Minoriti Non-Muslim Bukan Warganegara Kelas Kedua Dalam Daulah Islam

Jika diteliti sepanjang sejarah peradaban dunia, orang-orang non-Muslim tidak pernah mendapat layanan yang istimewa sebagaimana keistimewaan yang pernah mereka kecapi ketika mereka hidup di bawah naungan pemerintahan Islam dan dalam masyarakat Islam, tidak kira di mana pun wilayah ataupun benua mereka menetap. Ini adalah kerana, hubungan yang dibangunkan antara Muslim dan non-Muslim yang hidup di bawah pemerintahan Islam adalah hubungan yang adil. Allah SWT berfirman:

“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil..” [TMQ al-Mumtahanah (60): 9]

Ayat ini menjelaskan bahawa prinsip moral dan perundangan yang wajib dijadikan dasar oleh kaum Muslimin antaranya adalah kewajiban untuk bersikap baik dan adil terhadap sesiapa sahaja orang kafir yang tidak melakukan permusuhan dengan kaum Muslimin. Prinsip-prinsip seperti ini tidak pernah wujud dalam sejarah umat manusia sebelum datangnya Islam. Setelah munculnya Islam, prinsip-prinsip tersebut berjalan dan hidup selama berabad-abad lamanya. Namun pada hari ini, setelah Khilafah telah runtuh, segala kesengsaraan dan penderitaan telah menyelimuti seluruh umat manusia, malah terus menerus membawa kepada kehancuran disebabkan oleh hawa nafsu, kefanatikan dan perpecahan.

Jaminan Hak Untuk Beragama Bagi Non-Muslim

Islam menjamin hak-hak bagi orang-orang non-Muslim dan memberikan keistimewaan kepada mereka. Antaranya adalah jaminan hak untuk beragama. Mereka dijamin untuk tetap memeluk agama mereka dan tidak boleh dipaksa untuk memeluk Islam. Allah SWT berfirman:

“Tidak ada paksaan dalam (memeluk) Islam.” [TMQ al-Baqarah (2): 256].

Polisi ini dapat dilihat dengan jelas dalam surat Rasulullah SAW yang dihantar kepada para ahli Kitab, iaitu kaum Yahudi dan Nasrani Yaman di mana mereka diseru untuk memeluk Islam: “Sesiapa sahaja orang Yahudi atau Nasrani yang telah memeluk Islam, maka dia merupakan orang Mukmin. Dia berhak untuk mendapat hak dan kewajiban yang sama dengan orang Mukmin. Dan sesiapa sahaja yang tetap dengan keyahudian atau kenasraniannya, maka dia tidak boleh dipaksa untuk meninggalkannya (agama mereka).” (Lihat, Abu ‘Ubaid, al-Amwal, hal. 28; Ibn Zanjawih, al-Amwal, Juz I/109; Ibn Hisyam, as-Sirah an-Nabawiyyah, Juz II/588; Ibn Katsir, as-Sirah an-Nabawiyyah, Juz V/146).

Oleh yang demikian,  mereka diberikan hak untuk memeluk agama mereka, beribadah dengan tatacara agama mereka, makan dan minum sesuai dengan ketentuan agama mereka, berkahwin dan cerai  berpandukan agama mereka. Mereka juga diperbolehkan untuk memakan babi dan meminum arak di tempat yang tertutup serta mengenakan pakaian yang sesuai dengan ketentuan agama mereka. Semua ini merupakan keistimewaan yang diberikan oleh Islam kepada mereka. Malah, seandainya ada di antara mereka yang dengan sukarela ingin melakukan amalan ibadat sepertimana kaum Muslimin pun mereka tetap tidak diperbolehkan dan harus dilarang sama sekali. Amalan ibadat merupakan pengkhususan bagi agama masing-masing. Orang-orang non-Muslim tidak boleh melakukan solat, puasa, zakat dan haji kerana ini semua merupakan ibadah mahdhah yang merupakan keistimewaan bagi umat Islam dan kewajiban perlaksanaannya hanya disyaratkan ke atas kaum Muslimin. Orang-orang kafir tidak dibenarkan untuk melakukannya.

Akan tetapi, selain daripada ibadat, hak mereka adalah sama dengan kaum Muslimin yang lain. Mereka wajib untuk tunduk sepenuhnya kepada seluruh sistem Islam. Sebagai contoh dalam kes kecurian, jika sabit kesalahan, maka hukumnya adalah dipotong tangan, tidak kira sama ada Muslim atau non-Muslim yang melakukan kecurian tersebut. Begitu juga dengan berzina, kaum Muslimin atau non-Muslim akan disebat (bagi yang belum berkahwin) atau direjam (bagi yang sudah berkahwin) tanpa sebarang perbezaan. Kaum Muslimin  diharamkan untuk mempraktikkan riba, begitu juga dengan non-Muslim. Kaum Muslimin dan non-Muslim berhak mendapat jaminan keperluan asas seperti makan minum, tempat tinggal dan pakaian di samping jaminan perubatan, pendidikan dan keamanan tanpa sebarang prejudis mahupun diskriminasi.
 
Larangan Berbuat Zalim Terhadap non-Muslim

Sebagai warganegara Daulah Islam, Islam menjamin orang-orang non-Muslim daripada dizalimi oleh mana-mana pihak. Bahkan Islam mengancam sesiapa sahaja yang melakukan kezaliman atau merampas hak-hak mereka. Nabi SAW bersabda:

“Sesiapa sahaja yang berbuat zalim terhadap orang kafir mu’ahid, mengurangkan hak mereka, membebankan mereka melebihi kemampuan mereka, atau mengambil hak milik mereka tanpa izin mereka, maka aku akan menjadi pembela mereka pada Hari Kiamat.” (HR Abu Dawud (3052) dan al-Baihaqi (18511).

Albani berkomentar: Hadis ini sahih. Lihat, as-Silsilah as-Sahihah, hal. 445).

Antara keindahan sikap Nabi SAW dalam konteks ini dapat diperhatikan dalam peristiwa yang dialami oleh kaum Ansar di Khaibar ketika mana Abdullah bin Sahal dibunuh. Pembunuhan ini berlaku dalam kawasan kaum Yahudi, di mana kemungkinan besar pembunuhnya adalah orang Yahudi sendiri. Namun disebabkan tidak ada satu pun bukti yang boleh digunakan untuk mendukung anggapan atau tuduhan   tersebut, maka Nabi SAW tidak menjatuhkan hukuman sanksi kepada mana-mana orang Yahudi dalam kes tersebut. Baginda SAW hanya meminta mereka supaya bersumpah bahawa mereka tidak pernah melakukan pembunuhan tersebut.

Sahal bin Abi Hatmah menyatakan bahawa dalam kes tersebut, terdapat beberapa orang daripada kaum Ansar bertolak untuk menuju ke Khaibar. Mereka berpecah lalu tiba-tiba mereka mendapati salah seorang di antara mereka telah dibunuh. Mereka menuduh orang-orang (Yahudi) yang ditemui dengan mengatakan,

“Kalian telah membunuh sahabat kami.” Mereka (Yahudi) menjawab: “Kami tidak membunuh dan kami tidak tahu siapa pembunuhnya?”. Mereka pun pergi kepada Nabi dan berkata: “Ya Rasulullah, kami berangkat ke Khaibar lalu kami menemui salah seorang di antara kami telah dibunuh.” Nabi bersabda kepada mereka: “Yang paling tua, majulah (datang ke hadapan)! Yang paling tua, majulah (datang ke hadapan)!.” Nabi bertanya kepada mereka: “Bolehkah kalian mendatangkan bukti siapakah yang membunuhnya?.” Mereka menjawab, “Kami tidak mempunyai bukti.” Nabi bersabda: “Kalau begitu, mereka (Yahudi) harus bersumpah.” Orang-orang Ansar itu berkata, “Kami tidak mahu menerima sumpah orang-orang Yahudi.” Rasul enggan untuk menumpahkan darah mereka (menghukum Yahudi tersebut), lalu Baginda SAW membayar diyat bagi pihak orang tersebut dengan 100 ekor unta sedekah (HR Bukhari dan Muslim. Lihat, al-Bukhari, Sahih al-Bukhari (6502); Muslim, Sahih Muslim (1669).

Rasulullah SAW telah melakukan suatu keputusan yang tidak dapat dibayangkan oleh sesiapa pun. Bahkan, Nabi SAW sendiri telah membayar diyat orang tersebut daripada harta kaum Muslimin agar dapat meredakan kemarahan kaum Ansar dan pada masa yang sama tidak menzalimi orang-orang Yahudi yang tidak diketahui status kesalahannya kerana dituduh tanpa bukti dan saksi. Dalam keadaan seperti ini, Negara Islamlah yang mengambil alih tanggung jawab tersebut di mana tidak ada sebarang hukuman sanksi (jinayah) yang dikenakan ke atas orang Yahudi tersebut memandangkan terdapat syubhat dalam kes ini.

Negara Melindungi Harta Non-Muslim

Islam menjamin sepenuhnya harta non-Muslim. Islam mengharamkan harta mereka diambil atau dikuasai dengan cara yang batil, sama ada dicuri, dirampas, dirompak atau dalam sebarang bentuk kezaliman yang lain. Secara realitinya, polisi tersebut telah dijalankan pada zaman Nabi SAW terhadap penduduk Najran: “Penduduk Najran dan keluarga mereka berhak mendapatkan perlindungan Allah dan jaminan Muhammad Rasulullah, baik harta, agama ataupun (urusan) jual beli mereka, serta apa sahaja yang ada dalam kekuasaan (pemilikan) mereka, sama ada kecil mahupun besar.” (HR al-Baihaqi. Lihat al-Baihaqi, Dalailu an-Nubuwwah, Juz V/485; Abu Yusuf, al-Kharaj, hal. 72; Ibn Sa’ad, at-Thabaqat al-Kubra, Juz I/288).

Malah, antara polisi yang sangat menakjubkan bagi minoriti non-Muslim ini adalah hak kelangsungan hidup mereka dijamin oleh Negara Islam melalui Baitul Mal jika sekiranya keadaan mereka lemah, tua atau miskin. Ini adalah berdasarkan sabda Nabi SAW:

“Tiap-tiap kalian adalah penggembala, dan setiap penggembala harus bertanggungjawab terhadap gembalaannya (rakyatnya).” (HR Bukhari dan Muslim. Lihat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari (2426); Muslim, Sahih Muslim (1829).

Dengan menganggap mereka sebagai rakyat Negara Islam, mereka juga mempunyai hak yang sama sepertimana kaum Muslimin. Negara (pemerintah) bertanggung jawab terhadap mereka semua di hadapan Allah SWT kelak. Dalam hal ini, Abu ‘Ubaidah meriwayatkan daripada Sa’id bin al-Musayyab, dia berkata: “Sesungguhnya Rasulullah telah memberikan sedekah untuk keluarga orang Yahudi yang dikirimkan kepada mereka.” (Abu ‘Ubaid, al-Amwal, hal. 613. Albani berkomentar: “Sanadnya yang sampai kepada Sa’id bin al-Musayyab ini sahih.” Lihat, Tamam al-Minnah, hal. 389).

Terdapat juga bukti-bukti lain yang menggambarkan keagungan Islam dan nilai peradabannya terhadap kemanusiaan, sepertimana yang telah dibukukan dalam banyak kitab-kitab hadis. Antara lain, ketika terdapat satu jenazah yang sedang dibawa melewati di hadapan Nabi SAW, lalu baginda SAW pun berdiri untuk menghormatinya. Ada yang berkata kepada baginda:

“Dia orang Yahudi.” Nabi menjawab: “Bukankah dia juga manusia?(HR Muslim daripada Qais bin Sa’ad bin Hanif. Lihat, Muslim, Sahih Muslim (961); Ahmad, Musnad Ahmad (23893).

Begitulah secara ringkas dan sepintas lalu sebahagian daripada hak-hak minoriti non-Muslim di dalam Islam dan peradaban Islam. Terdapat kaedah umum yang menyatakan bahawa setiap jiwa manusia harus dihormati selagimana ia tidak melakukan kezaliman atau permusuhan. Dengan melihat kepada fakta-fakta yang telah disebutkan di atas, bagaimana mungkin orang-orang non-Muslim yang hidup di bawah naungan Khilafah boleh dianggap sebagai warganegara kelas kedua sedangkan mereka mempunyai hak-hak yang sama dengan kaum Muslimin.

Berkenaan fakta bahawa mereka tidak boleh menjadi ketua negara, wakil ketua negara, wali dan jawatan-jawatan lain yang seumpama dengannya, ini tidak boleh dijadikan sebagai bukti atau asas bahawa mereka adalah warganegara kelas kedua. Ini adalah kerana negara yang mereka diami adalah negara Islam, yang berideologikan Islam dan menerapkan hukum-hukum Islam. Dalam negara seperti ini, adalah mustahil bagi orang non-Muslim untuk menjadi ketua negara yang bertugas untuk menjalankan kesemua hukum-hakam Islam sedangkan ia bertentangan dengan keyakinan aqidah mereka. Justeru, adalah wajar mereka tidak diperbolehkan untuk menjadi ketua negara atau sebarang jawatan yang seumpama dengannya. Wallahu a’lam.