Menjadi Muslimah yang Lebih Baik: Tips Memperbaiki Diri dan Akhlak

Oleh: Aliya Ab Aziz

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap orang memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertakwalah kepada Allah. Sungguh, Allah Maha Mengetahui terhadap apa yang kerjakan.” (Surah al-Hasyr ayat 18)

Merenung kehidupan sehari-hari sudah pasti akan kita temui banyak kekurangan diri. Kekurangan yang boleh jadi muncul dari kesilapan dalam perbuatan atau keterlanjuran atau kerana ketidaktahuan terhadap sesuatu. Maka, dari renungan itulah kita perlu berusaha memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada. Usaha memperbaiki diri ini sudah pasti perlu dimulakan dengan memahami agama secara mendalam. Kerana dengan ilmu agama yang mendalam, kebaikan pasti akan datang.

Hadis Nabi SAW juga menyebut:

“Barang siapa yang dikehendaki kebaikan oleh Allah, maka Allah akan memahamkannya dalam urusan agama.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Memperbaiki diri dengan memahami agama boleh dilakukan melalui beberapa langkah:

1. Belajar ilmu agama: Kunci untuk memperbaiki diri adalah dengan memahami ilmu agama yang benar.

Belajar ilmu agama adalah kewajipan bagi setiap muslim, dan ini memiliki banyak manfaat. Ia merupakan asas bagi seseorang Muslim memahami agamanya dengan lebih baik dan menjalani kehidupan sesuai dengan syariat. Antaranya, dengan ilmu agama, seseorang dapat memahami perintah dan larangan Allah, membentuk akidah yang benar, meningkatkan ibadah yang sahih, serta menjadi hamba yang bertakwa.

Imam Al-Ghazali dalam karyanya “Ihya Ulumuddin”, turut menekankan bahawa ilmu yang bermanfaat adalah asas kepada amal yang diterima oleh Allah.

Dalam Surah Az-Zumar, ayat 9, kedudukan orang berilmu dengan yang tidak berilmu juga berbeza. Sebagaimana Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“…Katakanlah, ‘Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?’…”

Manakala dalam hadis Nabi juga menyebut:

“Menuntut ilmu adalah kewajipan bagi setiap muslim.” (HR. Ibnu Majah)

Ini menunjukkan bahawa ilmu agama adalah landasan bagi keimanan dan amal yang sahih.

2. Mengamalkan ilmu: Praktikkan apa yang dipelajari dalam kehidupan seharian.

Kita mesti menerapkan apa yang telah dipelajari dalam kehidupan seharian. Ilmu agama bukan hanya untuk diketahui, tetapi juga untuk diamalkan. Dalam hal ini, kita perlu menjalankan perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya sesuai dengan pemahaman yang telah kita peroleh dari Al-Quran dan hadis.

Kepentingan mengamalkan ilmu terdapat dalam firman Allah, Surah Al-Baqarah, ayat 44:

“Mengapa kamu menyuruh orang lain (mengerjakan) kebaikan, sedang kamu melupakan diri (kewajipan)mu sendiri…”

Begitu juga hadis Nabi SAW:

“Tidak akan bergeser kedua kaki seorang hamba pada hari kiamat hingga dia ditanya tentang empat perkara, termasuk amalnya, apa yang telah dia amalkan dari ilmunya.” (HR. Tirmidzi)

Hadis ini menekankan bahawa seseorang akan dipertanggungjawabkan di akhirat tentang bagaimana dia mengamalkan ilmu yang telah dipelajarinya. Ilmu yang tidak diamalkan tidak membawa manfaat dan akan menjadi alasan untuk disoal di hadapan Allah.

3. Menjaga niat ikhlas: Pastikan setiap amalan dilakukan semata-mata kerana Allah.

Seterusnya, kita hendaklah memastikan setiap amalan yang dilakukan semata-mata kerana Allah, tanpa mengharapkan pujian atau ganjaran duniawi. Niat ikhlas menjadi asas diterimanya amal ibadah.

Sabda Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya segala amalan itu bergantung pada niatnya, dan seseorang akan mendapatkan sesuai dengan apa yang diniatkan.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Tanpa niat ikhlas, amal kebaikan tidak akan diterima oleh Allah, kerana tujuan utama ibadah adalah mencari keredhaan-Nya, bukan pujian manusia.

4. Sabar dan istiqamah: Sabar dalam menghadapi ujian dan sentiasa konsisten dalam usaha memperbaiki diri.

Sabar dan istiqamah adalah dua sifat penting dalam memperbaiki diri. Sabar bermaksud menerima ujian hidup dengan tenang dan tidak berputus asa. Ujian datang untuk menguji keimanan, dan kesabaran dalam menghadapi cabaran ini akan mendekatkan kita kepada Allah. Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 153:

” Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar”

Istiqamah pula merujuk kepada konsistensi dalam beramal. Ini bermaksud terus-menerus memperbaiki diri dan mengamalkan kebaikan walaupun menghadapi kesukaran. Rasulullah SAW bersabda:

“Amalan yang paling dicintai Allah adalah yang dilakukan secara istiqamah, walaupun sedikit.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Dengan sabar dan istiqamah, usaha memperbaiki diri akan membuahkan hasil yang baik, insyaAllah.

5. Memperbaiki akhlak: Tingkatkan akhlak mulia dan hindari sifat negatif.

Memperbaiki akhlak bermaksud berusaha meningkatkan sifat-sifat mulia seperti jujur, amanah, lemah lembut, dan menjaga tutur kata, serta menjauhi sifat negatif seperti sombong, iri hati, dan marah yang berlebihan. Akhlak yang baik mencerminkan iman seseorang dan merupakan cerminan dari pengamalan agama dalam kehidupan seharian.

Dalil tentang pentingnya memperbaiki akhlak adalah sabda Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya orang yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya.” (HR. Tirmidzi)

Oleh itu, memperbaiki akhlak adalah bahagian penting dalam usaha memperbaiki diri secara keseluruhan.

Inilah langkah-langkah sebagai salah satu sarana terbaik untuk mendekatkan diri dengan Allah dan menjalani hidup yang lebih bermakna. Ia juga akan menuntun kita kepada kehidupan yang lebih baik dan penuh keberkatan. InsyaAllah.