Menanggapi Sambutan Maulidur Rasul (Siri 2/2)
Menyikapi Perbezaan Pendapat
Sesungguhnya dalam apa jua perkara yang diperselisihkan oleh umat Islam, maka wajiblah dikembalikan kepada Allah dan Rasul. Firman-Nya,
“…jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul (As-Sunah) jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhir…” [TMQ an-Nisa’ (4): 59].
“Tentang suatu apa pun yang kamu berselisih, maka hukumnya (terserah) kepada Allah” [TMQ al-Syura (42):10].
Atas dasar ini, maka marilah kita mengembalikan perkara ini (sambutan maulid ar-Rasul) kepada Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya.
Di dalam Kitab-Nya, Allah (swt) mengingatkan kita,
“Dan apa sahaja yang dibawa (diperintahkan) oleh Rasul kepadamu, maka ambillah (laksanakanlah) ia, dan apa sahaja yang dilarangnya, maka tinggalkanlah ia” [TMQ al-Hasyr (59): 7].
Allah juga berfirman,
“Dan hendaklah orang-orang menyalahi perintah Rasul takut akan ditimpa fitnah atau ditimpa azab yang pedih” [TMQ al-Nur (24):63].
Sambutan maulid ar-Rasul ini pastinya bukan perkara yang didatangkan oleh Rasulullah (saw) kerana tidak ada seorang pun yang meriwayatkan bahawa Rasulullah (saw) pernah menyatakan atau melakukan atau memerintahkan atau menunjukkan persetujuannya terhadap sambutan hari lahir baginda.
Dengan merujuk kepada as-Sunnah pula, kita tidak akan menjumpai nas yang menjelaskan Rasulullah (saw) menyambut hari kelahiran baginda atau memerintahkan umatnya untuk menyambutnya. Tidak pula kita dapati ia disambut oleh para Khulafa’ ar-Rasyidin atau sahabat-sahabat yang lain, tidak juga oleh para tabi’in mahupun tabi’ihim bi ihsan (generasi sesudahnya yang mengikut mereka dengan baik). Dengan ini, amatlah jelas bagi mereka yang berakal bahawa sambutan maulidur Rasul merupakan perkara yang tidak pernah dikenal pada masa awal Islam, sehingga dapat dikatakan secara pasti bahawa sambutan maulid ar-Rasul ini adalah termasuk dalam perkara yang diada-adakan.
Lalu timbul satu persoalan bagi mereka yang membolehkan sambutan maulidur Rasul ini atas niat ibadah atau taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah. Apakah hukumnya? Sebenarnya hal inilah justeru yang dengan sendirinya menjadikan perkara ini sebagai bidaah, kerana bidaah itu bermaksud suatu perbuatan yang dilakukan seseorang dengan niat beribadah dan bertaqarrub kepada Allah tetapi tanpa didasari oleh dalil syarak.
Agar ibadah dikatakan benar dan sah, maka mestilah ada nas yang membenarkannya, kerana ibadah itu bersifat tauqifiyyah (telah ditetapkan oleh Allah dan di ambil seadanya, tanpa boleh diubah, ditambah atau dikurangi). Kita tidak boleh melakukan ibadah, kecuali dengan kaifiyat (tatacara) yang telah ditunjukkan oleh Rasul kepada kita sahaja. Jika seseorang beribadah kepada Allah dengan caranya sendiri (tanpa ada nas), maka dia telah mengikut hawa nafsu dan akan tergolong ke dalam ahlu al-bidaah. Na’uzubillah min zalik. Segala jenis ibadah dan bentuk taqarrub illallah wajiblah dilakukan mengikut Rasulullah secara tauqifi (seadanya tanpa diubah).
Ringkasnya, sekiranya seseorang Muslim berniat ingin beribadah dan bertaqarrub kepada Allah tetapi dengan cara yang tidak pernah disyariatkan oleh Allah maka hal inilah yang disebut sebagai bidaah. Adapun pandangan sesetengah ulama yang mengatakan bahawa terdapat perbuatan yang disebut sebagai bidaah hasanah (bidaah yang baik), maka hal ini dikembalikan kepada makna bidaah secara lughah (bahasa) atau makna syarak. Jika yang dimaksudkan adalah makna bahasa, maka ia tidak membawa implikasi hukum, tetapi jika yang dimaksudkan adalah makna syar’i, maka ia mestilah dikembalikan kepada nas dengan cara yang benar. Dalam konteks ini, Rasulullah (saw) bersabda,
“Setiap (perbuatan) bidaah itu adalah sesat” [HR Abu Daud, Tirmidzi, Ahmad].
Inilah makna syar’i bidaah yang disampaikan oleh Nabi sendiri dan inilah yang hak/benar (yakni) setiap bidaah itu adalah sesat. Dengan kata lain, tidak ada dalam makna syar’iyyah dengan apa yang disebut sebagai bidaah hasanah. Sabda Rasulullah (saw) lagi,
“Barangsiapa yang melakukan suatu perbuatan tanpa didasari perintah dari kami maka perbuatan tersebut tertolak” [HR Bukhari & Muslim].
Selain itu, jika disambut maulid ar-Rasul ini dengan niat untuk mengikuti orang-orang kafir yang menyambut kelahiran Nabi Isa (as), maka ia boleh menjerumuskan seseorang Muslim itu kepada tasyabbuh bil kuffar (menyerupai orang-orang kafir) yang dilarang oleh Rasulullah (saw). Hal ini pernah terjadi ke atas kaum Muslimin di masa kemunduran berfikir melanda mereka, sehingga mereka berkata, “Nabi Muhammad lebih utama dari Nabi Isa, jadi mengapa mereka boleh memuliakan Isa dan kita tidak boleh memuliakan Nabi Muhammad?”
Banyak hadis sahih yang melarang tasyabbuh bil kuffar ini, antaranya termasuklah sabda Rasulullah (saw),
“Tidak termasuk golongan kita orang yang menyerupai kaum lain”
dan
“Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka ia termasuk salah seorang dari mereka” [HR Muslim dan Ahmad].
Rasulullah (saw) begitu menekankan perlunya kita berbeza dari golongan kafir sehingga orang-orang Yahudi pernah berkata,
“Muhammad ini tidak meninggalkan sesuatu urusan kita melainkan melakukan hal-hal yang sebaliknya”.
Apa yang jelas ialah sambutan maulid Nabi ini tidak termasuk dalam persoalan ibadah mahu pun hukum syarak lainnya dari sisi “kewajipan” atau “kemanduban” untuk melakukannya. Sebaliknya ia boleh termasuk dalam hal bidaah jika diniatkan untuk beribadah dan boleh jatuh haram jika diniatkan untuk tasyabbuh bil kuffar.
Perlu difahami bahawa tidak salah untuk memperingati tarikh kelahiran Nabi Muhammad (saw) atau pun mana-mana Nabi, atau pun mana-mana Sahabat dan orang-orang soleh. Isunya adalah “ibadah” yang ingin dilakukan di dalamnya. Ini kerana umat Islam tidak diperbolehkan melakukan ibadah kecuali adanya nas dan dengan kaifiyat yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah semata-mata. Sebarang “ibadah” yang terkeluar dari nas atau kaifiyat akan menjadikannya sebagai bidaah. Inilah yang perlu diperhatikan dengan sebaik-baiknya oleh setiap Muslim, agar tidak terjerumus ke dalam bidaah dalam setiap aktiviti yang diniatkan untuk taqarrub kepada Allah.
Bagi mereka yang melakukannya kerana ingin memuliakan Rasulullah, maka sukalah kami mengingatkan bahawa bahawa memuliakan Rasulullah itu memanglah wajib, tetapi ia hendaklah dilakukan dengan cara yang telah ditetapkan oleh syarak, bukan mengikut hawa sendiri. Sesungguhnya memuliakan Nabi itu adalah dengan mengikuti dan berpegang teguh kepada segala sunnahnya, baik itu perkataan, perbuatan ataupun taqrir (diam) baginda. Memuliakan Nabi juga hendaklah dizahirkan tatkala insan agong itu dihina atau diperlecehkan oleh sesiapa sahaja.
Memuliakan Rasul juga boleh dilakukan dengan cara membaca selawat ke atas baginda di setiap waktu, bukan hanya di hari maulid baginda. Firman Allah,
“Allah dan malaikat-Nya berselawat kepada Nabi (SAW). Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya” [TMQ al-Ahzab (33): 56].
Kaum Muslimin di zaman Rasulullah begitu berhati-hati dalam melakukan sebarang perbuatan kerana bimbang akan melakukan bidaah. Pernah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim bahawa para sahabat (ra) pernah bertanya,
“Wahai Rasulullah, bagaimanakah caranya untuk kami ucapkan selawat untukmu? Maka Nabi pun mengajarkan mereka caranya…”.
Terdapat banyak lagi hadis yang menjelaskan keutamaan berselawat kepada Rasul di setiap waktu, namun apa yang jelas, perbuatan selawat sekalipun, haruslah mengikuti dalil-dalil syarak yang telah ditetapkan.
Umat Islam harus berhati-hati dengan sebarang fatwa, yang kadangkala terpesong jauh dari hukum syarak dan umat Islam seharusnya tidak bertaklid buta dengan mana-mana fatwa tanpa mengkaji sendiri dengan lebih mendalam akan dalil-dalil bagi setiap perkara yang diperselisihkan.
Bagi para ulama dan juga kaum Muslimin yang membolehkan sambutan maulidur Rasul dengan hujah yang masih terdapat syubhat al-dalil di dalamnya, maka semoga hal tersebut dapat menjadi hujah dan alasan yang membebaskan mereka di sisi Allah nanti khususnya bagi mereka yang melakukannya atas dorongan kecintaan, penghormatan dan keagungan mereka kepada Rasulullah (saw); atau dengan maksud untuk bersyukur kepada Allah di atas kurnia yang diberikan-Nya kepada kaum Muslimin dengan dilahirkan seorang manusia yang paling mulia di muka bumi dan kita telah menjadi umatnya.
Namun mesti diperhatikan di sini bahawa para ulama yang membolehkan diadakannya sambutan maulid Nabi ini telah mensyaratkan bahawa ia mestilah bersih dari segala kemungkaran seperti zikir yang menyesatkan, ratapan, tangisan yang berlebih-lebih, nyanyian, ikhtilath (percampuran antara lelaki dan perempuan), tabarruj (bersolek dan menghiaskan diri – bagi perempuan) dan lain-lain kemungkaran lagi.
Khatimah
Akhir sekali, apa yang sangat kita kesali ialah tatkala para pemerintah dan ulama salathin (ulama pendamping penguasa) yang saban tahun menganjurkan program sambutan maulidur Rasul, namun di sudut yang lain mereka bediam diri saat Rasulullah (saw) dihina. Lebih buruk apabila pemerintah ini sesungguhnya telah mencampakkan segala sunah Rasul dari pemerintahan mereka. Mereka tidak berhukum dengan Al-Quran dan As-Sunnah, sebaliknya mengekalkan hukum warisan penjajah kuffar. Para ulama salathin pula bukan sahaja berdiam diri, malah membenarkan apa sahaja kemungkaran yang dilakukan oleh pemerintah ini.
Akhir kalam, sempena maulidur Rasul tahun ini, sukalah penulis mengingatkan bahawa Rasulullah itu merupakan suri teladan bagi kita bukan dalam aspek ibadah mahdhah semata-mata, bahkan dalam seluruh aspek kehidupan daripada qadha’ al-hajat hinggalah memerintah alam jagat. Maka, ikutilah baginda seluruhnya untuk kesejahteraan dan kejayaan kita di dunia dan akhirat.
Wallahu a’lam.
[Diadaptasi dan diolah daripada Sautun Nahdhah Edisi ke-166]