Memo muhasabah untuk Menteri Agama

PUTRAJAYA 5 Jun – Sehari selepas menyerahkan memorandum kepada Jabatan Agama Islam di negeri-negeri di Malaysia, Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) telah menyerahkan memorandum yang hampir sama kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) di bangunan Kompleks Islam Putrajaya, hari ini.

Delegasi HTM yang diketuai oleh Jurucakapnya, Ustaz Abdul Hakim Othman telah disambut oleh wakil Menteri, En. Muhamad Nazri dari Unit Komunikasi Korporat. Permintaan HTM untuk bertemu secara langsung dengan YB Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri selaku Menteri Agama bagi menyerahkan memorandum tersebut tidak kesampaian kerana diberitahu yang beliau masih dalam tempoh kuarantin.

Memorandum berkenaan merupakan desakan daripada HTM, sekali gus muhasabah kepada kerajaan agar membuka semula masjid setelah 3 bulan masjid di seluruh negara ditutup dan umat Islam tidak dibenarkan solat Jumaat dan berjemaah.

Selain mendesak kerajaan agar membuka semula masjid, memorandum berkenaan menjelaskan mengenai kewajipan solat Jumaat sebagai fardhu ain yang sama sekali tidak gugur atas alasan penularan wabak. Justeru, tindakan pemerintah menutup masjid dan menghalang umat Islam menunaikan fardhu ain jelas merupakan suatu keharaman dan dosa.

HTM meluahkan kekecewaan dan kekesalan yang amat sangat dalam memorandum berkenaan kerana halangan solat Jumaat yang sudah masuk minggu ke-13 hari ini, dan dalam masa yang sama HTM turut melampirkan SOP sebagai cadangan langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil untuk solat Jumaat.

Antara mesej penting yang disampaikan ialah HTM menyatakan kesediaan untuk berbincang dan bermuzakarah serta memberi pendapat kepada Menteri Agama dalam isu ini, dalam rangka menyampaikan kebenaran dan muhasabah secara langsung kepada kerajaan.

Penyerahan tersebut berlangsung dengan aman dengan diawasi oleh beberapa orang anggota polis yang bertugas, yang telah pun dimaklumkan mengenai penyerahan tersebut sebelumnya.