MH17: Dunia Bersedih Tetapi AS, UK Dan NATO Melihat Peluang

Pada saat ini masih belum jelas pihak yang bertangungjawab ke atas tragedi yang telah membunuh 298 penumpang dan anak kapal penerbangan Malaysia, MH17. Walaubagaimanapun, sebelum sempat siasatan dijalankan, tragedi MH17 sudah menjadi bahan propaganda yang digunakan sepenuhnya oleh AS, UK dan Nato terhadap Rusia dan kumpulan pemisah di Ukraine yang pro kepada Russia.

24 jam sejurus terhempasnya MH17 pada hari Khamis, 17hb Julai 2014 di Ukraine, pihak media di kedua-dua belah pihak dilihat begitu aktif dalam melakukan propaganda dan kontra-propaganda antara satu sama lain. Media pro AS dan Britain cenderung untuk menggambarkan bahawa Russia dan kumpulan pemisah pro Russia di Ukraine terlibat dalam tragedi ini atas alasan bahawa MH17 dijatuhkan dengan menggunakan sistem senjata tahun 1979 buatan Rusia dan kononnya ia dilancarkan oleh proksi Rusia di Ukraine.

Rusia pula sebaliknya menafikan penglibatan mereka dalam insiden tersebut dan mencabar  melalui lontaran soalan-soalan terhadap  pemerintah Ukraine yang merupakan sekutu kuat barat (http://rt.com/news/173976-mh17-crash-questions-ukraine/ ). Jikalau benar kumpulan pemisah menggunakan sistem peluru berpandu buatan Rusia untuk menembak jet komersial tersebut, maka adalah tidak tepat untuk mengaitkannya terus dengan Rusia kerana Ukraine dan beberapa negara lain juga menggunakan sistem peluru berpandu tahun 1979 yang sama. Jika kaitan senjata dan negara boleh diterima pakai, maka Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) juga boleh dikaitkan dengan AS kerana kebanyakan senjata-senjata yang digunakan oleh ISIS adalah buatan AS.

Tragedi MH17 dilihat lebih memberi manfaat kepada AS dan sekutunya serta meletakkan Rusia dalam kandang orang bersalah sebelum bermulanya siasatan atau sebarang pertuduhan. Tragedi ini mungkin melegakan AS dan sekutunya serta memberi sedikit sinar harapan terhadap kembali kukuhnya pengaruh AS di negara-negara bekas Kesatuan Soviet itu. Dalam hal ini, Obama dilihat memberikan respon yang cukup santai dalam twitternya terhadap insiden ini dengan menyatakan, “A plane is crashed. It may be tragic. We’re trying to see if US citizens were on board. Hey, great to be on Delaware” (“Sebuah kapal terbang telah terhempas. Ia mungkin tragik. Kita sedang cuba melihat jika terdapat warga AS yang menaikinya. Hei, seronok untuk berada di Delaware”).

Sebaliknya, Rusia pula sedang sibuk berperang dengan persepsi melalui perang maklumat yang mana jika ia tidak ditangani dengan sebaiknya, ia akan merosakkan hubungan baik antara Rusia dengan negara-negara yang berjiran dengannya serta menjauhkan sekutunya.

Sebelum terjadinya tragedi MH17, Rusia memang sedang giat bertarung untuk menyekat pengaruh AS dan sekutunya di negara-negara bekas Soviet. Pengaruh  AS di sempadan Rusia adalah tidak baik untuk kestabilan dalaman Rusia. Perkembangan mutakhir memperlihatkan Rusia telah berjaya melebarkan pengaruhnya di Crimea dan mewujudkan ketidakstabilan di Ukraine melalui pihak pemisah di Ukraine. Dari segi ekonomi, keenganan Jerman untuk memutuskan jalinan kerjasama ekonomi dengan Rusia telah memberikan Rusia keanjalan dalam meluaskan pengaruhnya di negara-negara bekas Soviet yang lain dan pada masa yang sama menyekat pengaruh AS dan UK di sempadan Rusia. Oleh itu, perang maklumat yang dilancarkan terhadap Rusia itu mampu untuk meranapkan manuver politik Rusia yang sedang membuahkan hasilnya.

Jika ingin dianalisis dari segi manfaat serta jika ingin dituding jari menuduh pihak manakah yang bertangungjawab dalam perkara ini, maka amat jelas sekali bahawa AS dan sekutunyalah yang sedang menuai buah manfaat politik dari tragedi ini. Sebaliknya, Rusia masih terus bergelut dengan persepsi negatif masyarakat dunia terhadapnya.

Walau apapun, tragedi ini menyingkap suatu fakta bahawa nyawa manusia tidaklah begitu penting baik kepada AS dan sekutunya mahupun Rusia. Yang penting bagi kedua-dua kuasa besar dunia ini hanyalah bagaimana caranya untuk mereka terus meluaskan pengaruh mereka di atas muka bumi ini di samping mempertahankan kekuasaan yang ada. Wallahua’lam.