Meneladani Rasulullah Dengan Menegakkan Syariah Dan Khilafah
Terjemahan oleh: Pn. Maryam Ismail (Pimpinan Pusat MHTM)
Semua yang Rasulullah SAW putuskan merupakan kebenaran yang wajib diikuti baik zahir dan batin.
Muslim yang baik akan meneladani Rasulullah SAW. Itu juga yang selalu diingatkan dalam setiap peringatan Maulid Nabi Muhammad SAW. Ada tiga sebab penting mengapa seorang Muslim wajib meneladani Nabi SAW.
Pertama, meneladani Nabi SAW merupakan refleksi keimanan kepada Allah SWT, al-Quran dan kerasulan Nabi Muhammad SAW. Seseorang tidak dikatakan beriman sehingga dia menjadikan Nabi SAW sebagai hakim untuk memutuskan segala persoalan mereka.
Imam Ibnu Katsir rahimahullah, dalam menafsirkan surah an-Nisa’ ayat 65 menyatakan, “Allah SWT bersumpah dengan mengatasnamakan diriNya sendiri yang Maha Mulia dan Maha Suci, sesungguhnya seseorang belumlah beriman secara sempurna sehingga dia berhakim kepada Rasullah SAW dalam segala urusan. Semua yang Rasulullah SAW putuskan merupakan kebenaran yang wajib diikuti baik zahir dan batin. Oleh kerana itu, Allah SWT berfirman (tsumma laa yajiduu fii anfusihim harajan mimmaa qadlaita wa yusallimuu tasliimaa) yang bermaksud jika mereka telah berhakim kepadamu (Muhammad), mereka wajib mentaatimu (mentaati keputusan yang dibuat oleh Nabi SAW) dalam batin-batin mereka; dan mereka tidak ragu-ragu dalam diri mereka atas apa yang telah kamu putuskan; dan lalu mengikutinya (keputusan Nabi SAW tersebut) baik zahir mahupun batin. Kemudian, mereka berserah diri kepada itu (keputusan Nabi SAW), dengan penyerahan diri yang bersifat utuh, tanpa ada penolakan sedikit pun dan tanpa ada penyelisihan sedikitpun; sebagaimana disebutkan dalam hadis shahih, Nabi SAW bersabda, “Demi Zat yang jiwaku ada di tanganNya, sesungguhnya seseorang di antara kalian belumlah beriman hingga hawa nafsunya tunduk dengan apa yang aku bawa” [Imam Ibnu Katsir, Tafsiir al-Quran al-’Adziim, Juz 2/349].”
Makna ‘menjadikan Nabi SAW sebagai hakim atas seluruh urusan adalah menjadikan keputusan baginda SAW (syariat Islam) sebagai satu-satunya rujukan untuk menyelesaikan segala masalah kehidupan, baik merangkumi masalah individu, masyarakat, mahupun negara.
Kedua, meneladani Nabi SAW merupakan syarat agar amal perbuatan seseorang diterima dan diredai Allah SWT. Perbuatan yang sejalan dengan sunnah Nabi SAW diterima, sedangkan yang bertentangan dengannya ditolak. Imam Ibnu Katsir menyatakan, “Perkataan-perkataan dan perbuatan-perbuatan itu ditimbang dengan perkataan dan perbuatan Rasulullah SAW. Apa yang sejalan dengan sunnah Rasul diterima, sedangkan apa yang bertentangan dengannya maka tertolaklah atas orang yang berkata dan yang berbuat sedemikian. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW, “Siapa sahaja yang mengerjakan suatu perbuatan, yang tidak kami perintahkan, maka perbuatan itu tertolak”. Ini bermakna, sesiapa sahaja hendaklah berhati-hati dan takut menyalahi syariat Rasulullah SAW secara batin maupun zahir [an tushiibahum fitnah]: iaitu (dia akan tertimpa) fitnah di hati mereka; mulai terkena kekufuran, kemunafikan, atau bid’ah. [Au yushiibahum ‘adzaabun ‘alim]: iaitu terkena hukuman di dunia; mulai dari terkena had, penjara, atau dibunuh” [Imam Ibnu Katsir, Tafsir al-Quran al-‘Adziim, QS. an-Nur (24):63].
Ketiga, meneladani Nabi SAW atau mengikuti syariat baginda SAW merupakan jalan untuk meraih kecintaan Allah SWT. Seseorang tidak berhak mencintai dan dicintai Allah SWT sehingga dia mengikuti syariat Nabi SAW baik batin mahupun zahir. Imam Ibnu Katsir dalam menafsirkan surah Ali-‘Imran ayat 31, menyatakan, “Ayat yang mulia ini adalah pemutus bagi siapa sahaja yang mengaku mencintai Allah SWT, namun dia tidak berjalan di atas jalan Nabi Muhammad SAW; maka dia telah berdusta dalam pengakuannya itu, sehinggalah dia mengikuti syariat Nabi Muhammad SAW dan agama Nabi SAW dalam seluruh perkataan dan perbuatannya. Seperti yang ditetapkan dalam hadis shahih dari Rasulullah SAW bahawasanya baginda bersabda, “Barangsiapa mengerjakan suatu perbuatan yang tidak kami perintahkan, maka perbuatan itu tertolak”” [Imam Ibnu Katsir, Tafsir al-Quran al-‘Adziim, QS. Ali Imran (3):30].
Jalan untuk mencintai dan dicintai Allah SWT adalah dengan mengikuti syariat Nabi Muhammad SAW. Seseorang tidak layak disebut mencintai dan dicintai Allah SWT jika tidak menerapkan syariat Islam (syariat Nabi SAW) dalam seluruh dimensi kehidupan. Pengakuan seseorang ‘mencintai dan dicintai’ Allah SWT hanya dusta belaka jika dia menolak dan tidak menjalankan syariat Islam dalam skop individu, masyarakat dan negara.
Syarat Meneladani Nabi
Namun, masih lagi terdapat persoalan yang bermain di benak kaum Muslimin yang ingin meraih cinta Allah dan Rasul ini iaitu bagaimanakah seseorang benar-benar dikatakan telah ‘meneladani Nabi SAW’ dengan sempurna? Berkenaan dengan persoalan ini, terdapat penjelasan berharga yang disampaikan oleh Imam al-Amidiy dalam Kitab al-Ihkaam fi Ushuul al-Ahkaam. Beliau menyatakan, seseorang baru benar-benar disebut ‘meneladani dan mengikuti Nabi SAW’ jika telah memenuhi tiga perkara.
Pertama, [mitslu fi’lihi] semisal dengan perbuatan Nabi SAW. Sebagai contoh, Nabi SAW mengerjakan solat lima waktu dengan berdiri lurus. Seseorang tidaklah disebut meneladani baginda SAW semisal dengan perbuatannya jika dia mengerjakan solat lima waktu dengan bercekak pinggang atau membelakangi kiblat.
Kedua, [‘ala wajhihi] tujuan dan niat perbuatan harus sesuai dengan tujuan dan niat perbuatan Nabi SAW. Misalnya, Nabi SAW melaksanakan solat dua rakaat dengan niat wajib. Seseorang sah disebut ittiba’ (mengikuti) Rasulullah SAW jika dia mengerjakan solat dua rakaat tersebut dengan niat wajib, sebagaimana niat Nabi SAW. Dia tidak disebut meneladani Nabi SAW jika dia melaksanakan solat dua rakaat tersebut dengan niat sunnah.
Ketiga, [min ajlihi] kerana mengikut baginda SAW. Seseorang tidak disebut meneladani Nabi SAW jika dia mengerjakan suatu perbuatan bukan kerana mengikuti Nabi SAW, meskipun bentuk dan sifat perbuatannya sama dengan bentuk dan sifat perbuatan Nabi SAW. Oleh itu, jika Nabi SAW mengerjakan suatu perbuatan di suatu tempat atau waktu tertentu, maka seseorang Muslim tidak dituntut untuk mengerjakan perbuatan tersebut pada tempat dan waktu yang sama, kecuali ada ketetapan daripada Nabi SAW bahawa perbuatan tersebut harus dilaksanakan pada waktu dan tempat tertentu. Dalam keadaan seperti ini, seorang Muslim wajib melaksanakan perbuatan tersebut pada tempat dan waktu yang telah ditetapkan Nabi SAW. Misalnya, kewajipan berpuasa di bulan Ramadan, bukan di bulan lain; wajibnya ibadah haji di Arafah bukan di tempat lain; serta wajibnya solat lima waktu pada waktu-waktu yang telah ditetapkan Nabi SAW. Adapun ibadah-ibadah lain yang pelaksanaannya tidak dikhususkan pada waktu dan tempat tertentu, maka seorang Muslim dibolehkan melaksanakannya pada tempat dan waktu berbeza seperti jual beli, berdagang, bekerja, zikir dan sebagainya.
Kesimpulannya, meneladani Nabi SAW mesti diwujudkan dalam bentuk menjalankan syariat Islam secara menyeluruh tanpa memilih-milih dan memisah-misahkan. Meneladani Nabi SAW tidak cukup hanya dengan kenyataan lisan, propaganda dan peringatan maulid belaka. Namun, meneladani Nabi SAW mesti diwujudkan dengan cara menjalankan syariat Islam dalam setiap skop samada individu, masyarakat, dan negara. Selain itu, meneladani Nabi SAW mesti diwujudkan juga dengan cara mendakwahkan Islam ke seluruh penjuru dunia, menolak keyakinan dan sistem hukum yang bertentangan dengan akidah dan syariah Islam serta berjuang mendirikan kembali Daulah Islamiyyah yang diajarkan Nabi SAW dan ditempuh oleh para shahabat. Dengan cara inilah seorang Muslim dianggap benar-benar meneladani Nabi SAW, baik perkataan dan perbuatan baginda SAW.
Wallahhu’alam…
Artikel asal: http://hizbut-tahrir.or.id/2012/02/23/meneladani-nabi-dengan-menegakkan-syariat-dan-khilafah/