Memboikot pilihan raya adalah haram?

Persoalan 11

Memboikot pilihan raya adalah haram, kerana pilihan raya bukan sahaja perlu untuk memilih pemimpin yang diwajibkan dalam Islam, malah mengundi parti Islam juga adalah wajib kerana ia akan menegakkan Islam.

Jawapan:

Perlu difahami bahawa pilihan raya di Malaysia bukanlah proses untuk memilih pemimpin, tetapi merupakan proses untuk memilih “wakil”. Perdana Menteri dipilih oleh dan daripada parti yang menang, bukan oleh rakyat. Manakala semua jawatan menteri dan timbalan menteri atau apa sahaja jawatan pemerintahan dalam negara, dipilih oleh Perdana Menteri.

Pernah berlaku dua kali dalam sejarah negara ini di mana Perdana Menteri hanya dipilih oleh Perdana Menteri sebelumnya yakni ketika Dr. Mahathir menyerahkan jawatannya kepada Abdullah Badawi, dan ketika Abdullah Badawi menyerahkan jawatannya kepada Najib Razak. Kedua-dua penyerahan jawatan Perdana Menteri ini berlaku di luar pilihan raya. Begitu juga dengan naiknya Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri ke jawatan Perdana Menteri, juga berlaku di luar proses pilihan raya.

Ini semua membuktikan bahawa pilihan raya bukanlah proses untuk memilih pemimpin sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh penganut demokrasi.

Adakah mengundi parti Islam itu wajib sehingga haram hukumnya untuk memboikot pilihan raya?

Pertamanya, perlu diperhatikan tujuan sesuatu pilihanraya itu diadakan, dan seterusnya tujuan calon-calon bertanding dalam pilihan raya – perlu dilihat apakah tujuan tersebut dibolehkan syarak atau tidak, barulah boleh ditentukan hukum boikot terhadapnya.

Pilihanraya dalam sistem demokrasi adalah bertujuan untuk memilih wakil, tidak kira Muslim atau kafir, parti Islam atau parti sekular atau parti kufur – semuanya meletakkan wakil untuk dipilih (diundi). Ini ialah manath (fakta) pilihan raya dalam sistem demokrasi di Malaysia.

Manakala fungsi parlimen atau DUN, berdasarkan Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan, ialah sebagai badan perundangan (Majlis Tasyri’) yakni untuk menggubal, meminda dan menghapuskan undang-undang. Justeru, pilihan raya yang dijalankan adalah untuk memilih wakil untuk pergi ke Parlimen/DUN bagi merealisasikan fungsi ini. Dengan kata lain ia adalah pemilihan ahli-ahli Majlis Tasyri’.

Setelah jelas manathnya, maka barulah hukum syarak bagi pilihan raya dalam sistem demokrasi ini dapat digali dan diselesaikan. Oleh kerana pilihan raya merupakan suatu bentuk perwakilan (wakalah) di mana masyarakat memilih wakil mereka untuk pergi ke Parlimen/DUN yang akan menjalankan fungsi tasyri’, maka di sinilah letaknya keharaman pilihan raya, kerana hak tasyri’ (membuat hukum) hanya ada pada Allah (swt), tidak pada manusia. Firman-Nya:

إِنِ الْحُكْمُ إِلَّا لِلَّهِ

“Menetapkan hukum itu hanyalah hak Allah” [Al-An’am (6): 57].

Oleh kerana hak membuat hukum (undang-undang) itu tidak ada pada manusia, maka manusia mana pun sama sekali tidak boleh (haram) ‘mewakilkan’ perkara ini kepada mana-mana orang, dalam apa-apa keadaan sekalipun. Manusia hanya diizinkan Allah untuk mewakilkan ‘perkara’ yang ia mempunyai hak ke atasnya sahaja, dan membuat undang-undang bukanlah hak manusia. Ia hanyalah hak mutlak Allah (swt) semata-mata.

Atas dasar itu, dengan mengetahui bahawa calon yang dipilih itu akan pergi (diwakilkan) ke Parlimen/DUN untuk membuat undang-undang yang diharamkan dalam Islam, maka berdasarkan kaedah syarak, al-wasilatu ila al-haram, haram (apa-apa sarana yang menuju kepada haram hukumnya juga haram), ini bermaksud mengundi/mewakilkan calon dalam pilihan raya adalah haram.

Justeru, tindakan memboikot pilihan raya atau tidak mengundi mana-mana calon, tidaklah haram. Sebaliknya tindakan mengundi calon yang telah diketahui akan melakukan keharaman, itulah yang haramnya.

Tambahan lagi, telah terbukti bahawa parti Islam yang bertanding dalam pilihan raya gagal untuk menerapkan Islam setelah mereka berkuasa. Sebaliknya, parti Islam hanya menjadi penerus kepada sistem dan undang-undang batil warisan penjajah selain terus hanyut dengan habuan duniawi.