Membumikan Al-Quran Memerlukan Keberadaan Khilafah

Bulan Ramadhan dikenali juga sebagai bulan Al-Quran (Syahrul Qur’an). Firman Allah SWT:
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ


“Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang batil.”
[TMQ al-Baqarah (2): 185].

Allah SWT juga berfirman:

إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُبَارَكَةٍ
“Sesungguhnya Kami menurunkannya (Al-Quran) pada suatu malam yang diberkati.” [TMQ ad-Dukhan (44) : 3].
إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ

“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada Malam Qadar.” [TMQ al-Qadr (97): 1].

Sebahagian besar umat Islam sentiasa mengadakan hari peringatan Nuzul Al-Quran setiap kali menjelangnya 17 Ramadhan pada setiap tahun. Pada kebiasaannya, kaum Muslimin akan memperbanyakkan membaca al-Quran berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Aktiviti rutin ini dikenali dengan istilah tadarus, yakni aktiviti membaca Al-Quran baik secara individu mahupun berkelompok untuk saling menyemak bacaan antara satu sama lain.

Mengadakan hari untuk memperingati turunnya kitab suci Al-Quran amatlah baik. Apatah lagi jika ia dapat menjadikan setiap Muslim mengingati semula peristiwa agung dan penting ini. Melakukan tadarus al-Quran di sepanjang bulan Ramadhan akan diberikan ganjaran pahala oleh Allah SWT. Bahkan, baginda telah menjanjikan pahala daripada Allah SWT sebanyak sepuluh kebaikan bagi setiap huruf al-Quran yang dibaca  di luar bulan Ramadhan. Pahala membaca Al-Quran sudah semestinya menjadi berlipat kali ganda jika dilakukan pada bulan Ramadhan.

Namun demikian, umat Islam tidak sewajarnya berhenti beramal setakat di sini sahaja (sekadar membaca dan mengkhatamkannya) dan kemudian rasa berpuas hati dengan aktiviti memperingati Hari Nuzul Al-Quran dan juga kegiatan membaca Al-Quran. Ini adalah kerana, dalam ayat pertama di atas, Allah menyatakan bahawa al-Quran yang diturunkan itu berfungsi sebagai huda (petunjuk), bayyinat (penjelasan) dan furqan (pembeza antara yang haq dengan yang batil). Dalam ayat yang lain, ada ditegaskan bahawa al-Quran adalah sebagai penjelas segala sesuatu (tibyanan li kulli shay’in), petunjuk (huda) dan juga rahmat (rahmatan) bagi manusia. Malah, al-Quran juga merupakan ubat dan penawar (syifaa’ ulinnaas) bagi kaum Mukminin [TMQ al-Isra’ (17): 82]

Persoalannya, sudahkah umat Islam pada hari ini meletakkan al-Quran sesuai dengan seluruh fungsinya seperti yang disebutkan atas? Atau adakah al-Quran ini hanya sekadar dijadikan sebagai kitab bacaan semata-mata?

Jangan Mengabaikan Al-Quran

Allah SWT berfirman:

وَقَالَ الرَّسُولُ يَا رَبِّ إِنَّ قَوْمِي اتَّخَذُوا هَذَا الْقُرْآنَ مَهْجُورًا

“Berkatalah Rasul, “Wahai Tuhan, sesungguhnya kaumku menjadikan al-Quran ini sebagai sesuatu yang diabaikan.” [TMQ al-Furqan (25): 30].

Ayat di atas menceritakan bahawa Rasulullah saw pernah mengadu kepada Allah SWT tentang perbuatan umatnya yang menjadikan Al-Quran itu sebagai ‘mahjuran’. Kalimat ‘mahjuran’ merupakan bentuk maf‘ul. Ia berasal daripada kalimat ‘al-hujr’ yang bermaksud kata-kata yang keji dan kotor. Oleh yang demikian, maksud daripada ayat ini adalah mereka mengucapkan kata-kata yang batil dan keji terhadap al-Quran seperti tuduhan bahawa al-Quran itu adalah sihir, syair atau cerita dongeng orang dahulu kala [TMQ al-Anfal (8): 31] [Ash-Shabuni, I/260]. Kalimat ‘mahjuran’ juga berasal daripada kalimat al-hajr, yakni bermaksud ‘at-tark’ (meninggalkan atau mengabaikan). Jadi ‘mahjuran’ juga boleh memberi makna ‘matrukan’ (yang ditinggalkan atau diabaikan) [Al-Qanuji, IX/305].

Banyak sikap dan perilaku yang dikategorikan oleh para mufassir sebagai ‘hajr’ di dalam al-Qurân (meninggalkan atau mengabaikan al-Quran). Antara sikap tersebut adalah menolak untuk mengimani dan membenarkannya, tidak mentadabbur dan memahaminya, tidak mengamalkan serta mematuhi perintah dan larangannya, berpaling daripadanya dan menuju kepada yang lain baik berupa syair, ucapan, nyanyian, permainan atau thariqah yang diambil selain daripadanya (al-Quran), serta tidak mahu menyemak dan mendengarkan Al-Quran. [Ibn Katsir, I/1335].

Tidak mahu berhukum dengan Al-Quran, baik dalam perkara usul ad-din mahupun furuknya, juga dikategorikan sebagai meninggalkan atau mengabaikan al-Quran menurut Ibnu al-Qayyim [Wahbah Zuhaili, IXX/61].

Semua tindakan tersebut adalah haram (berdosa) kerana ia dikaitkan dengan ayat yang berikutnya:

وَكَذَلِكَ جَعَلْنَا لِكُلِّ نَبِيٍّ عَدُوًّا مِنَ الْمُجْرِمِينَ وَكَفَى بِرَبِّكَ هَادِيًا وَنَصِيرًا

“Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi musuh dari kalangan orang-orang yang berdosa. Dan cukuplah Tuhanmu menjadi Pemberi Petunjuk dan Penolong (bagimu terhadap mereka).” [TMQ al-Furqan (25): 31].

Ayat ini menjelaskan bahawa golongan yang meninggalkan dan mengabaikan al-Quran adalah dari kalangan para pelaku maksiat yang menjadi musuh bagi para Nabi .

Bentuk-bentuk Pengabaian Al-Quran

Jika kita teliti  baik secara sedar ataupun tidak, gejala pengabaian terhadap al-Quran banyak dilakukan oleh umat Islam dalam pelbagai peringkat. Pertama, golongan masyarakat Muslim yang umum (awam), baik di kalangan bawahan mahupun di kalangan menengah. Kita sudah biasa menyaksikan bagaimana al-Quran sekadar disimpan di rak-rak buku tanpa pernah dibaca, apatah lagi untuk dikaji isinya dan diamalkan dalam realiti kehidupan. Kalau pun ia dibaca, biasanya hanya dalam bulan Ramadhan seperti yang dilakukan sekarang ini. Oleh kerana ia jarang dibaca, maka al-Quran pun jarang dikaji. Oleh kerana jarang dikaji, sekaligus al-Quran pun jarang diamalkan. Masyarakat lebih tertarik dan bersemangat untuk membaca ruangan hiburan dalam media tempatan dan rajin menonton televisyen berbanding membaca al-Quran. Maka adalah sangatlah wajar jika masyarakat kita lebih cenderung ke arah pemahaman dan pemikiran yang bercorak hedonisme, liberalisme, pragmatisme dan lain-lain lagi yang mana semuanya lahir daripada sekularisme berbanding fikrah Islam dan penerapan syariah Islam secara kaffah. Kita dapat melihat perkara ini dalam realiti kehidupan di mana sebahagian besar masyarakat lebih suka terhadap gaya hidup Barat yang cenderung untuk menjadi bebas dan liar. Kaum wanita Muslim lebih suka berpakaian ala Barat yang mempamerkan sebahagian besar aurat mereka berbanding menutup aurat dengan jubah dan kerudung. Ini dapat dilihat di sekeliling kita pada setiap hari dan inilah juga yang terjadi kepada bakal peserta pertandingan ratu cantik Malaysia baru-baru ini yang mempertikaikan pembatalan penyertaan mereka dalam acara maksiat tersebut. Para remaja pula lebih ramai yang suka bergaul bebas berlainan jantina berbanding terikat dengan aturan-aturan syariah serta hukum-hakam syarak.

Kedua, golongan intelektual Muslim. Kita dapat menyaksikan bagaimana isi al-Quran itu telah disampaikan kepada umat secara selektif (memilih-milih) dan bergantung kepada apa yang telah ditetapkan oleh pemerintah negara. Ia disempitkan hanya berkisar tentang masalah aqidah, akhlak, ibadah dan perkara-perkara yang berbentuk ‘ruhiyah’ yang dikaitkan dengan dalaman dan hati. Ia langsung tidak menyentuh atau mengaitkan kewajiban negara dan pemerintah untuk menerapkan syariah Islam secara kaffah. Mereka hanya memandang al-Quran itu sebagai kitab suci yang perlu dijaga fizikalnya, tetapi pada masa yang sama mereka membelakangkan segala hukum-hakam bernegara yang telah diperintahkan oleh Allah SWT seperti ayat-ayat berkenaan hudud, qisas, jihad, dan keberadaan Khalifah untuk menerapkan syariah Islam secara kaffah.

Ketiga, golongan penguasa. Pengabaian al-Quran pada golongan ini adalah lebih ketara lagi. Manakan tidaknya, selama ini al-Quran langsung tidak dijadikan pedoman atau rujukan, bahkan ia cenderung untuk dicampakkan (daripada perlaksanaannya). Enggannya penguasa untuk menerapkan hukum-hakam Allah SWT yang bersumber daripada al-Quran tetapi sebaliknya lebih rela untuk menerapkan hukum-hakam sekular buatan manusia adalah bukti yang cukup nyata tentang pengabaian mereka terhadap al-Quran. Allah SWT telah mengecam sikap demikian:

أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ يَزْعُمُونَ أَنَّهُمْ آمَنُوا بِمَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ وَمَا أُنْزِلَ مِنْ قَبْلِكَ يُرِيدُونَ أَنْ يَتَحَاكَمُوا إِلَى الطَّاغُوتِ وَقَدْ أُمِرُوا أَنْ يَكْفُرُوا بِهِ وَيُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَنْ يُضِلَّهُمْ ضَلالا بَعِيدًا

“Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang mengaku dirinya telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadamu dan kepada apa yang diturunkan sebelum kamu? Mereka hendak berhukum kepada thaghut, padahal mereka telah diperintahkan untuk mengingkari thaghut itu. Dan syaitan bermaksud untuk menyesatkan mereka (dengan) penyesatan yang sejauh-jauhnya.” [TMQ an-Nisa’ (4): 60].

Di samping itu, para pejuang syariah Islam yang berjuang secara ikhlas untuk ditegakkan agama ini pula yang ditahan, diancam dan diseksa oleh para penguasa yang sentiasa mengikut telunjuk musuh-musuh Islam serta melabel mereka sebagai golongan teroris, ekstremis dan radikal. Sikap seperti ini telah pun disebutkan oleh Allah SWT dalam al-Quran berkenaan orang-orang munafik:

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ تَعَالَوْا إِلَى مَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَإِلَى الرَّسُولِ رَأَيْتَ الْمُنَافِقِينَ يَصُدُّونَ عَنْكَ صُدُودً ا

“Jika dikatakan kepada mereka, ‘Marilah kamu (tunduk) kepada hukum yang telah Allah turunkan dan kepada hukum Rasul,’ nescaya kamu melihat orang-orang munafik menghalangi (manusia) dengan sekuat-kuatnya daripada (mendekati) kamu.” [TMQ an-Nisa’ (4): 61].

Membumikan Al-Quran, Memerlukan Khilafah

Wacana tentang pentingnya membumikan al-Quran sudah lama dan sering dilontarkan oleh para ulama, intelektual dan aktivis Islam. Namun, sehingga kini wacana itu hanya tinggal sekadar wacana dan ia langsung tidak dapat diterapkan secara hakiki dalam kehidupan. Al-Quran masih lagi tetap dijadikan sebagai kitab bacaan semata-mata dan bukannya untuk dijadikan rujukan atau pedoman, jauh sekali untuk dijadikan sebagai sumber hukum dan undang-undang negara. Padahal al-Quran itu penuh berisi dengan sistem kehidupan yang wajib untuk diterapkan. Di dalamnya terdapat hukum-hakam yang mengatur seluruh aspek dan dimensi kehidupan daripada peringkat individu sehinggalah ke peringkat negara tanpa ditinggalkan walau satu perkara [TMQ an-Nahl (16): 89].

Perlu disedari bahawa sebahagian besar hukum-hakam yang disebutkan dalam al-Quran itu hanya akan dapat dilaksanakan secara kaffah apabila wujudnya keberadaan negara Islam. Ini termasuklah hukum-hakam yang berkaitan dengan pemerintahan dan kekuasaan, politik, ekonomi, sosial, pendidikan, politik luar negeri dan termasuk juga hukum-hakam yang mengatur dalam menjatuhkan hukuman (sistem kehakiman) melalui ‘uqubat terhadap sebarang pelanggaran hukum syariah. Kesemua hukum-hakam ini tidak boleh dan tidak mungkin untuk diterapkan oleh individu terhadap seluruh umat. Semua itu hanya mampu untuk dilaksanakan oleh negara (pemerintah). Dalam Islam, negara yang dimaksudkan adalah negara Khilafah yang mana pemerintahnya dikenali sebagai Khalifah.

Berdasarkan fakta ini, keberadaan negara (Khilafah) adalah termasuk dalam kategori dharuri (wajib dan sangat penting). Tanpa Khilafah, mustahil kita akan dapat membumikan al-Quran kerana seluruh perintah untuk membumikan al-Quran itu datangnya daripada Allah SWT yang juga bersifat wajib, bukannya pilihan. Tanpa Khilafah, banyak sekali ayat al-Quran yang tidak akan dapat dilaksanakan. Padahal mengabaikan mana-mana bahagian perintah al-Quran walaupun sekadar satu ayat   adalah termasuk dalam dosa besar. Oleh kerana itu, berdirinya Khilafah (Khilafah ‘ala Minhaj an-Nubuwwah) perlu disegerakan agar tidak ada satu pun ayat al-Quran yang dapat diabaikan. Inilah yang sewajibnya dijadikan mesej utama dan yang terpenting untuk disampaikan kepada seluruh umat Islam bersempena dengan hari peringatan Nuzul Quran pada setiap tahun.