Mendudukkan mukjizat dan amal dalam konteksnya

Allah (swt) telah menjadikan Rasulullah (saw) sebagai teladan yang wajib diikuti oleh seluruh kaum Muslimin, sesuai dengan firman-Nya:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah” [Al-Ahzab (33): 21].

Seluruh umat Islam mengimani ayat ini, dan mengakui bahawa Nabi Muhammad (saw) adalah suri teladan yang wajib dicontohi dalam semua aspek kehidupan.

Generasi awal Muslim yang hidup bersama Rasulullah (saw) merupakan generasi yang terbaik yang menjadikan baginda sebagai suri teladan. Mereka hidup dalam keadaan menyaksikan mukjizat (Al-Quran) turun kepada Rasulullah (saw), dan mereka mengikuti Rasulullah (saw), mengikuti setiap ayat yang diturunkan, tanpa  mempertikaikan sedikit pun apa yang dibawa dan diperintahkan oleh baginda.

Mereka melihat Rasulullah (saw) solat, termasuklah solat sunat, lalu mereka mengikutinya. Mereka melihat Rasulullah (saw) bertahajjud, lalu mereka mengikutinya. Mereka melihat Rasulullah (saw) berpuasa, termasuklah puasa sunat, lalu mereka mengikutinya. Mereka melihat Rasulullah (saw) bersedekah, lalu mereka mengikutinya. Mereka melihat Rasulullah (saw) melakukan amar makruf nahi mungkar, lalu mereka mengikutinya. Mereka melihat Rasulullah (saw) mendebat para pembesar Quraisy, lalu mereka mengikutinya. Mereka melihat Rasulullah (saw) bersungguh-sungguh berusaha untuk menerapkan hukum Allah (swt), lalu mereka mengikutinya. Mereka melihat Rasulullah (saw) bersungguh-sungguh memerangi orang-orang kafir, berjihad di jalan Allah (swt), membuka negeri-negeri baru, lalu mereka mengikutinya. Pendek kata, setiap kali mereka melihat Rasulullah (saw) melakukan sesuatu, mereka akan mengikutinya, dari sekecil-kecil perkara sehinggalah ke sebesar-besarnya.

Mereka tidak pernah memberikan alasan bahawa “Kami tidak dapat melakukannya wahai Rasulullah” atau “Kami tidak mampu melakukannya wahai Rasulullah” atau “Engkau adalah Nabi yang diberi mukjizat dan keistimewaan oleh Allah, sedangkan kami adalah orang biasa, maka kami tidak dapat melakukan sepertimu wahai Rasulullah” atau apa-apa ucapan yang seumpamanya. Mereka memahami bahawa mereka memang tidak mampu untuk meniru perbuatan Nabi (saw) secara sempurna, namun mereka tidak pernah memberikan alasan bahawa mereka tidak mampu melakukannya, atau tidak mampu mencontohi apa yang dilakukan oleh Rasulullah (saw). Sebaliknya mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk meniru apa yang dilakukan oleh Rasulullah (saw) semampu-mampu mereka, tanpa memberikan apa-apa alasan. Inilah generasi awal Muslim, yang merupakan generasi yang terbaik, yang seharusnya kita contohi.

Malangnya kini, ada sebahagian umat Islam yang sering tidak mahu mencontohi Nabi (saw) atas alasan tidak mampu, tidak berdaya, hukum itu tidak terpakai atau tidak sesuai lagi di zaman moden ini, dan bermacam-macam alasan lagi. Contoh umum yang paling ketara ialah dalam masalah menyelamatkan umat yang berada dalam seribu satu masalah sekarang ini. Ramai yang menyatakan bahawa mereka tidak mampu atau tidak berdaya melakukannya, dan ramai yang memberi alasan untuk menunggu Imam Mahdi yang akan datang menyelamatkan umat Islam. Justeru, mereka tidak melakukan apa-apa.

Begitu juga dalam masalah membangkitkan dan mempersatukan umat Islam. Seringkali kedengaran suara sebahagian umat Islam yang hanya pasrah dan menunggu kedatangan Imam Mahdi untuk melakukannya.

Sungguh aneh kefahaman dan alasan seperti ini! Tatkala mereka sanggup mengikuti Rasulullah (saw) dalam kesemua hal lain seperti ibadat, akhlak, pekerjaan, perniagaan, kekeluargaan, kejiranan, bersukan dan lain-lain, tanpa memberikan apa-apa alasan, namun apabila berbicara mengenai membangkitkan umat, menegakkan hukum Allah secara kaffah, menegakkan Daulah Islam, berjihad melawan musuh Islam, dan banyak lagi, mereka lalu memberikan alasan bahawa mereka tidak mampu atau tidak perlu melakukannya, dan hanya perlu menunggu Imam Mahdi.

Ketahuilah, jika pemikiran seperti ini wujud ketika tentera Monggol menyerang dan memusnahkan Khilafah Abbasiyah, nescaya tidak akan ada umat Islam yang bangkit melawan. Begitu juga apabila tentera Salib menakluk Baitul Maqdis suatu ketika dahulu, jika umat Islam berfikir “lebih baik menunggu Imam Mahdi”, nescaya Palestin tidak akan pernah dibebaskan. Begitu juga Konstantinople tidak akan dibebaskan sekiranya Muhammad al-Fatih hanya mengambil keputusan untuk menunggu Imam Mahdi membebaskannya. Alhamdulillah, ketika itu masih ramai umat Islam yang masih sedar dan berfikir secara rasional untuk segera bangkit mempertahankan Islam dan wilayah umat Islam. Bukanlah mereka tidak meyakini akan kedatangan Imam Mahdi, tetapi mereka tahu apa tanggungjawab mereka, dan apa tanggungjawab Imam Mahdi.

Melihat mukjizat dalam konteks yang benar

Mukjizat hendaklah dilihat dalam konteks yang benar, dan tidak boleh dijadikan alasan untuk umat Islam tidak berusaha. Perintah menjadikan Rasulullah (saw) sebagai teladan yang dimaksudkan dalam ayat di atas ialah dalam konteks Rasulullah (saw) sebagai manusia yang menunaikan segala perintah Allah (swt). Ya benar Rasulullah (saw) diberi mukjizat, namun kemukjizatan Rasulullah (saw) itu tidak siapa pun yang boleh menirunya, dan kita tidak diperintahkan untuk menirunya, kerana ia adalah kelebihan yang Allah (swt) berikan kepada Rasul-Nya. Untuk mukjizat, kita diperintah untuk mengimani dan meyakini mukjizat tersebut.

Apabila kita membahas sirah Nabi (saw) kita hendaklah melihatnya dari aspek perjalanan hidup Nabi (saw) sebagai seorang manusia yang wajib kita contohi. Di sepanjang sirah tersebut, terdapat banyak perintah dan larangan Allah (swt) ke atas Nabi yang wajib diikuti oleh umatnya. Dalam aspek perjuangan Rasulullah (saw) untuk menegakkan Islam, umat Islam tidak seharusnya fokus pada aspek mukjizat, sehingga meninggalkan aspek hukum-hakam dan segala tindakan Rasulullah (saw) yang wajib dijadikan suri teladan. Memfokuskan pembahasan hanya kepada keajaiban-keajaiban yang Allah (swt) berikan kepada Rasulullah (saw), akan mengakibatkan umat Islam gagal menjadikan baginda sebagai suri teladan dalam perjuangan.

Sebagai contoh, ketika peristiwa pemboikotan Nabi (saw), sebahagian umat Islam lebih suka mengetengahkan kisah surat perjanjian pemboikotan yang dibuat oleh Bani Makhzum dan Bani Abdu Syams yang dimakan anai-anai, kecuali bahagian awal yang tertulis “Bismikallahumma”. Walhal apa yang penting untuk dilihat dan diteladani ialah kenapa Rasulullah (saw) dan para sahabat diboikot? Puncanya tidak lain, kerana dakwah yang dibawa oleh baginda yang bertentangan dengan kepercayaan dan kehendak pembesar Quraisy, dan baginda serta para sahabat tegas dan tegar dalam dakwah tersebut, tanpa kompromi sedikit pun dengan kebatilan yang wujud. Oleh kerana kafir Quraisy telah gagal melawan dakwah Rasulullah dengan hujah (secara intelektual), maka mereka merubah kepada cara penyeksaan dan pemboikotan.

Inilah apa yang perlu diteladani oleh umat Islam, khususnya mereka yang berjuang untuk menegakkan agama Allah (swt). Adakah dakwah yang kita lakukan pada hari ini sebagaimana dakwah Rasulullah (saw) dahulu, yakni tegar menentang segala kepercayaan dan sistem yang batil yang diterapkan oleh penguasa, walau apa pun risikonya, demi untuk menegakkan Islam? Atau adakah dakwah yang kita lakukan pada hari ini seiring dengan sistem dan undang-undang yang batil dan seiring dengan kehendak pemerintah? Adakah kita tegar dalam melawan sistem yang batil ini, walaupun kita berhadapan ancaman tangkapan, seksaan atau pemboikotan oleh pemerintah? Di sinilah kita wajib menjadikan Rasulullah (saw) sebagai teladan.

Jika kita lihat sirah Rasulullah (saw) tersebut, pemboikotan ke atas Nabi (saw) berakhir bukan kerana perjanjian tersebut dimakan oleh anai-anai, tetapi kerana Bani Hasyim yang diboikot dan tertindas itu telah mendapat simpati masyarakat. Usaha untuk menamatkan pemboikotan itu telah dimulakan oleh Zuhair bin Abi Umayah Al-Makhzumi (dari Bani Makhzum) dan empat orang kawannya, untuk melawan perintah yang dikeluarkan oleh Abu Jahal dan pembesar Mekah yang lain. Mereka yang rasional dan intelektual dapat berfikir siapakah di pihak yang benar dan siapakah di pihak yang salah. Hasil perlawanan dan tekanan daripada Zuhair dan kawan-kawannya, walaupun mereka bukan Islam ketika itu, akhirnya kafir Quraisy terpaksa menamatkan pemboikotan tersebut.

Teladan yang perlu kita ambil di sini ialah bagaimana teguh, sabar dan istiqamahnya Rasulullah (saw) dan para Sahabat dalam menghadapi ujian di jalan Allah (swt), walaupun risikonya sampai ke tahap membahayakan nyawa mereka. Adakah kita sanggup sampai ke tahap itu dalam berdakwah, atau kita hanya memilih dakwah tanpa risiko? Di sinilah kita kena melihat dan mengambil Rasulullah (saw) sebagai suri teladan, bukan hanya memfokuskan kepada kisah anai-anai yang memakan perjanjian tersebut.

Begitulah seharusnya perjuangan Rasulullah (saw) diambil dan diteladani. Bahkan seluruh perjalanan dakwah Rasulullah (saw) daripada permulaan baginda dilantik menjadi Rasul, berjuang di Mekah selama 13 tahun, berhijrah, dan kemudian menyambung perjuangan di Madinah selama 10 tahun sehingga kewafatan baginda. Keseluruhan hidup Rasulullah (saw) setelah diangkat menjadi Rasul itu wajib dijadikan teladan. Mukjizat merupakan aspek keimanan, manakala perjuangan dan usaha Rasulullah (saw) adalah aspek kemanusiaan yang wajib diteladani.

Rasulullah (saw) mengajak manusia memeluk Islam, berdebat dengan pembesar Quraisy yang zalim, menghadapi cercaan manusia, dihina, ditolak dakwahnya, dilempari najis dan batu, berjalan berpuluh-puluh batu untuk mencari nusrah (pertolongan), dan pelbagai lagi kesukaran yang dilalui oleh Rasulullah (saw), yang semua ini seharusnya menjadi teladan setiap Muslim. Rasulullah (saw) melalui banyak fasa yang bersifat manusiawi dalam dakwahnya (tanpa mukjizat dari Allah), merasai kesakitan, luka, penderitaan, kesedihan dan lain-lain perasaan yang turut dirasai oleh manusia biasa, yang merupakan cabaran dan ujian dakwah dari Allah (swt). Maka, apabila kita melakukan dakwah di jalan yang benar dengan meneladani Rasulullah (saw), kita juga tidak terkecuali daripada mengalami apa yang Rasulullah (saw) alami.

Setelah melalui fasa dakwah dan pelbagai ujian di Mekah, akhirnya Allah (swt) memerintahkan Nabi (saw) untuk hijrah ke Madinah, di mana di situlah tegaknya Daulah Islam yang pertama, dan dengan itu hukum Allah (swt) dapat diterapkan sepenuhnya. Perjalanan ratusan batu dari Mekah ke Madinah, menempuhi segala kesukaran dan kesulitan, tegaknya Negara Islam, berlakunya jihad dan futuhat, menjalankan roda pemerintahan dan pentadbiran negara dan lain-lain – hampir kesemuanya berjalan secara alami dengan dilakukan oleh Rasulullah (saw) tanpa adanya mukjizat tertentu yang diturunkan oleh Allah (swt). Di sinilah kita perlu memahami bahawa peranan mukjizat adalah untuk membenarkan lagi keRasulan dan kita wajib mengimaninya, sedangkan peranan Rasul itu sendiri (dalam berdakwah), itulah yang wajib kita teladani.

Penutup

Setiap taklif yang Allah (swt) dan Rasul-Nya (saw) bebankan kepada kita sudah pasti kita mampu memikulnya, kerana Allah (swt) tidak akan membebani manusia dengan apa yang manusia tidak mampu pikul. Dengan kata lain, semua perintah Allah (swt) di dalam Al-Quran merupakan perintah yang mampu dipikul oleh manusia, kerana jika tidak, Allah (swt) adalah zalim kerana membebankan manusia dengan taklif yang manusia tidak mampu pikul. Maha Suci Allah dari sifat zalim. Firman-Nya,

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya” [Al-Baqarah (2): 286].

Oleh itu, apabila kita membicarakan masalah umat Islam, tidak timbul soal bahawa kita tidak mampu menyelesaikannya dan hanya mampu berharap atau menunggu kedatangan Imam Mahdi. Apa yang perlu kita lakukan ialah berusaha bersungguh-sungguh dengan jalan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah (saw). Walaupun sukar dan memakan masa, namun kita tetap mampu melakukannya. Apa yang diperintahkan oleh Allah (swt) kepada kita adalah untuk berusaha, sebagaimana Rasulullah (saw) berusaha. Usaha itu di tangan kita dan kemenangan itu di tangan Allah (swt).

Wallahu a’lam.