Menjadi Muslimah Negarawan
Oleh : Hamimah Karmidi
Mukadimah
Jika ditelusuri sejarah Hari Malaysia yang selalu disambut pada 16 September setiap tahun, semua maklum bahawa ia menandakan penggabungan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura bagi membentuk Malaysia. Penggabungan ini tentunya idea dan kerja keras orang-orang politik yang bersifat negarawan. Cita-cita membentuk negara yang lebih besar adalah penting bagi menambah kekuatan sumber daya manusia, kekayaan sumber alam yang lebih banyak dan pelbagai manfaat lainnya dengan model negara tertentu dan diatur dengan perlembagaan yang sama.
Ingatkah kalian bahawa umat Islam juga pernah bersatu dengan satu kesatuan wilayah sebesar hampir 2/3 dunia meliputi daratan dan lautan? Dimulakan oleh Rasulullah SAW di Madinah bersama para sahabat dan diteruskan oleh para khalifah, tanah umat Islam membesar sehingga ke Austria, membentang hingga ke China dan meluas hingga Nusantara. Di sebalik semua kerja keras tersebut, ramai Muslimah yang berciri negarawan terlibat walaupun wanita tidak diizinkan menjadi penguasa mahu pun Amirul Jihad.
Peranan Muslimah Negarawan
Gambaran negarawan bukanlah seperti yang difahami dalam ruang lingkup demokrasi-sekular yang jelas berakar pada peradaban barat. Sebaliknya, negarawan dalam perspektif Islam adalah sebahagian daripada matlamat besar yang berteraskan tanggungjawab terhadap al-Khaliq dan umat Islam. Dalam buku Pemikiran Politik Islam oleh Abdul Qadim Zallum, beliau menggambarkan bahawa negarawan adalah pemimpin politik tertinggi, tetapi negarawan tidak selalunya menjadi penguasa dan bukan semua penguasa adalah negarawan. Negarawan adalah pemimpin peradaban yang bersedia untuk memegang jawatan, walaupun mereka tidak perlu memegang jawatan. Negarawan adalah pemimpin yang berkebolehan serta berani bertindak tegas.
Pasti terlintas di fikiran kita, benarkah Muslimah boleh menjadi negarawan? Tentu sahaja boleh kerana Allah SWT telah menganugerahkan potensi amal kepada wanita sama dengan lelaki dan menjadikan wanita mampu mempunyai pemikiran tahap tinggi iaitu pemikiran dakwah politik termasuk politik kepimpinan dan politik antarabangsa. Namun peranan dakwah politik Muslimah adalah tidak sama dengan kaum lelaki. Allah SWT berfirman,
“Orang-orang Mukmin lelaki dan perempuan, sebahagian menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka memerintahkan kemakrufan dan mencegah kemungkaran.” [TMQ At-Taubah (9):71].
Muslimah berkewajipan mengembalikan peranan strategik wanita sebagai ibu dan pengatur rumahtangga untuk mewujudkan generasi cemerlang penjaga peradaban Islam. Kerana itu, dakwah politik wanita merupakan bahagian yang penting dalam strategi dakwah Islam. Masa depan peradaban Islam ditentukan antaranya oleh kualiti dan usaha Muslimah dalam menempuh jalan dakwah politik.
Tokoh Muslimah Negarawan
Dalam sejarah tinta emas Islam, terdapat tokoh Muslimah Negarawan hebat yang boleh diteladani. Mereka adalah golongan intelektual peradaban, penggerak dakwah politik dan ibu kepada generasi pemimpin umat yang menyedari kejayaan terbesar mereka adalah dengan berusaha mendidik generasi dan menyiapkan tamadun gemilang.
Aisyah binti Abu Bakar RA adalah salah seorang tokoh Muslimah Negarawan terawal dalam Islam yang menjadi sumber rujukan ilmu para sahabat setelah kewafatan Rasulullah SAW. Beliau merupakan seorang yang paling faqih, alim serta paling baik memberi pendapat berkaitan permasalahan hukum. Anak murid beliau kebanyakannya terdiri daripada golongan lelaki serta ramai antara mereka menjadi guru dan menjadi contoh kepada generasi seterusnya. Aisyah RA turut berperanan besar dalam mengembangkan ilmu dan mengajarkan hadis-hadis Rasulullah SAW kepada generasi umat Islam. Beliau sering menyampaikan buah fikirannya kepada pemerintah berkaitan hal ehwal negara dan dibentangkan dalam mesyuarat pada zaman kekhilafahan Abu Bakar, Umar dan Uthman.
Seterusnya adalah Juraisyiyah binti ‘Atha yang digelar Khaizuran; Muslimah Negarawan ketika zaman bani Abbasiyah dan merupakan isteri kepada Khalifah al-Mahdi. Beliau seorang yang sangat cintakan ilmu dan turut menjadi teman perbincangan dalam urusan kenegaraan bersama suaminya. Khaizuran sangat dahagakan ilmu sehingga selalu menemani kedua-dua puteranya, Musa dan Harun menuntut ilmu serta sangat tegas dalam mendidik mereka agar mereka layak memangku jawatan Khalifah. Kesungguhan beliau akhirnya membuahkan hasil apabila kedua-dua putera beliau menjawat jawatan Khalifah. Kerana itu, beliau digelar sebagai wanita di antara tiga Khalifah.
Selain itu, terdapat juga dua orang Muslimah Negarawan yang terlibat dalam gerakan awal dakwah politik Islam iaitu Nasibah binti Kaab Ummi Imarah dan Asma’ binti ‘Amru bin Adiy. Mereka melakukan perjalanan dengan tujuan politik iaitu untuk melaksanakan Baiat ‘Aqabah kedua demi merealisasikan asas dan tonggak pertama penubuhan negara yang akan menerapkan hukum Islam di tengah-tengah masyarakat dan melaksanakan dakwah ke seluruh dunia.
Para Muslimah generasi awal sangat memahami peranan utama mereka sebagai ibu dan pengurus rumahtangga. Mereka tidak melalaikan peranan tersebut. Mereka juga memahami kewajipan dakwah politik dan menuntut ilmu. Kerana itulah mereka menginfakkan jiwa mereka dalam dakwah politik dengan menanggung risiko sebagaimana kaum lelaki. Mereka memahami seruan dakwah berjemaah bagi lelaki yang juga terpakai buat para wanita. Allah SWT berfirman,
“Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung” [TMQ Ali Imraan (3): 104]
Khatimah
Oleh itu, Muslimah generasi kini haruslah berusaha sebaik mungkin dalam kapasiti yang mampu dilakukan. Semua Muslimah mampu menjadi seorang negarawan dan mengoptimumkan potensi diri dengan memahami kewajipan dakwah, menuntut ilmu tsaqafah Islam dan berperanan sebagai ummun wa rabbatul bait. Bagi yang berfikir dia tidak mampu, ingatlah bahawa sekecil apa pun usaha yang dilakukan pasti akan mendapat ganjaran daripada Allah SWT. FirmanNya, “Barangsiapa mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat balasannya” [TMQ al-Zalzalah (99): 7].
Rujukan:
- Fika Komara. (2016). Menjadi Muslimah Negarawan. Jawa Tengah: Granada Publisher.
- https://muslimahhtm.com/2023/09/27/aisyah-binti-abu-bakar-ash-shidiq-ummul-mukminin-nan-cerdas-dan-kaya-ilmu/
- https://muslimahhtm.com/2022/06/16/aqabah-tempat-bersejarah-yang-hampir-dilupakan/
- https://muslimahhtm.com/2024/05/27/muslimah-dan-dakwah-politik/
- https://muslimahhtm.com/2023/06/14/muslimah-berpolitik-wujudkan-ketaatan-jangan-mengekalkan-agenda-penjajahan/
- https://muslimahhtm.com/2023/03/13/menelaah-hadis-mengenai-kepimpinan-wanita/
- https://lensamedianews.com/2019/07/17/mengembalikan-fitrah-perempuan-sebagai-ummu-wa-rabbatul-bait