Merompak Petrol Rakyat – Prihatinkah Kerajaan?
TOKYO 26 Mei – Keputusan tidak menaikkan harga petrol RON 95, diesel dan gas petroleum cecair dalam waktu terdekat membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap beban yang terpaksa ditanggung rakyat walaupun akan terpaksa menanggung subsidi hampir RM20 bilion. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, keputusan menanggung beban yang berat itu terpaksa dibuat semata-mata untuk kebajikan rakyat kerana kerajaan hanya mempunyai bajet subsidi minyak sebanyak RM11 bilion tahun ini.
“Ini bererti langkah-langkah susulan atau alternatif perlu diambil kalau harga minyak masih tidak dinaikkan,” katanya kepada wartawan Malaysia pada hari terakhir lawatannya ke Jepun untuk menghadiri Persidangan Antarabangsa Nikkei ke-17 di sini, hari ini. Sambil menafikan ia mempunyai kaitan dengan pilihan raya, bagaimanapun, Najib berkata, kerajaan hanya berharap rakyat menunjukkan penghargaan mereka ke atas keputusan itu.
“Dari segi pengurusan kewangan makro juga, jumlah subsidi yang begitu besar sebenarnya tidak selari dengan prinsip pentadbiran yang baik tetapi rakyat biasa sukar memahami perkara tersebut,” katanya. Ditanya sampai bila harga minyak akan kekal, Perdana Menteri berkata, perkara itu sukar diramalkan kerana tiada siapa yang tahu mengenai perubahan harga minyak tetapi kerajaan akan berusaha lakukan apa yang terbaik untuk rakyat. – UTUSAN
Sumber : Utusan Online, 27/05/2011
Merompak Petrol Rakyat – Prihatinkah Kerajaan?
Nampaknya, entah keberapa kali sudah BN-UMNO menggunakan helah yang sama untuk mengaburi mata rakyat. Langkah tidak menaikkan harga minyak “buat masa ini” merupakan “bukti” kerajaan pimpinan UMNO ini sungguh prihatin. Penipu! Biasanya, sekiranya kerajaan hendak menaikkan harga minyak, ia pasti akan dilakukan secara senyap- senyap di kala rakyat sedang lena tidur diulit mimpi di tengah malam. Sekiranya tidak, maka ia awal-awal lagi sudah dicanangkan untuk menarik perhatian rakyat agar sama- sama bersikap tunggu-dan-lihat akan keputusan kerajaan untuk membuktikan betapa “prihatinnya” kerajaan sekular sekarang ini. Sampai bilakah nasib umat akan dipermainkan pemerintah untuk kesekian kalinya? Sampai bilakah penyelewengan hak rakyat ini akan terus dilakukan oleh pemimpin- pemimpin yang khianat ini?
Secara faktanya, negeri umat Islam sangat kaya dengan sumber petroleum dan bahan bakar. Malah sekiranya di kira jumlah pengeluaran minyak dalam Malaysia sahaja sudah cukup untuk menampung penggunaan minyak dalam negara. Ini belum lagi mengira keuntungan daripada jualan minyak dan gas ke luar negara. Namun, ini semua cuma tinggal dongengan semata- mata selama mana hak rakyat ini tidak diurus dengan syariat Islam.
Islam telah menetapkan bahawa petroleum merupakan sebahagian daripada hak umum yang wajib diselenggarakan oleh negara untuk dikembalikan kepada umat.
Dari Ibnu Abbas r.a, bahawa Nabi SAW bersabda, “Kaum Muslimin bersyarikat (berkongsi) dalam tiga perkara iaitu air, padang ragut dan api” [HR Abu Daud].
Air, padang ragut dan api (tenaga) adalah tiga perkara yang Rasulullah benarkan setiap orang berkongsi di dalamnya dan baginda melarang mana-mana pihak menghalangi orang lain dari menggunakannya, apatah lagi dengan merompak dan mengaut keuntungan darinya sepertimana yang dilakukan pemerintah saat ini.
Oleh itu, sama ada langkah untuk mengekal atau menaikkan harga bahan bakar ini, ia tetap merupakan satu kemaksiatan kepada Allah dan wajib untuk seluruh umat melakukan muhasabah terhadap pemimpin sebegini. Sepatutnya yang dipertimbangkan oleh para pemerintah kaum muslimin adalah sejauh mana mereka telah menurut syariat Islam dalam mengurus urusan umat, dan bukannya sepopular mana mereka di mata rakyat dengan ukuran perasaan semata- mata. Malah adalah lebih keji sekiranya segala yang dilakukan oleh pemerintah bakal membebankan urusan rakyat di bawah pimpinannya. Pembebanan ini pastinya akan mengundang murka Allah. Wallahu a’lam.