Seminar “Khilafah dan Alam Melayu” Menjelajah Ke Manjung

SERI MANJUNG 19 Jun 2010 – Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) Perak telah menganjurkan satu seminar yang bertajuk “Hubungan Khilafah Dan Alam Melayu – Sejarah yang Disembunyikan”.  Seminar yang bermula pada jam 9.30 pagi itu diadakan di Masjid Sultan Alang Iskandar Syah, Kg. Dato’ Seri Kamaruddin, Seri Manjung tersebut menghadirkan dua orang ahli panel iaitu Ustaz Ridhuan Hakim dan Ustaz Abu Aiman.
Majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci Al-Quran oleh sdr Hamid Musaddiq dan dipengerusikan oleh sdr Abu Fateh. Dalam pembentangan pertama, Ridhuan telah menjelaskan sejarah hubungan alam Melayu dengan Daulah Khilafah, khususnya pada zaman Othmaniah yang selama ini tidak diterangkan di dalam buku-buku teks sejarah di Malaysia. Banyak fakta sebenar sejarah telah dibongkarkannya yang selama ini tersembunyi dari pengetahuan umum. Terlalu banyak bukti yang menunjukkan bahawa Tanah Melayu satu waktu dahulu mempunyai kaitan rapat dengan Daulah Khilafah, malah raja-raja dan ulama di Tanah Melayu mengiktiraf Khalifah sebagai pemimpin kaum Muslimin seluruh dunia. Namun malangnya, kebanyakan orang Melayu hari ini khasnya sudah tidak lagi berjuang untuk menegakkan Khilafah setelah kejatuhannya pada tahun 1924 di Turki.

Pembentangan kertas kerja kedua yang bertajuk “Khilafah Adalah Kewajipan, Bukan Pilihan” disempurnakan oleh Ustaz Abu Aiman selaku Ketua Mahaliyah HTM (Perak). Dalam pembentangannya Abu Aiman menjelaskan dengan terperinci dalil-dalil dari Al-Quran, Al-Hadis, Ijma’ Sahabat dan pendapat-pendapat ulama yang begitu banyak yang menunjukkan tidak ada khilaf bahawa Khilafah adalah sebuah kewajiban yang tidak ada pilihan bagi kaum Muslimin kecuali mesti (wajib) menegakkannya. Diakhir ucapannya, beliau menyeru agar semua hadhirin bersama-sama Hizbut Tahrir untuk berjuang menegakkan kewajipan ini.

Majlis turut dimeriahkan dengan bahan pameran serta kaunter jualan buku-buku. Sejurus selesai pembentangan kedua, sessi soal-jawab menyusul. Majlis berakhir dengan doa penutup sekitar 1.20 petang.

Seminar-Manjung 1

Seminar-Manjung 2

Seminar-Manjung 3

Seminar-Manjung 4