Minyak bukanlah hak Petronas
Berita:
KOTA KINABALU: Perlu ada kajian menyeluruh sebelum keputusan membayar 20 peratus royalti minyak kepada Sabah dan Sarawak dapat dilaksanakan. Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan perlu berhati-hati dalam hal itu kerana jika dilaksanakan, ada kemungkinan operasi Petronas akan lumpuh.
“Petronas merupakan syarikat yang unik dalam dunia ini kerana ia satu-satunya syarikat minyak nasional yang melibatkan diri dalam pembangunan penerokaan bidang petrokimia, dan ramai orang luar inginkan Petronas beroperasi di negara mereka.” [Sumber: Astro awani 17 September 2018]
Komentar:
Tuntutan royalti minyak oleh negeri-negeri yang kaya dengan minyak dan gas asli seperti kerajaan negeri Sabah dan Sarawak sudah lama kedengaran, malah kerajaan negeri Terengganu dan Kelantan turut menuntut perkara yang sama. Tuntutan tersebut boleh dikatakan sebagai sesuatu yang wajar bagi kerajaan negeri-negeri ini kerana terpaksa menanggung beban kos pentadbiran dan pembangunan negeri. Malah kebanyakan kerajaan negeri berhutang dengan kerajaan pusat dan ada yang tidak mampu membayar hutang mereka. Lebih teruk lagi, hasil lombong minyak yang sepatutnya dimiliki oleh kerajaan negeri, tetapi telah dimonopoli oleh Petronas melalui Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974.
Mengapa tuntutan-tuntutan ini berlaku? Hal ini demikian kerana, Malaysia menggunakan sistem pentadbiran persekutuan iaitu wujudnya dua jenis kuasa, iaitu kuasa kerajaan pusat dan kuasa kerajaan negeri. Sistem persekutuan ini selalu menyebabkan perbezaan hak dan kuasa lalu menyebabkan kedua-dua belah pihak saling merebut hak dan kuasa tersebut. Baru-baru ini, perebutan antara Petronas dan kerajaan negeri Sarawak mengenai pemilikan minyak dan gas asli di negeri itu apabila terdapat percanggahan akta yang sedia ada iaitu antara Akta Pembangunan Petroleum dengan Ordinan Perlombongan Minyak Sarawak 1958.
Melalui PDA 1974 ini, Petronas telah diberikan hak ekslusif untuk memonopoli dan membolehkannya mengaut keuntungan berbilion ringgit. Petronas hanya memberikan sebahagian sahaja keuntungannya kepada negara dan sudah tentu amat sedikit keuntungan yang akan sampai kepada rakyat. Umum mengetahui gaji para pegawai atasan Petronas cukup lumayan sedangkan rakyat golongan B40 masih terbeban dengan kos sara hidup. Menurut pakar ekonomi daripada Universiti Malaya, Prof. Dr. Edmund Terence, ketika Dr. Mahathir menjadi PM ke-4, beliau telah memperjuangkan tiga objektif utama iaitu 1) Untuk menjadikan Malaysia sebuah negara industri, 2) untuk menswastakan syarikat-syarikat milik kerajaan dan 3) untuk mewujudkan golongan kapitalis Bumiputera. Sememangnya objektif yang diingini oleh beliau ini tercapai, namun dari segi pengagihan kekayaan di antara rakyat ternyata gagal, bahkan menyebabkan kesenjangan kekayaan antara kaya dan miskin begitu jauh.
Selain itu, pemberian eksklusif hak pembangunan kepada Petronas menyebabkan kerajaan meletakkan sepenuhnya pembangunan teknologi yang berkaitan minyak dan gas kepada pihak swasta. Justeru, ia melepaskan tanggungjawabnya sebagai pengurus pemilikan hak umat daripada mengelolakan dan membangunkan teknologi yang berkaitan hak milik tersebut demi kemaslahatan umat.
Penyelesaian Islam
Dalam sistem pemerintahan Islam yang dikenali sebagai sistem Khilafah, sistem pentadbirannya menggunakan sistem kesatuan iaitu kuasa membuat keputusan terletak hanya pada Khalifah, sebagai ketua negara. Dalam sistem kesatuan, seluruh sumber ekonomi dan dana disatukan. Pada masa yang sama, seluruh kos pentadbiran dan pengurusan di semua wilayah juga ditanggung oleh Khalifah. Kemudian Khalifah akan mengagihkan kekayaan negara ke seluruh wilayah secara adil dan mengikut keperluan masing-masing. Oleh yang demikian, tidak berlaku pembangunan yang tidak seimbang di antara satu wilayah dengan wilayah yang lain seperti yang selalu dilihat dalam negara yang mengamalkan sistem persekutuan.
Selain itu, semua keperluan yang sangat penting bagi masyarakat termasuklah minyak dan gas asli merupakan hak milik umum iaitu dimiliki oleh seluruh rakyat secara bersama. Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:
“Manusia itu bersyarikat (bersekutu) dalam tiga perkara (iaitu) air, padang ragut dan api” [Riwayat Abu Daud & Ahmad].
Hadis ini menunjukkan ketiga-tiga perkara tersebut merupakan keperluan utiliti masyarakat secara bersama atau hak milik umum. Dengan demikian, minyak merupakan salah satu perkara yang termasuk dalam hak milik umum. Malah, sifat keperluan utiliti tidak terkecuali ke atas minyak sahaja, namun ia juga termasuk seperti elektrik dan air. Kehidupan manusia akan keresahan dan tidak tenteram sekiranya keperluan utiliti ini tidak ada.
Justeru itu, wajib bagi Khalifah mengelolakan hak milik umum ini serta mengembalikan hasilnya kepada seluruh rakyat secara saksama dalam apa jua bentuk seperti menyediakan perkhidmatan kesihatan, pendidikan, keselamatan dan lain-lain secara percuma. Dalam pada itu, Khalifah juga wajib memajukan dan membangunkan teknologinya yang berkaitan pemilikan umum sehingga ia memperoleh nilai tambah lalu menambahkan dana agar dapat menyediakan perkhidmatan yang berkaitan maslahah umat dengan lebih baik, bukannya menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab ini kepada pihak swasta lalu membiarkan hak milik umum berada di bawah kendali kaum kapitalis. Hal ini demikian kerana, Khalifah wajib memelihara kepentingan rakyatnya sepertimana yang terkandung dalam sebuah hadis Rasulullah SAW:
فَالْإِمَامُ رَاعٍ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ
“Seorang imam (pemimpin) itu adalah penggembala (pemelihara) dan dia bertanggungjawab di atas pemeliharaannya…” [HR Bukhari dan Muslim].
Dr Ammar bin Yaser
[Lajnah Tsaqafiyyah HTM]