Menegakkan Khilafah Amalan Paling Dicintai Allah – Jurucakap HTM

BULETIN HTM – Ramai yang membayangkan cinta Allah hanya dapat diraih menerusi ibadah semata-mata; melalui solat, puasa, tahajud, zikir dan pelbagai amalan taqarrub kepada-Nya. Namun di sebalik itu terdapat satu jalan yang jarang disentuh untuk meraih cinta Allah, iaitu menerusi perjuangan politik untuk menegakkan sebuah negara yang melaksanakan hukum Allah secara kaffah, iaitu Khilafah.

Perbincangan ini menjadi inti kupasan oleh Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia (HTM), Ustaz Abdul Hakim Othman dalam siaran langsung Kupas Tuntas bertajuk “Meraih Cinta Allah Dengan Menegakkan Khilafah” pada 24 Julai 2026.

Menurut Ustaz Hakim, cinta antara seorang hamba dan Rabb-nya memerlukan dua pihak; hamba itu mesti mencintai Allah terlebih dahulu, barulah Allah mencintainya. Beliau menyandarkan hujah ini kepada firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat 31, yang memerintahkan Nabi Muhammad (saw) menyatakan bahawa sesiapa yang benar-benar mencintai Allah hendaklah mengikuti baginda, nescaya Allah akan mencintainya serta mengampuni dosa-dosanya.

Persoalannya, dalam aspek apakah Rasulullah (saw) perlu diikuti? Beliau menegaskan bahawa mengikuti Rasulullah bukan terhad kepada ibadah sahaja, sebaliknya merangkumi seluruh aspek kehidupan. Ini kerana Rasulullah (saw) bukan sekadar teladan dalam solat dan puasa, malah baginda merupakan seorang suami, bapa, ahli politik, ahli ekonomi, mujahid, negarawan dan pengasas Daulah Islam. Justeru, perintah mengikuti baginda turut merangkumi aspek politik dan usaha menegakkan sebuah negara, kata beliau.

Bagi menjelaskan bagaimana cinta Allah yang tertinggi dapat diraih, Ustaz Hakim membawakan hadis Rasulullah (saw) yang menyatakan bahawa besarnya ganjaran dinilai pada besarnya ujian, dan apabila Allah mencintai sesuatu kaum, Dia akan menguji mereka. Maka semakin berat ujian yang ditimpakan ke atas seseorang dalam keadaan dia mentaati perintah Allah, semakin tinggi sebenarnya cinta Allah kepadanya, jelas beliau.

Ujian yang dimaksudkan, tegas beliau, bukanlah musibah biasa seperti kematian, kesakitan atau kehilangan pekerjaan yang menimpa tanpa kaitan dengan perbuatan seseorang, tetapi ujian yang datang justeru kerana seseorang itu melaksanakan perintah Allah atau meninggalkan larangan-Nya; seperti dicerca, dihina, ditangkap, dibawa ke mahkamah ataupun dipenjarakan kerana berdakwah. Ujian dalam keadaan sedemikian, menurutnya, akan mendatangkan pahala yang berganda serta cinta Allah.

Beliau seterusnya menjelaskan bahawa golongan manusia yang paling berat ujiannya ialah para Nabi, diikuti oleh mereka yang mengikut jejak para Nabi; iaitu para Sahabat dan para ulama yang mewarisi kerja-kerja Nabi. Nabi Muhammad (saw) sendiri, sebagai kekasih Allah dan sebaik-baik makhluk, merupakan Nabi yang paling berat ujiannya.

Jurucakap HTM itu membawakan sebuah hadis mengenai soalan Aisyah (ra) kepada Rasulullah (saw) tentang hari apakah yang paling berat dalam kehidupan baginda selain hari Uhud, di mana baginda menjawab hari Uqbah (Taif) — hari di mana baginda dihalau serta dibaling batu sehingga berdarah.

Ustaz Hakim menarik perhatian bahawa peristiwa Taif itu berlaku ketika baginda sedang berusaha mendapatkan nusrah (pertolongan politik) bagi menegakkan sebuah negara.  Baginda ke Taif kerana menyangka itulah tempat hijrah yang terdapat dalam mimpi baginda yang ditunjukkan oleh Allah. Ini membuktikan antara lain, kata beliau, bahawa ujian paling berat yang ditanggung Rasulullah adalah dalam rangka menegakkan Daulah Islam, dan justeru usaha itulah yang paling dicintai Allah.

Beliau turut membawakan Surah at-Taubah ayat ke-100, yang mana Allah menyatakan keredaan-Nya terhadap golongan Muhajirin dan Ansar. Golongan Muhajirin dimuliakan kerana sanggup berhijrah meninggalkan rumah, keluarga dan harta demi menegakkan Daulah Islam, manakala golongan Ansar dimuliakan kerana memberikan nusrah kepada Rasulullah sehingga tertegaknya Daulah Islam di Madinah. Kedua-dua golongan ini, jelas beliau, dimuliakan Allah kerana peranan mereka dalam menegakkan negara.

Sebagai contoh kemuliaan tertinggi yang diberi oleh Allah kepada pemberi nusrah, Ustaz Hakim mengetengahkan kisah Saad bin Muaz, ketua kaum Ansar yang menyerahkan kepimpinan negara di Madinah kepada Rasulullah. Meskipun memeluk Islam hanya sekitar lima hingga enam tahun sebelum wafat pada usia lebih kurang 37 tahun, keistimewaan yang tidak dimiliki oleh sahabat-sahabat lain ialah pemberian nusrah oleh Saad sehingga tertegaknya Daulah Islam. Di saat kematiannya, Arasy Allah bergegar kerana kegembiraan menyambut rohnya, dan 70,000 malaikat yang tidak pernah turun ke bumi sebelum itu turun mengiringi jenazahnya.

Kesimpulannya, tegas Jurucakap HTM itu, cinta Allah yang paling tinggi dapat diraih dengan berusaha menegakkan Khilafah. Ini kerana hanya dengan tertegaknya Khilafah, seluruh hukum Allah dapat dilaksanakan secara kaffah, umat Islam di seluruh dunia bersatu di bawah satu kepimpinan dan satu bendera, tanah kaum Muslimin yang terjajah dapat dibebaskan, serta jihad fi sabilillah dapat dilaksanakan bagi menyebarkan Islam sebagai rahmat kepada sekalian alam.

Namun beliau mengingatkan bahawa Khilafah wajib ditegakkan menerusi jalan yang ditunjukkan Rasulullah (saw) semasa di Mekah sehingga tertegaknya Daulah Islam di Madinah — iaitu jalan dakwah politik dan intelektual — dan bukannya melalui jalan demokrasi mahupun jalan-jalan lain yang menyalahi syarak.

Di penghujung program, Ustaz Hakim berpesan agar umat Islam tidak meninggalkan dakwah politik meskipun berdepan pelbagai ujian dan fitnah, sebaliknya mensyukuri dan mengambil peluang hidup di zaman ketiadaan Khilafah, untuk berjuang menegakkannya. Menurutnya, inilah peluang untuk mengulangi perjuangan Rasulullah (saw) menegakkan Daulah Islam — satu peluang yang tidak dimiliki oleh para Imam terdahulu yang hidup di zaman kewujudan Khilafah — dan menerusi usaha inilah cinta Allah yang paling tinggi dapat diraih.