Diskusi Khilafah Dan Alam Melayu di Seremban

SEREMBAN 8 Julai – Bertempat di Asrama D’Ark, Jalan Seremban-Senawang, Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) sekali lagi mengadakan diskusi (munaqashah) bertajuk “Khilafah Dan Alam Melayu: Sejarah Yang Disembunyikan”. Ia bertujuan menyedarkan para hadhirin akan hubungan Khilafah dan Tanah Melayu dan juga kewajipan mengembalikan semula institusi politik umat Islam ini.

Diskusi kali ini menampilkan dua orang ahli panel iaitu Ustaz Abdul Hakim Othman dan Sdr Yusuf Muhammad. Di dalam pembentangannya, Yusuf menjelaskan banyak fakta yang menjelaskan kaitan antara Tanah Melayu dan Khilafah satu ketika dahulu, termasuklah usaha-usaha Khilafah Uthmaniyyah menyelamatkan Tanah Melayu dari ancaman penjajah Portugis, Belanda dan British.

Abdul Hakim yang juga Presiden HTM menjelaskan bahawa hubungan tersebut adalah terlahir dari akidah Islam yang mana Khalifah di Turki mengetahui akan tanggungjawabnya menyelamatkan seluruh umat Islam tidak kira di mana kerana beliau adalah Khalifah bagi seluruh kaum Muslimin. Hakim seterusnya menjelaskan bagaimana Khilafah Uthmaniyyah dihancurkan dan kewajipan setiap Muslim untuk menegakkan kembali Daulah Khilafah. Hakim menjelaskan nas-nas dari Al-Quran, Hadis, Ijmak Sahabat serta pendapat ramai ulama bahawa menegakkan Khilafah adalah fardhu ke atas setiap Muslim. Hizbut Tahrir, sejak 1953 telah berusaha bersungguh-sungguh di seluruh dunia untuk mendirikan semula Daulah Khilafah dan mengajak semua umat Islam agar bersama-sama dalam usaha mulia ini, ujar Hakim.

Kedua-dua ahli panel seterusnya melayan soalan-soalan yang diajukan oleh hadhirin, baik secara lisan mahupun bertulis. Majlis berakhir sekitar jam 1 petang.