Peranan Muslimah dalam Mendirikan Kembali Daulah Khilafah : Bab 1 – Bahagian Kedua

BAB 1: Tanggungjawab Seorang Wanita Muslimah

Kedua:  Kewajipan Menunaikan Seluruh  Ajaran Islam

Di dalam Al Quran, Allah merujuk penciptaan lelaki dan wanita sebagai Insan(hamba) sebagaimana firmanNya:

“  Aku tidak menciptakan Jin dan Manusia melainkan agar mereka beribadah kepadaKu.” [TMQ Adz-Zariyat (51):56]

Ayat ini dengan jelas menyatakan suruhan Allah SWT ke atas penciptaanNya.  Kita (manusia) diciptakan untuk menyembah dan beribadah kepada Allah SWT.

Bagaimanakah kita seharusnya melakukan suruhanNya ini?.  Allah telah menyatakan di dalam Al-Quran bahawasanya menyembahNya adalah melalui kepatuhan kepada segala Syariat Allah dan membataskan segala perilaku kita hanya berlandaskan kepada ajaran Islam semata-mata.

Firman Allah SWT :  “Katakanlah (Muhammad)!. Sesungguhnya aku diperintahkan agar menyembah Allah dengan penuh ketaatan kepadaNya dalam menjalankan agama.”  [TMQ az Zumar (39) : 11]

“  Dan hendaklah engkau memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah engkau mengikuti keinginan mereka.  Dan waspadalah terhadap mereka, jangan sampai mereka memperdayakan engkau terhadap sebagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu.”  [TMQ al Maidah (5): 49]

Islam adalah sebuah Deen (agama) yang lengkap, satu cara hidup yang lengkap dan sempurna dan Allah SWT mengutuk hambanya yang memilih dengan sesuka hati untuk mengamalkan sebahagian hukum Islam dan meninggalkan sebahagian yang lain.

Firman Allah SWT:

“  Apakah kamu beriman kepada sebahagian kitab dan ingkar kepada sebahagian yang lain?.  Maka tidak ada balasan yang layak bagi orang yang berbuat demikian di antara kamu selain kenistaan dalam kehidupan dunia, dan pada hari Kiamat mereka dikembalikan kepada azab yang paling berat.  Dan Allah tidak lengah terhadap apa yang kamu kerjakan”.  [TMQ al-Baqarah (2) : 85]

Ayat ini dengan jelas menunjukkan larangan bagi seseorang Muslim samada lelaki mahupun wanita memilih sewenang-wenangnya, untuk mempraktiskan sebahagian daripada Deen Islam ini dan meninggalkan sebahagian yang lain.

Dengan demikian, seorang Muslimah mempunyai banyak tanggungjawab yang perlu di sempurnakan dan ditunaikan terhadap Allah SWT.  Muslimah yang beriman kepada Allah SWT wajib menunaikan ibadah sebagai seorang individu kepada Allah seberapa sempurna mungkin.  Seorang Muslimah beriman juga wajib melaksanakan ibadah solat, berpuasa di bulan ramadhan, menunaikan Haji dan melaksanakan ibadah-ibadah sunat seperti membaca Al-Quran, banyak berdoa, berzikir, bersedekah ke jalan Allah dan berpuasa sunat.

Seorang Muslimah juga wajib melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang anak yang taat kepada kedua ibubapanya.  Beliau juga berkewajipan untuk memastikan hubungan silaturrahim sebagai seorang kakak, makcik dan cucu perempuan kepada datuk-neneknya di pelihara sebaik mungkin menurut syariat Islam.

Seorang muslimah yang berstatus sebagai isteri dan ibu wajib mempelajari dan menunaikan tanggungjawabnya kepada rumahtangga yang dipimpinnya menurut tuntutan Islam iaitu sebagai Ummun wa Rabbat al Bayt (Ibu dan Pengatur rumah tangga).

Seorang Muslimah juga berkewajipan untuk berinteraksi dengan masyarakat di sekeliling nya.  Beliau wajiblah taat kepada pemimpin (Khalifah) yang melaksanakan syariat Islam dan berani menegur pemimpin yang mengingkari syariat Allah dalam pemerintahannya.

Para Muslimah digalakkan untuk menuntut ilmu dari peringkat persekolahan hinggalah ke peringkat pendidikan tinggi.  Mereka juga dibenarkan untuk menjalankan jual-beli di pasar dan melaksanakan hubungan jual beli dengan akad yang sah menurut syariat.  Pendek kata, tiada satu bahagian pun dari kehidupan para Muslimah yang tidak di atur oleh Syariat Allah.

Menurut prinsip Syariat Islam, setiap perbuatan atau tingkahlaku manusia wajib berpandukan kepada ajaran Islam yang jelas berserta hukum hakam sesuatu perbuatan yang akan dilaksanakan itu.  Hazrat Aishah Radhialllahu Anha meriwayatkan sabda Rasulullah SAW:

Sesiapa yang beramal dengan suatu amalan yang bukan dari urusan kami, maka ia tertolak ”  [HR Bukhari]

Apabila ungkapan seperti “Wahai orang-orang yang beriman” di sebut, ianya merujuk kepada kedua-dua lelaki dan wanita.  Oleh kerana itu, tiada keperluan untuk mengadakan ungkapan seperti “Wahai perempuan-perempuan yang beriman”.  Menurut prinsip asas Bahasa Arab, apabila sesuatu ungkapan diucapkan kepada kaum lelaki, ia sebenarnya turut membawa maksud di tujukan kepada golongan wanita. 

Namun begitu, apabila sesuatu ungkapan itu di ucapkan untuk kaum wanita, ia sememangnya di tujukan khas kepada para wanita dan tidak pula ianya membawa maksud umum untuk para lelaki juga.

Maka dengan itu, ungkapan- ungkapan yang di tulis di dalam Al Quran seperti “ Wahai orang-orang yang beriman…”, “ Wahai manusia…”, “ Dan janganlah kamu membunuh satu nyawa…”, “ Dan perkataan siapakah yang lebih baik dari mereka yang menyeru kepada Allah, melaksanakan kebaikan..”, “ Dan mereka yang mentaati Allah dan Rasul dan Ulil Amri di antara kamu..”, “ Dan mereka yang mendirikan solat dan menunaikan zakat…

Ataupun ungkapan – ungkapan di dalam Hadith Rasulullah SAW seperti “ Seorang Muslim adalah bersaudara antara satu sama lain…”,  “  Mereka yang beriman kepada Allah dan Hari Kiamat, hendaklah mereka berkata sesuatu yang baik ataupun mereka diam…”, “  Menuntut ilmu adalah satu kewajipan bagi setiap Muslim”, “ Sebarkanlah salam di antara satu sama lain…” dan lain-lain lagi.

Semua ungkapan-ungkapan yang dimisalkan seperti di atas adalah ungkapan yang dipergunakan untuk kaum lelaki dan juga wanita.  Para ulama juga mempunyai persepakatan pendapat tentang perkara ini.

Akan tetapi, terdapat beberapa hukum yang ditaklifkan khusus untuk kaum lelaki dan tidak menjadi kewajipan para wanita dan begitu juga sebaliknya.  Hukum hakam ini dengan jelas diterangkan dalam Al-Quran, iaitu tentang peranan khusus sebagai lelaki ataupun wanita yang perlu mereka tunaikan.  Kaum lelaki merupakan penjaga dan pemelihara kepada kaum wanita.

Kaum lelaki memberikan mahar dan berhak ke atas melafazkan talak(penceraian).  Kaum lelaki tidak perlu menunggu tempoh iddah setelah kematian isterinya ataupun setelah penceraian berlaku.  Manakala bagi para wanita, mereka diwajibkan untuk menunaikan tempoh iddah setelah kematian suami atau setelah diceraikan. 

Hukum aurat bagi seorang wanita Muslimah juga adalah berbeza dengan seorang lelaki muslim.  Begitu juga terdapat perbezaan dalam hukum persaksian seorang wanita dan lelaki.

Seorang wanita mempunyai saat ketika beliau tidak dibenarkan menunaikan solat dan berpuasa(ketika haid) manakala hukum ini tiada applikasinya kepada lelaki.  Hukum perwarisan harta pusaka untuk kaum lelaki juga berbeza dengan kaum wanita.

Semua peraturan dan hukum hakam yang disebutkan untuk kaum lelaki dan wanita ini adalah berdasarkan syariat Islam dan adalah menjadi satu kewajipan untuk setiap Muslim mempelajari dan mendalaminya supaya setiap hukum kehidupan yang di turunkan oleh Allah SWT ini dapat di amalkan dengan sebenar-benarnya secara menyeluruh.

Kita tidak sepatutnya menjadikan “tidak tahu’ sebagai satu alasan untuk tidak melaksanakan hukum-hakam yang telah diturunkan Allah SWT ini sebagai panduan dalam kehidupan seharian kita.  Sudah semestinya kita wajib mematuhi segala perintah Allah dan menolak segala hukum yang datang dari golongan kuffar.  Untuk memenuhi segala perintah dan hukum Syariat Islam ini, kita wajiblah mempelajari apakah hukum-hakam yang telah ditetapkan itu.

Kewajipan untuk mendalami ilmu-ilmu Islam ini adalah Fardu Ain, iaitu satu kewajipan yang tertaklif ke atas bahu setiap individu Muslim tidak kira lelaki mahupun wanita. 

Terdapat banyak kewajipan yang diketahui oleh kaum Muslimin seperti kewajipan berpuasa, menunaikan solat, menunaikan zakat, ibadah haji dan sebagainya malangnya terdapat juga sebahagian besar kewajipan yang lain seperti hukum Hudud, hukum Qisas, hukum zina dan lain-lain yang sama pentingnya telah diabaikan.

Seorang Muslim mukmin yang sejati adalah seorang yang keperibadiannya dibina berlandaskan Aqidah Islam.  Pemikiran dan perasaannya di bina atas asas Aqidah Islam yang seterusnya akan memancarkan perilaku dan tindakan-tindakan yang juga berlandaskan kepimpinan berfikir yang Islami ini.  Allah SWT berfirman:

Dan tidaklah layak bagi lelaki mukmin dan perempuan-perempuan mukmin, apabila Allah dan rasulNya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada pilihan yang lain bagi mereka tentang urusan mereka.  Dan barangsiapa menderhakai Allah dan RasulNya, maka sungguh, dia telah tersesat, dengan kesesatan yang nyata.”  [TMQ Al Ahzab (33) : 36]

Sementara hubungan antara keimanan dan tingkahlaku perbuatan manusia di buktikan di dalam firman Allah SWT :  “  Maka demi Tuhanmu, mereka tidak beriman sebelum mereka menjadikan engkau Muhammad sebagai hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan, sehingga kemudian tidak ada keberatan dalam hati mereka terhadap putusan yang engkau berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya”  [TMQ An Nisa’ (4) : 65].  Wallahu ‘alam.

.akan bersambung Bab 2