Mini Seminar MHTM: Wanita Dalam Sistem Kapitalis, Terbela Atau Terpedaya?
Selaku panel pertama, Hayati menjelaskan dalam sistem kapitalisma, kekayaan hanya tertumpu pada golongan tertentu. Pendapatan seorang suami yang menjadi ketua keluarga tidak lagi mencukupi untk memenuhi segala keperluan. Akibatnya wanita yang sepatutnya lebih fokus dalam kehidupan untuk mengurus keluarga dan mengasuh anak-anaknya dipaksa untuk keluar rumah dan berusaha keras mencari nafkah. Apabila mereka keluar bekerja kebanyakan dari mereka dieksploitasi dan didiskriminasi dari pelbagai sudut. Beliau juga menjelaskan dunia kini semakin rakus ‘mempergunakan’ wanita sebagai sumber pendapatan. Wanita dianggap setaraf dengan lelaki dalam segala aspek termasuk taraf ekonominya. Seorang wanita yang mempunyai taraf pendidikan yang tinggi dianggap janggal jika tidak mempunyai kerjaya yang hebat.
Sebagai penyelesaian Rahmah selaku panel kedua menjelaskan Islam datang dan meletakkan manusia di atas landasan fitrah kemanusiaan. Kewajipan wanita adalah sebagai ummun warabbatul bait (ibu dan pengurus rumah tangga) dan untuk menggalas tugas yang mulia ini seseorang wanita perlu melengkapkan dirinya dengan ilmu dan pengetahuan syarak. Walaupun Islam tidak melarang wanita bekerja kerana hukumnya mubah, namun wanita tidak boleh mengabaikan tugasnya yang telah diwajibkan Allah. Dalam sistem Islam pihak Negara akan menjamin keperluan asas dengan mengatur mekanisme tertentu seperti mewajibkan lelaki keluar bekerja dan menyediakan peluang pekerjaan. Negara juga memastikan peranan kaum keluarga dan masyarakat turut sama dilibatkan untuk saling melengkapi dalam keadaan tertentu. Begitulah yang telah dilakukan oleh para khalifah yang memerintah kerana mereka benar-benar memahami hadis “Seorang imam (pemimpin) adalah bagaikan pengembala dan dia akan diminta bertanggungjawab di atas gembalaannya (rakyatnya).” [HR Bukhari dan Muslim]
Di akhir majlis peserta digesa untuk sama-sama berusaha bagi menegakkan semula sistem Khilafah Islamiah yang akan mensejahterakan kehidupan bukan sahaja para wanita tetapi seluruh lapisan masyarakat secara keseluruhan. Majlis diakhiri dengan bacaan doa penutup oleh Ustazah Nurul.