Seminar “Khilafah Dan Alam Melayu” Menjelajah Ke Ipoh

IPOH 9 Mei 2010 – Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) kawasan Ipoh telah menganjurkan satu seminar yang bertajuk “Khilafah Dan Alam Melayu – Sejarah yang Disembunyikan”.  Seminar yang diadakan di Dewan Taming Sari, Kompleks Silveritage Medan Gopeng, Ipoh tersebut menghadirkan dua orang ahli panel iaitu Ustaz Ridhuan Hakim, AJK Pusat HTM dan Ustaz Abdul Hakim Othman, Presiden HTM. Dalam pembentangannya Ridhuan telah menjelaskan sejarah hubungan alam Melayu dengan Daulah Khilafah, khususnya pada zaman Othmaniah yang selama ini tidak diterangkan di dalam buku-buku teks sejarah di Malaysia. Banyak fakta sebenar sejarah telah dibongkarkan oleh AJK Pusat HTM itu yang selama ini tersembunyi dari pengetahuan umum. Terlalu banyak bukti yang menunjukkan bahawa Tanah Melayu satu waktu dahulu mempunyai kaitan rapat dengan Daulah Khilafah, malah raja-raja dan ulama di Tanah Melayu mengiktiraf Khalifah sebagai pemimpin kaum Muslimin seluruh dunia.

Antara fakta sejarah yang diungkap oleh Ridhuan adalah berkenaan lawatan Sultan Abu Bakar Johor ke atas Khalifah Abdul Hamid II pada tahun 1860-an. Sultan Abdul Hamid kemudian mengurniakan dua orang wanita Turki, Khadijah Hanum dan juga Ruqayyah Hanum. Khadijah kemudian menikah dengan Sultan Abu Bakar manakala Ruqayyah Hanum bernikah dengan Engku Majid, adik Sultan Abu Bakar. Pernikahan Ruqayyah dengan Engku Majid dikurniakan 3 orang cahaya mata, salah seorang darinya adalah Ungku Abdul Hamid, ayah kepada Ungku Abdul Aziz, mantan Naib Cansellor Universiti Malaya. Selepas kematian Ungku Abdul Hamid, Ruqayyah Hanum bernikah pula dengan Dato’ Jaafar dan mendapat 7 orang anak di mana salah seorangnya adalah Dato’ Onn. Anaknya Hussien Onn adalah Perdana Menteri Malaysia ketiga dan kini cucunya Hishamuddin Hussien adalah Menteri Keselamatan Dalam Negeri yang juga merupakan Naib Presiden UMNO. Banyak lagi sejarah lainnya diungkap oleh Ridhuan yang menunjukkan betapa dekatnya hubungan Khilafah dan alam Melayu. Namun malangnya, kebanyakan orang Melayu sudah tidak lagi berjuang untuk menegakkan Khilafah setelah kejatuhannya pada tahun 1924 di Turki.

Pembentangan kertas kerja kedua yang bertajuk “Khilafah Adalah Kewajipan, Bukan Pilihan” disempurnakan oleh Presiden Hizbut Tahrir sendiri iaitu Ustaz Abdul Hakim Othman. Dalam pembentangannya Hakim menjelaskan dengan terperinci dalil-dalil dari Al-Quran, Al-Hadis, Ijma’ Sahabat dan pendapat-pendapat ulama yang begitu banyak yang menunjukkan tidak ada khilaf bahawa Khilafah adalah sebuah kewajiban yang tidak ada pilihan bagi kaum Muslimin kecuali mesti menegakkannya. Berdasarkan Ijma’ Sahabat, batas waktu untuk melantik seorang Khalifah setelah berlaku kekosongan Khalifah sebelumnya adalah selama 3 hari 2 malam. Kini umat Islam sudah 89 tahun (tahun hijrah) kehilangan Khilafah dan setiap Muslim yang berdiam diri dan tidak berusaha menegakkannya adalah berdosa berdasarkan nas yang jelas. Dalam ucapan penutupnya, presiden Hizbut Tahrir Malaysia itu menyeru agar semua hadhirin bersama-sama Hizbut Tahrir untuk berjuang menegakkan kewajipan ini.

Majlis disusuli dengan soal-jawab dan banyak soalan dikemukakan oleh hadhirin yang menunjukkan keprihatinan mereka terhadap bangkitnya semula Khilafah. Majlis berakhir dengan doa penutup menjelang 1.30 tengahari.