Memorandum Peringatan: Wahai Perdana Menteri Malaysia: Gerakkan Tentera ke Myanmar Segera!

Memorandum Peringatan 

Wahai Perdana Menteri Malaysia: Gerakkan Tentera ke Myanmar Segera!

Seluruh dunia pada ketika ini sedang menyaksikan serangan dan pembantaian kejam ke atas kaum Muslimin di Myanmar, yang kali ini dilakukan dengan cukup terancang dan sistematik. Tanpa ada belas kasihan sedikit pun, pasukan tentera kuffar rejim, menyerbu dan memusnahkan kampung-kampung yang dihuni oleh kaum Muslimin di wilayah Rakhine. Mereka melakukan penyeksaan dan pembunuhan tanpa perikemanusiaan dalam skala besar-besarkan sehingga menggunakan roket dan helikopter. Penyembelihan kejam oleh tentera rejim ini dilakukan sebagai tindak balas terhadap serangan oleh mereka yang tak dikenali ke atas pasukan polis, yang mana rejim terus melontarkan tuduhan ke atas kumpulan yang mereka gelar sebagai militan Rohingya. Hakikatnya, ratusan Muslim Rohingya yang dibakar hidup-hidup oleh tentera, ditembak dan disembelih dalam keadaan mereka tidak bersenjata, termasuklah wanita dan kanak-kanak yang tidak berdaya yang turut dirogol dan dibunuh. Apakah golongan lemah dan tidak bersenjata ini merupakan “militan” yang dimaksudkan oleh rejim? Kerajaan Myanmar di bawah parti Liga Demokrasi Kebangsaan pimpinan Aung San Suu Kyi yang kononnya merupakan ikon demokrasi itu, hanya melihat dan membiarkan sahaja kekejaman itu terus berlaku. Tahap kekejaman yang dilakukan oleh tentera rejim ke atas kaum Muslimin yang tidak berdaya itu amat dahsyat dan keji. Malangnya pemimpin Muslim di seluruh dunia hanya menyaksikan pembantaian ini tanpa berbuat apa-apa.

Kami dengan ini ingin mengingatkan anda wahai Perdana Menteri, bahawa dengan apa yang dilakukan oleh rejim Myanmar ke atas Muslim Rohingya, Myanmar telah menjadi sebuah negara kafir harbi fi’lan (negara kafir yang sedang memerangi umat Islam) yang berdasarkan hukum syarak, tidak boleh wujud hubungan lain dengan negara seperti ini kecuali hubungan perang. Justeru, kami HIZBUT TAHRIR MALAYSIA dengan ini menegaskan dan menuntut:- 

Pertama: Kerajaan Malaysia memberi amaran keras kepada kerajaan Myanmar agar menghentikan segera pembunuhan, pemerkosaan, pengusiran, tangkapan dan penyeksaan ke atas Muslim Rohingya dan mengembalikan semula hak-hak mereka.

Kedua: Sebarang hubungan luar dengan rejim Myanmar hendaklah dihentikan dengan segera. Kedutaan mereka di Kuala Lumpur hendaklah ditutup dan duta mereka dihalau keluar. Dalam masa yang sama duta Malaysia yang berada di Myanmar hendaklah dipanggil balik. 

Ketiga: Kerajaan Malaysia hendaklah mendesak kerajaan Bangladesh agar membuka sempadan dan memberikan perlindungan kepada Muslim Rohingya. Lebih daripada itu, kerajaan Bangladesh hendaklah didesak agar menghantar tentera untuk menyelamatkan Muslim Rohingya dan memberi pengajaran secukupnya kepada rejim Myanmar atas kejahatan mereka terhadap umat Islam. 

Keempat: Kerajaan Malaysia hendaklah dengan kadar yang segera menghantar tentera untuk menyelamatkan Muslim Rohingya, sekaligus mengisytiharkan jihad fi sabilillah ke atas Myanmar sekiranya tuntutan pertama di atas tidak dipenuhi.

Wahai Perdana Menteri Malaysia! Sudah ratusan tahun Muslim Rohingya diusir daripada kampung halaman sendiri, diseksa, dirogol dan dibunuh dengan cara yang amat kejam, namun tidak ada seorang pun pemerintah umat Islam, termasuk Malaysia yang membantu menyelamatkan mereka. Tidak ada seorang pun pemerintah umat Islam yang menggerakkan tentera untuk menyelamatkan Muslim Rohingya, sekali gus mengajar kebiadaban rejim Myanmar ke atas saudara-saudara seIslam kita. Sedangkan darah umat Islam adalah suci dan haram ditumpahkan tanpa hak dan wajib bagi pemerintah umat Islam untuk menjaga kesucian darah, maruah, harta dan nyawa umat ini. Betapa berharganya nyawa seorang Muslim itu dinyatakan dalam hadis riwayat Abdullah bin Umar RA yang menuturkan, “Aku melihat Rasulullah SAW tawaf mengelilingi Ka’bah dan bersabda,

مَا أَطْيَبَكِ وَأَطْيَبَ رِيحَكِ مَا أَعْظَمَكِ وَأَعْظَمَ حُرْمَتَكِ وَالَّذِى نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَحُرْمَةُ الْمُؤْمِنِ أَعْظَمُ عِنْدَ اللَّهِ حُرْمَةً مِنْكِ مَالِهِ وَدَمِهِ وَأَنْ نَظُنَّ بِهِ إِلاَّ خَيْرًا

“Alangkah indahnya dikau dan alangkah harumnya aromamu. Alangkah agungnya dikau dan agungnya kehormatanmu. Demi Zat Yang jiwa Muhammad ada di genggamanNya, sungguh kehormatan seorang Mukmin lebih agung di sisi Allah daripada kamu baik, menyangkut harta mahupun darahnya, dan agar kami hanya berprasangka baik kepada dirinya” [HR Ibnu Majah].

Manakala dari Abdullah bin Amru, dari Nabi SAW bersabda,

لَزَوَالُ الدُّنْيَا أَهْوَنُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ قَتْلِ رَجُلٍ مُسْلِمٍ

“Sungguh lenyapnya dunia ini lebih ringan di sisi Allah daripada terbunuhnya seorang Muslim” [HR al-Nasa’i, al-Tirmidzi dan al-Baihaqi].

Sesungguhnya tidak ada sebab lain kenapa kaum Rohingya diusir dan dibunuh oleh ekstremis Buddha selama ini kecuali kerana mereka adalah kaum Muslimin. Ini bukanlah persoalan etnik seperti yang digembar-gemburkan oleh media, kecuali pengusiran dan pembunuhan yang dilakukan oleh orang-orang kafir Buddha atas dasar agama, yakni kerana agama kaum Rohingya adalah Islam.

ٱلَّذِينَ أُخۡرِجُواْ مِن دِيَـٰرِهِم بِغَيۡرِ حَقٍّ إِلَّآ أَن يَقُولُواْ رَبُّنَا ٱللَّهُ

“(Iaitu) orang-orang yang telah diusir dari kampung halaman mereka tanpa alasan yang benar, kecuali kerana mereka berkata, “Tuhan kami adalah Allah” [Al-Hajj (22):40]

Itulah realitinya, mereka diusir dan dibunuh kerana agama mereka adalah Islam, dan apa yang terjadi di Myanmar kini bukan lagi satu nyawa, bukan ratusan, malah sudah ratusan ribuan nyawa umat Islam yang melayang di bumi Arakan, yang dibunuh dengan cara seksaan yang tidak dapat dibayangkan. Sudah ratusan tahun mereka merintih dan merayu pertolongan yang tak kunjung tiba. Jadi kami ingin mengingatkan anda wahai Perdana Menteri, bahawa wajib bagi anda untuk menolong mereka yang merupakan saudara-saudara seakidah anda. Allah SWT bertanya kepada anda,

وَمَا لَكُمۡ لَا تُقَـٰتِلُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱلۡمُسۡتَضۡعَفِينَ مِنَ ٱلرِّجَالِ وَٱلنِّسَآءِ وَٱلۡوِلۡدَٲنِ ٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَآ أَخۡرِجۡنَا مِنۡ هَـٰذِهِ ٱلۡقَرۡيَةِ ٱلظَّالِمِ أَهۡلُهَا وَٱجۡعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ وَلِيًّ۬ا وَٱجۡعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ نَصِيرًا

“Mengapa kamu tidak mahu berperang di jalan Allah dan (membela) orang-orang yang lemah baik lelaki, wanita mahupun anak-anak yang semuanya berdoa “Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami dari negeri ini yang zalim penduduknya dan berilah kami pelindung dari sisi Engkau dan berilah kami penolong dari sisi Engkau” [Al-Nisa’ (4):75].

Sesungguhnya anda wahai Perdana Menteri Malaysia, adalah orang yang berkuasa untuk menolong mereka, tetapi anda tidak melakukannya. Sedangkan anda wajib melakukannya sebagaimana firman Allah SWT,

وَإِنِ ٱسۡتَنصَرُوكُمۡ فِى ٱلدِّينِ فَعَلَيۡڪُمُ ٱلنَّصۡرُ إِلَّا عَلَىٰ قَوۡمِۭ بَيۡنَكُمۡ وَبَيۡنَہُم مِّيثَـٰقٌ۬‌ۗ وَٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرٌ۬

“Dan jika mereka meminta pertolongan kepada kamu dalam (urusan pembelaan) agama, maka kamu wajib memberikan pertolongan” [Al-Anfal (8):72].

Muslim Rohingya sedang berhadapan dengan pembunuhan besar-besaran secara terancang dan sistematik dan kini tentera kuffar rejim Myanmar telah terlibat secara langsung. Muslim Rohingya berada dalam keadaan yang cukup lemah, terkepung dan langsung tidak berdaya. Sudah tidak ada apa-apa kekuatan yang dapat membantu mereka kecuali kekuatan tentera daripada negeri umat Islam dan anda wahai Perdana Menteri, adalah salah seorang yang memegang kekuatan tentera umat Islam. Maka wajib bagi anda untuk menggerakkan bala tentera ke Myanmar sebagaimana perintah Allah SWT kepada anda di dalam al-Quran:

وَقَـٰتِلُوهُمۡ حَتَّىٰ لَا تَكُونَ فِتۡنَةٌ۬ وَيَكُونَ ٱلدِّينُ لِلَّهِ‌ۖ فَإِنِ ٱنتَہَوۡاْ فَلَا عُدۡوَٲنَ إِلَّا عَلَى ٱلظَّـٰلِمِينَ

“Dan perangilah mereka itu, sehingga tidak ada lagi fitnah dan (sehingga) ketaatan itu hanya semata-mata untuk Allah. Jika mereka berhenti (dari memusuhi kamu), maka tidak ada permusuhan (lagi), kecuali terhadap orang-orang yang zalim” [Al-Baqarah (2):193]

Walaupun kami yakin anda tidak akan melakukannya, namun sekali lagi kami ingin mengingatkan anda wahai Perdana Menteri, gerakkanlah tentera di bawah anda ke Myanmar segera, yang dengannya Allah SWT dan malaikat akan bersama anda dan bersama mereka dan kemenangan Insya Allah akan menjadi milik anda dan milik kaum Muslimin. Justeru, dalam masa yang sama, kami Hizbut Tahrir Malaysia ingin mengingatkan anda wahai Perdana Menteri, akan firman Allah SWT,

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَا لَكُمۡ إِذَا قِيلَ لَكُمُ ٱنفِرُواْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱثَّاقَلۡتُمۡ إِلَى ٱلۡأَرۡضِ‌ۚ أَرَضِيتُم بِٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا مِنَ ٱلۡأَخِرَةِ‌ۚ فَمَا مَتَـٰعُ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا فِى ٱلۡأَخِرَةِ إِلَّا قَلِيلٌ ♦ إِلَّا تَنفِرُواْ يُعَذِّبۡڪُمۡ عَذَابًا أَلِيمً۬ا وَيَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَڪُمۡ وَلَا تَضُرُّوهُ شَيۡـًٔ۬ا‌ۗ وَٱللَّهُ عَلَىٰ ڪُلِّ شَىۡءٍ۬ قَدِيرٌ

“Wahai orang-orang yang beriman, apakah sebabnya apabila dikatakan kepada kamu, ‘Berangkatlah (untuk berperang) pada jalan Allah’, kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit. Jika kamu tidak berangkat untuk berperang, nescaya Allah menyeksa kamu dengan seksaan yang pedih dan digantinya (kamu) dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat memberi kemudaratan kepadaNya sedikit pun. Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu” [Al-Taubah (9):38-39].

Ya Allah! saksikanlah bahawa kami telah menyampaikan.

Ya Allah! saksikanlah bahawa kami telah menyampaikan.

Ya Allah! saksikanlah bahawa kami telah menyampaikan.

Pejabat Media

Hizbut Tahrir Malaysia

Ruj: HTM/Memo/02/1438
Isnin, 28 Safar 1438 H
28/11/2016 M