Menyoroti Sejarah Kemasukan Islam ke Alam Melayu
Sejarah mencatatkan bahawa Islam telah sekian lama bertapak di Nusantara dan semenjak itu telah berkembang pesat sehingga meliputi hampir seluruh pelosok Alam Melayu. Pelbagai peninggalan yang ditemui menunjukkan bahawa kehadiran Islam ke rantau ini bukan sahaja membawa perubahan dari sudut ketamadunan, bahkan membawa sinar Islam yang menerangi Alam Melayu sehingga ke hari ini meskipun Islam tidak diterapkan secara kaffah sebagaimana suatu ketika dahulu.
Antara bukti-bukti kedatangan Islam ke Alam Melayu dapat dilihat melalui peninggalan-peninggalan seperti batu nisan dan bukti-bukti lain yang terdapat di pelbagai tempat di rantau ini. Misalnya dengan penemuan batu nisan di Champa bertarikh awal abad ke-11M dan batu nisan di Gresik, Jawa bertarikh akhir abad ke-11M. Di samping itu, penemuan Batu Bersurat Terengganu yang bertarikh 1303M juga menjadi bukti kehadiran Islam di rantau ini.
Hadirnya Islam bukan sekadar untuk mengatur aspek kepercayaan dan peribadatan, bahkan turut mencorak kehidupan penduduk di Nusantara dari aspek kemasyarakatan sehinggalah ke tatanan pemerintahan dan kenegaraan. Peranan penting yang dimainkan oleh para pendakwah yang bertandang ke rantau ini demi menyebarkan risalah Islam dan menjamin kelestarian penerapannya dalam tatanan kehidupan dapat dilihat dalam lipatan sejarah kesultanan Islam di Nusantara seperti di Aceh, Pasai, Patani dan Melaka.
Kehadiran para pendakwah yang menyebarkan Islam ke rantau ini bukan sekadar meliputi dakwah kepada orang-orang kebanyakan atau para pedagang semata-mata, bahkan risalah Islam turut sampai ke istana-istana para penguasa di Nusantara. Para pendakwah ini juga bukan sekadar menyebarkan Islam melalui lisan semata-mata, tetapi mereka turut melebur di dalam masyarakat setempat melalui ikatan perkahwinan dan penglibatan secara aktif dalam politik di Alam Melayu. Bahkan penyebaran Islam menjadi semakin pesat setelah para raja dan pembesar tempatan mula memeluk agama Islam.
Teori Kemasukan Islam ke Alam Melayu
Terdapat beberapa teori yang menjelaskan sejarah awal kemasukan Islam ke Alam Melayu berdasarkan penemuan-penemuan sejarah yang telah dikenalpasti oleh para sejarawan. Salah satu daripadanya ialah bahawa Islam masuk melalui peranan yang dimainkan oleh para pendakwah berbangsa Arab dari Asia Barat yang merentas lautan Hindi [S.Q. Fatimi, Syed Naquib al-Attas].
Di samping itu, terdapat juga teori yang menunjukkan bahawa kemasukan Islam datang daripada Cambay, Gujarat [Windstedt, Moquette, Schrike, Hall] dan Malabar [Pijnappel] yang terletak di benua India. Sementara itu, Azyumardi pula mengeluarkan beberapa pendapat yang antara lain menyatakan bahawa Koromandel, Malabar, dan India bukanlah satu-satunya pintu kemasukan Islam ke Nusantara, bahkan sebaliknya Islam datang ke Nusantara dari Semenanjung Arab.
Dalam pada itu, terdapat juga sejarawan yang membawa teori kemasukan Islam melalui China. Teori ini turut disokong oleh Alexander Wain dalam tesisnya yang diterbitkan pada 2015 berjudul ‘Chinese Muslims and the Conversion of the Nusantara to Islam’.
Walaupun para sejarawan berbeza pandangan berhubung teori kemasukan Islam ke Alam Melayu, namun kesemua fakta yang tercatat menunjukkan bahawa terdapat usaha yang bersungguh-sungguh dan konsisten di sepanjang lipatan sejarah Khilafah dalam menyebarluaskan dakwah Islam.
Meskipun sejarah tidak boleh dijadikan sebagai sumber hukum, cenderung untuk bias, dan seringkali berubah-ubah mengikut interpretasi serta penemuan-penemuan terbaharu, namun terdapat ibrah (pengajaran) yang boleh diambil serta dihayati oleh generasi Muslim hari ini.
Generasi yang tidak belajar daripada sejarah bukan sahaja berkecenderungan untuk mengulangi kesilapan generasi terdahulu, bahkan boleh melunturkan jati diri mereka. Keengganan untuk mengkaji sejarah juga boleh menyebabkan umat Islam hari ini gagal menyedari bahawa sistem yang mencorakkan kehidupan mereka pada hari ini merupakan warisan kolonialis yang cuba menyekat Islam daripada diterapkan secara kaffah dalam segenap aspek kehidupan.
Apa yang lebih utama, mempelajari sejarah bukanlah sekadar untuk mengenang kegemilangan umat Islam yang pernah dikecapi suatu ketika dahulu. Sebaliknya, sejarah perlu dinilai dan disoroti secara objektif agar menerusinya, kita dapat mengorak langkah ke hadapan dengan jati diri yang utuh sebagai sebuah umat yang disatukan oleh ikatan akidah Islam.
Kemasukan Islam ke Alam Melayu: Polisi Luar Khilafah dan Peranan Para Ulama
Dorongan untuk menyebarkan Islam ini bukanlah sekadar cetusan kesedaran secara perseorangan oleh para ulama dan pendakwah Islam semata-mata. Di samping itu, perlu difahami juga bahawa kemasukan Islam ke Alam Melayu juga bukanlah merupakan ‘produk sampingan’ daripada aktiviti perdagangan yang berlangsung pesat seawal kurun ke-7 Masehi sebagaimana yang dinyatakan oleh sebahagian sejarawan.
Sebaliknya penyebarluasan dakwah Islam ini merupakan usaha terancang dan bersungguh-sungguh yang didukung oleh para Khalifah di sepanjang lipatan sejarah. Meskipun kekhilafahan bersilih ganti daripada Khulafa’ ar-Rasyidin, diikuti oleh Khilafah Umayyah, Abbasiyyah, dan Uthmaniyyah, namun polisi luar khilafah tetap sama iaitu penyebarluasan Islam melalui dakwah dan jihad.
Hal ini sejajar dengan tujuan diutuskan Rasulullah (saw) ke dunia ini sebagaimana yang dijelaskan melalui firman Allah (swt);
وَمَآ أَرْسَلْنَـٰكَ إِلَّا رَحْمَةًۭ لِّلْعَـٰلَمِينَ
“Dan tiadalah Kami mengutus kamu (wahai Muhammad), melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam” [TMQ al-Anbiya’ (21): 107].
Sewaktu hayat junjungan mulia Rasulullah (saw), risalah Islam tersebar sehingga meliputi ke seluruh Jazirah Arab setelah berdirinya Negara Islam pertama yang berpusat di Madinah al-Munawwarah. Tugas mulia ini kemudiannya diteruskan oleh para Khulafa’ yang mewarisinya daripada Rasulullah (saw).
Wilayah-wilayah Islam berkembang sejajar dengan pelaksanaan polisi luar ini (dakwah dan jihad) oleh Daulah Khilafah. Para pendakwah dihantar ke segenap penjuru dunia sebagai ‘duta’ bagi menyampaikan risalah Islam dan mendapat dukungan terhadap Daulah Islam. Seandainya wujud sekatan secara fizikal yang menghalang penyebaran dakwah Islam, maka jihad diisytiharkan bagi menghapuskan sekatan yang menghalangnya demi memasukkan cahaya Allah ke wilayah yang baru.
Sejarah mencatatkan kemasukan Islam ke Alam Melayu terjadi melalui penyebaran dakwah yang dilakukan secara konsisten dengan dukungan daripada Khilafah. Islam masuk ke rantau ini melalui jalan dakwah (tanpa jihad) kerana penduduk di rantau ini telah menerima Islam dengan baik. Setelah Islam tersebar luas dan mencorakkan tatanan kehidupan di Alam Melayu, para pendakwah dan ulama terus memainkan peranan dalam memastikan kesinambungan penerapan syariah di rantau ini.
Muhammad Hassan bin Muhammad Arshad, penulis at-Tarikh Salasilah Negeri Kedah menukilkan dalam karya beliau mengenai delegasi seramai dua belas orang pendakwah yang diketuai oleh Syeikh al-Qumairi yang diutus oleh Khalifah Abbasiyah bagi menyebarkan Islam pada 1136M. Rombongan tersebut telah berhasil mengislamkan Raja Kedah pada ketika itu, Phra Ong Mahawangsa atau Maharaja Derbar Raja II dan seterusnya diikuti oleh para pembesar dan penduduk negeri tersebut.
At-Tarikh Salasilah Negeri Kedah turut menukilkan bahawa Maharaja Derbar Raja II kemudiannya menggunakan gelaran Sultan al-Muzaffar Syah I dan memerintah Kedah berdasarkan struktur pemerintahan ‘Bani Abbas di Tanah Arab’ seperti mana yang diwasiatkan oleh Syeikh Abdullah al-Qumairi sebelum beliau meninggal dunia sekitar tujuh tahun setelah ketibaannya di Kedah.
Khatimah
Para ulama’ bukan sekadar membimbing masyarakat berhubung hukum-hakam dan menjadi rujukan dalam urusan kehidupan sehari-hari, bahkan mereka turut memainkan peranan penting dalam menasihati dan memuhasabah para Sultan. Peranan besar yang dimainkan oleh para ulama ini dapat dilihat dalam kesultanan-kesultanan Islam di Nusantara seperti Aceh, Pasai, Patani, Kesultanan Melayu Melaka dan Johor.
Antara Sultan-sultan terdahulu yang turut memerintah berdasarkan bimbingan para ulama termasuklah Sultan Alauddin Riayat Syah II (Johor), Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam (Aceh), dan Sultan Malik az-Zahir (Pasai). Bahkan peranan ini diteruskan meskipun setelah rantau ini diserang dan dijajah oleh puak kuffar sewaktu zaman kolonialisasi.
Kesultanan-kesultanan Islam yang terdapat di rantau ini juga mempunyai hubungan erat dengan khilafah Abbasiyah dan seterusnya Uthmaniyyah meskipun terletak begitu jauh dari segi kedudukan geografi. Hal ini dapat dilihat melalui bukti-bukti seperti perutusan surat mahupun catatan-catatan sejarah yang masih tersimpan dan terjaga rapi.