Menanggapi Saranan Disegerakan SOP Solat Jumaat di Masjid

Sudah lebih sebulan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, yang bermakna sudah lebih sebulan umat Islam tidak bersolat Jumaat di masjid, kerana semua masjid diarahkan tutup oleh pihak kerajaan.

Walaupun banyak pihak bersetuju dengan langkah kerajaan menutup masjid, namun sejak dari awal terdapat pihak yang tidak bersetuju dan mencadangkan kepada kerajaan agar diadakan Standard Operating Procedure (SOP) untuk umat Islam menunaikan solat Jumaat. Malangnya cadangan untuk kerajaan mengadakan SOP ternyata dikritik hebat oleh netizen yang menganggapnya sebagai langkah yang boleh memburukkan lagi situasi penularan wabak COVID-19.

Tidak dinafikan bahawa terdapat percanggahan pendapat dari sudut keberkesanan SOP jika diambil, namun persoalannya ialah adakah kerajaan dibenarkan, dari segi hukum syarak, untuk menutup masjid daripada solat Jumaat dan berjemaah? Jawapannya ringkasnya ialah haram! Pemerintah sama sekali tidak boleh menutup masjid untuk solat Jumaat, kerana solat Jumaat merupakan fardhu ain ke atas setiap Muslim.

Sebuah fardhu ain tidak akan gugur dalam keadaan apa sekalipun, kecuali jika ada nas yang menggugurkannya, atau memberi rukhsah (keringanan) untuk tidak menunaikannya. Dalam keadaan ketiadaan nas, maka apa yang pemerintah wajib lakukan ialah mengambil segala langkah yang perlu dalam menjaga keselamatan setiap orang tanpa menutup masjid. Di sinilah perlunya SOP, dan kewajipan menjalankan SOP ini terletak di bahu pemerintah.

SOP yang tak berkesan?

Perlu ditekankan di sini bahawa pengetahuan kita mengenai virus SARS-COV2 dan penyakit COVID-19 ini sentiasa berkembang sejajar dengan penyelidikan dan pemerhatian saintifik yang dilakukan saban waktu. Demikian juga dengan pengetahuan kita berhubung keberkesanan langkah-langkah kawalan dan pencegahan yang dilaksanakan.

Sebagai contoh, terdapat perbezaan pendapat antara pakar-pakar perubatan berhubung langkah pemakaian topeng muka. Penggunaan topeng muka (medical/surgical face mask) disarankan bukan untuk menyekat virus daripada menjangkiti pemakai tetapi untuk meminimumkan penyebaran droplet (titisan air liur) daripada mereka yang berkemungkinan sudah dijangkiti virus tersebut.

Pemakaian topeng muka hanyalah sebahagian daripada SOP, bukan satu-satunya. Ia merupakan pelengkap kepada langkah-langkah pencegahan lain, seperti penjarakan sosial, penjagaan kebersihan tangan dan lain-lain. Negara-negara seperti Jepun dan Korea Selatan turut menggalakkan pemakaian topeng muka dalam komuniti sebagai pelengkap kepada langkah pencegahan lain. Bahkan baru-baru ini Singapura telah mewajibkan pemakaian topeng muka sekiranya seseorang itu perlu keluar dari rumah bagi melakukan urusan-urusan penting di luar.

Jika soal “ketidakberkesanan” SOP ingin diambil kira, maka kita hendaklah bersikap rasional dan adil. Kenapa di suatu tempat langkah-langkah (SOP) diambil dan ada yang tidak berkesan, namun ia tetap sahaja diambil, tetapi apabila berhubung soal solat Jumaat, langkah-langkah (SOP) yang sama tidak perlu diambil atas alasan keberkesanan? Kenapa masjid perlu ditutup terus, dengan alasan SOP tidak akan berkesan? Di sinilah wujudnya double standard dan kesalahan dalam berfikir dan membuat keputusan.

Cadangan SOP Solat Jumaat

Oleh kerana solat Jumaat adalah fardhu ain, maka negara berdosa besar apabila menutup masjid dan menghalang kaum Muslimin daripada menunaikan solat Jumaat. Kini, setelah lebih sebulan negara melaksanakan PKP, maka gesaan supaya disegerakan penghasilan SOP bagi membolehkan umat Islam menunaikan solat Jumaat dengan selamat adalah sangat penting untuk diperhatikan oleh negara. Negara sewajarnya bukan sahaja berusaha bersungguh-sungguh untuk menyelamatkan rakyat daripada jangkitan Covid-19, tetapi wajib melakukan hal yang sama bagi memastikan umat Islam dapat menunaikan solat Jumaat dengan selamat. Berikut merupakan cadangan SOP yang boleh dipertimbangkan dalam hal ini:

  1. Membenarkan solat Jumaat dilakukan tanpa sebarang halangan di kawasan-kawasan yang tidak/kurang berisiko (Zon Hijau), namun tetap diambil langkah berhati-hati dan langkah pencegahan;
  2. Membenarkan solat Jumaat di lebih banyak lokasi (termasuklah di surau-surau) bagi mengelakkan kesesakan di masjid-masjid tertentu;
  3. Mengadakan solat Jumaat di kawasan terbuka seperti padang, taman-taman, kawasan letak kenderaan dan sebagainya;
  4. Pihak pengurusan masjid atau surau dibekalkan, diajar dan diminta melaksanakan kerja penyahkuman sebelum dan selepas solat Jumaat;
  5. Karpet-karpet masjid digalakkan untuk ditanggalkan dan para jemaah diminta untuk membawa sejadah sendiri;
  6. Menggerakkan anggota RELA, PDRM, polis bantuan, pengawal, persatuan belia, atau sukarelawan masjid bagi mengawal pergerakan jemaah, mengehadkan pintu masuk, menetapkan laluan masuk berbeza dengan laluan keluar, dan memastikan penjarakan sosial dipatuhi oleh hadirin;
  7. Saringan dibuat di pintu masuk bagi memastikan hanya jemaah yang sihat sahaja dibenarkan menunaikan solat Jumaat. Individu yang sedang disiasat, dipantau, apatah lagi mereka yang mempunyai gejala tidak dibenarkan menyertai solat Jumaat;
  8. Mengagihkan topeng muka kepada jemaah di pintu masuk masjid (bagi mereka yang tidak memakainya);
  9. Membuat pengumuman dan meletakkan papan tanda peringatan di masjid supaya para jemaah mematuhi segala SOP seperti penjarakan sosial, tertib mengikut laluan yang disediakan dan sebagainya;
  10. Menyediakan sabun untuk mencuci tangan serta hand sanitizer di seluruh tempat strategik dalam dan luar masjid;
  11. Mengehadkan penggunaan tandas dan tempat wuduk, serta menyarankan jemaah supaya mengambil wuduk terlebih dahulu sebelum hadir ke masjid;
  12. Meringkaskan khutbah dan menyingkatkan tempoh keberadaan jemaah dalam masjid;
  13. Melarang jemaah daripada bersalaman sesudah menunaikan solat Jumaat, sebaliknya meminta mereka untuk terus bersurai secara tertib;
  14. Mengadakan dua sesi solat Jumaat (jika perlu) dalam waktu yang dibenarkan bagi mengelakkan kesesakan di masjid-masjid tertentu;
  15. Sentiasa mengemaskini SOP dengan mengambil kira penemuan baharu daripada kajian saintifik berdasarkan nasihat daripada pakar-pakar perubatan dan saintis.

Demikianlah sebahagian daripada SOP yang boleh dipertimbangkan oleh kerajaan. Umat Islam, termasuklah dalam kalangan mereka yang mempunyai kepakaran, boleh melakukan penambahbaikan ke atas SOP tersebut agar kita dapat melaksanakan kewajipan kepada Allah ini.

Sebarang komen yang bersifat konstruktif adalah diraikan, kerana COVID-19 merupakan isu yang perlu ditangani secara kolektif. Pandangan tersebut juga sewajarnya dipertimbangkan oleh kerajaan bagi memastikan usaha mencegah penularan COVID-19 dapat dilakukan, dan dalam masa yang sama kewajipan kepada Allah (solat Jumaat) tidak ditinggalkan.

Penutup

Muslim mana pun seharusnya tidak menghina, memperlekeh atau menyindir saranan-saranan yang dibuat, kerana perbuatan sedemikian langsung bukan sahaja tidak membantu dalam mencari penyelesaian, malah hanya menambahkan dosa kepada pelakunya. Setiap Muslim seharusnya berusaha bersungguh-sungguh untuk melakukan kewajipan, bukannya merendah-rendahkan usaha dan cadangan mereka yang ingin melakukan kewajipan.

Semoga kita semua terpelihara daripada menuruti jejak langkah perangai Bani Israel yang apabila diperintahkan sesuatu kewajipan, mereka enggan menurut perintah, berdolak-dalih mencari alasan untuk tidak melaksanakannya, dan suka mempersenda sesuatu dengan perkataan-perkataan mereka yang lancang. Ingatlah dan jadikanlah pengajaran akan kisah mereka yang Allah rakamkan di dalam Al-Quran,

وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِ إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تَذْبَحُوا بَقَرَةً ۖ قَالُوا أَتَتَّخِذُنَا هُزُوًا ۖ قَالَ أَعُوذُ بِاللَّهِ أَنْ أَكُونَ مِنَ الْجَاهِلِينَ

“Dan (ingatlah), ketika Musa berkata kepada kaumnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyembelih seekor sapi betina”. Mereka berkata: “Apakah kamu hendak menjadikan kami buah ejekan?” Musa menjawab: “Aku berlindung kepada Allah agar tidak menjadi salah seorang dari orang-orang yang jahil”  [TMQ al-Baqarah (2): 67].

Wallahu a’lam.

Editor