita yang disiarkan itu, maka kesimpulan anda adalah peristiwa tersebut merupakan perhimpunan orang-orang yang menyeru kepada demokrasi dan liberalisme. Namun, orang yang mengerti bahasa Arab dan benar-benar mendengar apa yang diperkatakan oleh Zindani akan menyedari bahawa beliau menyerukan penerapan Syariah dan Khilafah dengan memetik hadis Nabi Muhammad SAW tentang kembalinya Khilafah.

Sumber-sumber Media Sebagai Alat Politik

Majoriti organisasi media arus perdana memiliki beberapa jenis afiliasi politik, antaranya didapati  melalui pengaruh langsung dengan menyalurkan dana kepada parti politik seperti dalam kes Rupert Murdoch dan kumpulan surat khabarnya. Walau bagaimanapun organisasi media arus perdana yang lain dilobi oleh para politikus dan penasihat mereka untuk menyiarkan kisah-kisah dan pendapat tertentu. Contohnya adalah penasihat Tony Blair, Alistair Campbell, terkenal kerana gangguannya pada media sehingga media tersebut menulis apa yang beliau inginkan.

Di dunia Muslim, keadaan tersebut juga tidak jauh berbeza apabila presiden dan para pemimpin yang secara teratur mengadakan pertemuan dengan para editor surat khabar utama dan menyebarkan ketakutan agar dapat menghentikan sebarang bentuk berita yang mempromosikan tindakan-tindakan anti-kerajaan. Kaedah seperti inilah yang dilakukan oleh Pervez Musharraf di Pakistan terutama setelah memberikan dokongan penuh ke atas serangan NATO di Afghanistan. Apabila taktik Musharraf menemui wartawan gagal untuk membuahkan hasil seperti yang diinginkan, beliau bertindak melarang siaran Geo TV di Pakistan.

Pembunuhan wartawan Pakistan, Saleem Shahzad, pada bulan Jun 2011 disebut-sebut bahawa hal itu disebabkan oleh laporannya tentang ekstremisme, sehingga dia dilabelkan sebagai mangsa kelompok ekstrimis yang beliau laporkan. Namun hakikatnya, pembunuhan tersebut adalah bermotif politik dan suatu isyarat kepada semua wartawan Pakistan yang berani mempersoal atau mengungkap kesalahan pemerintah. Para wartawan yang menunjukkan sokongan atau simpati mereka ke atas pandangan yang berada di luar norma yang dapat diterima biasanya dijadikan sasaran oleh pihak berkuasa di negeri-negeri umat Islam.

Tangkapan, penyeksaan dan pemenjaraan yang baru-baru ini terjadi ke atas wartawan Tajikistan, Urunboy Usmonov, kerana laporannya mengenai jemaah Islam Hizbut Tahrir menunjukkan betapa tingginya tahap gangguan atau akibat yang perlu dilalui oleh wartawan hanya kerana melaporkan apa yang terjadi dalam masyarakat sekitar mereka. Di Barat, wartawan media bebas diberikan pelbagai imbuhan supaya menyiarkan berita yang menguntungkan, sedangkan di belahan dunia lain mereka diganggu-gugat dan diseksa sebagai jalan untuk menutup mulut golongan ini.

Sebagai tambahan terhadap pengaruh tersebut, beberapa organisasi media digunakan sebagai alat untuk menyebarkan agenda politik tertentu pihak kerajaan. Secara tradisi, dunia Barat telah menggunakan saluran-saluran seperti BBC dan CNN untuk menyebarkan pandangan politik serta  ideologi mereka kepada dunia. Jika kehadiran McDonalds melambangkan kewujudan dasar-dasar pasaran bebas, maka kehadiran CNN di sesebuah negara pula bererti bahawa nilai-nilai Barat seperti liberalisme dengan mudahnya dapat  disebarkan dan berkembang terutamanya di negeri umat Islam. Perkara ini seolah-olah sesuatu yang tidak merbahaya bagi sesetengah orang  dan sebuah tanda kemajuan bagi sesetengah yang lain tetapi perlu diingat media tersebut membantu membentuk masa depan politik, sosial, ekonomi dan intelektual seluruh bangsa.

Kemudahan untuk tertubuhnya saluran satelit baru bermaksud bahawa kebanyakkan negara boleh menyebarkan pandangan-pandangan mereka kepada penonton yang yang terdapat di seluruh dunia. Saluran-saluran berita seperti Press TV (Iran), Al-Jazeera, Russia Today (RT) dan pelbagai saluran China sekarang sudah sampai ke tahap global. Kaedah yang digunakan oleh saluran-saluran itu semasa membincangkan dan memperdebatkan isu-isu tertentu sebenarnya mengikut polisi atau dasar-dasar luar bagi negara-negara yang mereka wakili.

Saluran berita Press TV dari Iran telah menjadi satu-satunya saluran berita yang tidak membuat liputan perkembangan kebangkitan umat yang terjadi Syria sebagaimana liputan terhadap protes-protes lain yang telah terjadi. Malahan badan berita itu telah melangkah lebih jauh dalam menyiarkan laporan-laporan yang secara terang-terangan mendukung rejim Assad. Hal ini selari dengan polisi luar negeri Iran yang menyokong Syria karena hubungan Syiah yang mereka miliki.

Begitu juga halnya dengan Russia Today (RT) yang telah mempropagandakan agenda anti-Amerika pada seluruh operasi yang dilakukan oleh NATO di Libya dan juga sekali lagi menekankan penggunaan gas pemedih mata buatan Amerika dalam protes di Mesir baru-baru ini. Pendirian anti-Amerika ini juga telah disebarkan oleh saluran Berita Cina (CCTV). Rusia dan Cina adalah antara pesaing Amerika di dalam politik dan ekonomi di dunia. Oleh kerana itu wajar bagi saluran-saluran berita mereka digunakan untuk  melemahkan polisi Amerika di dunia dengan berkesan.

Sikap berat sebelah atau double-standard di dalam melaporkan sesuatu berita ini bukan hanya ditunjukkan oleh saluran-saluran  yang kurang dikenali tetapi juga oleh saluran-saluran berita seperti BBC dan Al-Jazeera yang merupakan lanjutan daripada BBC lama berbahasa Arab di Qatar. Semasa berlakunya kebangkitan rakyat di Mesir, Mohamed El-Baradei, bekas ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), telah disebut-sebut oleh BBC dan Al-Jazeera sebagai penyelamat Mesir. Kehadiran beliau bersama segelintir penyokongnya di Tahrir Square diwar-warkan sebagai tonggak perubahan politik Mesir. El-Baradei adalah tokoh yang disanjung di Eropah dan British merupakan seorang sekutu yang lumrah bagi BBC dan Al-Jazeera.

Bagi Amerika, beliau dilihat sebagai pencetus masalah disebabkan pandangannya yang berbeza mengenai polisi nuklear Iran sewaktu menjadi ketua IAEA. Oleh yang demikian, CNN menghabiskan sebahagian besar liputan tentang kedatangannya ke Mesir dengan mempersoalkan keabsahan pencalonan beliau. Pada waktu yang sama ketika Al-Jazeera mempromosikan keabsahan El-Baradei, CNN pula menggunakan kemahiran pakar untuk menimbulkan keraguan mengenai keupayaan El-Baradei untuk menerajui sebuah pemerintahan.
Merumuskan Sudut Pandangan Islam Terhadap Berita

Memahami berita dan merumuskan pendapat mengenai apa yang sedang berlaku di dunia di sekeliling kita adalah sesuatu yang boleh dilakukan dengan mudah seandainya kita memahami pandangan yang mempunyai ideolog tertentu, kecenderungan dan sikap berat sebelah di dalam ‘mempolitikkan’ berita dan konteks semasa. Semua tindakan ini hanyalah sekadar pra-syarat kepada tujuan sebenar dalam mengejar berita iaitu untuk membina suatu sudut pandangan Islam ke atas dunia di mana kita hidup.

Sebagaimana Islam diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW untuk menangani realiti yang dihadapi Baginda, maka Islam juga boleh menangani dunia tempat kita hidup pada hari ini. Memahami dan mencipta pendapat Islam tentang isu-isu pada hari ini adalah sesuatu yang fundamental untuk menyebarkan pemikiran Islam ke seluruh dunia.

Sebagai satu contoh adalah campur tangan Barat di dunia Muslim dan reaksi dari para penguasanya. Dengan hanya memeriksa fakta-fakta yang ada, jelas bahwa serangan NATO di pos-pos sempadan Pakistan tidak lebih daripada suatu tindakan perang. Tidak ada istilah politik lain yang dapat digunakan untuk menjelaskan tindakan ini. Media akan menjadikan anda percaya bahawa tindakan menutup Pangkalan Udara Shamsi dan menyekat laluan sumber bekalan bagi NATO merupakan jenis penentangan yang besar terhadap hegemoni Amerika. Namun, dengan  menghapuskan sikap berat sebelah politik media dan memahami serta menerapkan pandangan-pandangan Islam terhadap hal tersebut, maka jelas bahawa Islam mewajibkan penguasa untuk memutuskan semua hubungan dengan Amerika. Ini juga termasuk mengusir semua agen CIA dan para diplomat, serta menamatkan semua hubungan ekonomi dan ketenteraan dengan mereka.

Pendapat ini hanya dapat dicapai dengan melihat secara telus dolak-dalik media dan mengaplikasikan pemahaman Islam ke atas peristiwa-peristiwa yang terjadi ketika ini. Hal ini tidak hanya terjadi pada isu-isu politik tetapi juga isu-isu kemasyarakatan. Baru-baru ini, Channel Dawn, sebuah TV Pakistan (seperti surat khabar) memuatkan berita tentang pekerja seks di Karachi dan penularan penyakit kelamin, yang mana penyelesaian yang mereka tawarkan adalah kontrasepsi dan pendidikan yang lebih baik ke atas pekerja seks mengenai penyakit kelamin. Ini merupakan sebuah penyelesaian yang didorong oleh ideologi barat dan bukan berasal dari Islam.

Melihat berita tersebut dengan cara yang benar bererti kita akan memahami bahawa masalah pelacuran di Pakistan merupakan kesan daripada penerapan sistem yang tidak berlandaskan Islam dan bukan kerana kemahuan rakyat. Penyelesaian bagi masalah ini bukanlah pendidikan yang lebih baik, tetapi dengan melarang adanya kegiatan pelacuran disebabkan keharamannya, sekaligus dengan menghapuskan kemiskinan yang menyebabkan para wanita menjual diri kemudian diikuti dengan hukuman bagi orang-orang yang melakukan perbuatan tersebut.

Islam adalah unik dalam kemampuannya untuk mengatasi semua masalah pada setiap waktu, dan kemampuan ini cuma dapat ditunjukkan sepenuhnya kepada masyarakat di sekeliling kita jika kita memahami isu-isu semasa yang berlaku.
Wallahua’lam

Sumber: www.khilafah.com