Mengapa Kehancuran Daulah Khilafah Membawa Perpecahan Dalam Kalangan Umat Islam?

Oleh : Amani Mohamed

Sir Lord Curzon, Menteri Luar Britain pernah berkata dengan penuh kesombongan tatkala berjaya menghancurkan Khilafah Uthmaniyyah tanggal 3 Mac 1924, “Situasi terkini adalah Turki telah mati dan tidak akan pernah bangkit semula. Ini kerana kita telah memusnahkan kekuatan spiritualnya iaitu Khilafah dan Islam.” Mereka merancang ratusan tahun, berusaha segenap cara dan akhirnya dapat apa yang diidamkan. Manakala umat Islam yang kehilangan ‘ibu’, pecah berderai menjadi serpihan-serpihan kecil dengan puluhan pemimpin di bawah bendera yang berbeza. Sedangkan pesan Rasulullah SAW bahawa haram memberi bai’ah (akad pengangkatan pemimpin) kepada dua orang Imam/Khalifah. Apatah lagi lebih dari itu. Bersempena tahun Masihi ke-100 umat Islam tanpa seorang Khalifah, maka sudah masanya untuk ditelusuri dan difahami bersama-sama beberapa faktor yang membawa perpecahan berlanjutan dalam kalangan umat yang mulia ini.

Pertama, negeri-negeri umat Islam yang terpisah ini telah melupakan misi besar menjadi negara adidaya ideologis seperti sebelumnya. Hanya sekadar rakyatnya majoriti Muslim dan ketua negara beragama Islam. Urusan politik dalam dan luar negara amat jauh dengan Al-Quran dan As-Sunnah yang merupakan sumber rujukan utama ideologi Islam. Malah setiap pemimpin yang memegang takhta perlu memenuhi citarasa penjajah Barat. Sedarkah kita, Barat masih bercita-cita besar untuk memisahkan lagi tubuh umat ini? Jika dahulu melalui Perjanjian Sykes-Picot, kini Timur Tengah sedang melalui projek Pemetaan Semula dengan pertambahan lebih banyak lagi negara. Caranya, negara sedia ada dipecahkan lagi mengikut etnik dan aliran fahaman yang berbeza. Kononnya sebagai pelan kedamaian, hakikatnya malapetaka besar buat umat. Para pemimpin hanya akur, hingga wujud rasa mustahil untuk bersatu. Lanskap politik telah berubah daripada memimpin sebuah daulah Khilafah berideologi Islam kepada menjaga negara kecil sekangkang kera masing-masing dengan memenuhkan saku penjajah, diri dan kroni sendiri.

“Mereka bersumpah kepada kamu dengan nama Allah untuk mendapat keredhaan kamu, padahal Allah dan RasulNya jualah yang lebih berhak mereka mendapat keredhaanNya, jika betul mereka orang-orang yang beriman.” [TMQ at-Taubah (9): 62]

Kedua, sektarian mazhab dan aliran fahaman sering dijadikan alasan permusuhan sesama kaum Muslimin. Memang benar Islam membenarkan keragaman ijtihad dalam persoalan fiqh. Tetapi bukanlah sebagai tiket perpecahan kerana tetaplah Rabb yang satu, Rasul yang satu dan Al-Quran yang satu. Tetapi tatkala kemerosotan berfikir umat semakin memburuk dan kesempatan ini digunakan oleh Barat untuk menyulut api sengketa. Selanjutnya jurang ukhuwwah Islamiyah yang dibina semakin melebar. Bukan sekadar Sunni dan Syiah, malah dengan pelbagai label seperti ASWAJA, Wahabi, Salafi, Khawarij, pelbagai jenama parti politik dan sebagainya. Ini sangat berbeza dibandingkan Rasulullah SAW yang menunjukkan uswah dengan mempersatukan Muhajirin dan Ansar. Bahkan lebih dari itu, baginda berjaya menguruskan masyarakat majmuk seluruh Jazirah Arab dengan panduan wahyu dariNya.

Ketiga, campur tangan asing terutamanya Amerika yang memaksa negeri-negeri umat Islam terikat dengan pelbagai perjanjian yang merugikan serta merampas hak kita. Kerap kali digunakan alasan memerangi pengganas tetapi hakikatnya memerangi Islam. Turki, Arab Saudi, Qatar dan Kuwait terikat dengan perjanjian untuk menyediakan pangkalan militer untuk Amerika. Selain itu, Selat Melaka dan Laut China Selatan yang jauhnya ribuan kilometer dari mereka juga diseret masuk dalam pelbagai perjanjian bagi memantau Malaysia, Indonesia dan negara Asia lain agar tidak menggugat kepentingannya. Lihat juga sebagaimana tular di media sosial tentang alasan Malaysia tidak menghantar tentera bagi membantu jihad di Palestin kerana terikat dengan perjanjian Pertubuhan Negara-negara Berkecuali (NAM). Sedar atau tidak, kesemua ini dimanipulasi oleh musuh-musuh Islam untuk menghalang kesatuan kaum Muslimin melalui sempadan geografi.

Keempat, terdapat beberapa pemimpin negara kaum Muslimin sanggup bermusuhan sehingga berperang akibat membiarkan negara mereka menjadi arena pertarungan antara Amerika dan Eropah khususnya Britain. Iraq dan Kuwait yang dianugerahi Allah SWT dengan kekayaan minyak, telah berperang pada tahun 1990. Tahukah kalian bahawa peperangan itu adalah perancangan Britain untuk meluaskan pengaruh agennya Saddam Husain. Sementara itu, Amerika bergabung dengan beberapa negara lain kononnya menyebelahi Kuwait. Perang Teluk sesama Muslim ini telah mengorbankan hampir 300 nyawa dalam masa dua hari! Malah akhirnya kedua-dua negara tergadai kepada Amerika. Tiada keuntungan buat umat, ibarat menang jadi arang, kalah jadi abu. Sejarah yang sama berulang apabila Arab Saudi mengobarkan api peperangan dengan puak Houti di Yaman sehingga hari ini. Kesannya amat dahsyat seperti kebuluran terburuk dalam sejarah serta tahap sanitasi dan kemusnahan fasiliti yang teruk. Mereka menggunakan slogan ‘memerangi keganasan’ sebagai justifikasi untuk berkhidmat kepada tuan-tuan mereka iaitu Britain dan Amerika. Mereka tidak mengendahkan amaran Allah SWT:

“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, sedangkan kamu tidak mempunyai seorang penolong pun selain Allah, sehingga kamu tidak akan diberi pertolongan.” [TMQ Hud (11):113]

Khatimah

Perpecahan demi perpecahan merobek tubuh besar umat Islam. Musuh Islam sudah secara terang menunjukkan kebenciannya. Hari ini, perang yang sedang berlangsung di antara Israel dengan Palestin benar-benar membuka mata umat tentang pentingnya kesatuan untuk menghadapi musuh yang bersekutu. Umat telah bangkit untuk menuju keadaan yang lebih baik dengan izin Allah SWT. Tempoh kekuasaan para pemimpin boneka penjajah Barat kian berakhir. Semua perjanjian dan batas geografi kufur akan segera dibatalkan. Kembalikan semula kemuliaan, kesatuan, kehormatan dan “The Power Of Ummah” dengan penuh keredhaan Allah dan RasulNya. Tiada jalan untuk kembali kepada Islam dengan cara yang benar kecuali melalui kesedaran politik dengan menegakkan semula Daulah Khilafah. Sumpahan Lord Cruzon 100 tahun yang lalu bakal berakhir sedikit masa lagi dan pengganas sebenar akan dikalahkan, Allahu Akbar!

Wallahua’lam