Minyak: Hak rakyat yang dirampas kerajaan – Jurucakap HTM

BULETIN HTM – Atas alasan peperangan yang berlaku di Asia Barat yang membawa kepada kenaikan harga minyak dunia, Perdana Menteri Malaysia pun turut mengambil kesempatan untuk menaikkan harga minyak di negara ini, sebuah langkah yang dikritik hebat oleh banyak pihak. Demikian ujar Jurucakap HTM, Ustaz Abdul Hakim ketika memulakan pembentangannya dalam program Kupas Tuntas kali ini (27/03/2026) yang disiarkan secara live seperti biasa di akaun Tiktok beliau.

Kemarahan rakyat bukan sekadar kerana kenaikan harga yang diumumkan, tetapi kerana inilah orangnya yang dulu “melalak”, mencemuh, mengkritik, menghentam dan memaki hamun kerajaan setiap kali kerajaan menaikkan harga minyak. Sumpah seranah apa yang tidak keluar dari mulutnya setiap kali kerajaan memutuskan untuk menaikkan harga minyak, yang kini beliau telah melakukan perkara yang sama apabila memegang jawatan Perdana Menteri. Inilah punca api kemarahan rakyat semakin besar berbanding sebelum-sebelum ini, kata Ustaz Abdul Hakim.

Dalam kupasannya, Jurucakap HTM itu telah menjelaskan dengan rinci kedudukan minyak, sebagai salah satu sumber alam yang termasuk dalam kategori al-milkiyyah al-ammah (pemilikan umum) menurut syariat Islam. Atas dasar itu, negara tidak boleh memilikinya, mengambil keuntungan darinya atau menyerahkan konsesinya kepada mana-mana orang atau syarikat. Ini haram dilakukan, tegas beliau.

Kewajipan negara hanyalah mengelola atau mengurus al-milkiyyah al-ammah dan memulangkan segala keuntungannya kepada setiap individu rakyat. Inilah hukum Islam ke atas kesemua bahan-bahan galian yang ada dalam negara yang jumlah umpama air yang mengalir. Justeru, kita tidak boleh bersetuju bukan sahaja dengan kenaikan harga minyak, bahkan jika tidak dinaikkan atau jika diturunkan sekali pun, kita tetap tidak akan bersetuju dan kita tidak boleh bersetuju, tegas beliau.

Segala keuntungan minyak wajib dikembalikan kepada rakyat dan kerajaan tidak boleh meniagakannya dengan rakyat dan haram memakan hasilnya walaupun satu sen. Ini hukum Islam. Kerajaan selama ini telah merampas hak rakyat, dan wajib mengembalikannya semula kepada rakyat.

Namun, dalam sistem sekular demokrasi pada hari ini, sambung beliau, kerajaan boleh memakan hasil minyak sesuka hati, kerana sistem yang lahir daripada ideologi kapitalisme ini tidak pernah mempedulikan halal-haram, dan tidak pernah mempedulikan penderitaan rakyat. Inilah punca kepada segala masalah menurut beliau, iaitu kerana sistem dan penguasa yang tidak berhukum dengan hukum Islam.

Harga minyak bukanlah baru dinaikkan pada hari ini tegas beliau, tetapi di zaman pemerintahan Perdana Menteri-Perdana Menteri sebelum ini pun sama sahaja keadaannya. Baik ada perang atau tidak ada perang di dunia, harga minyak tetap mereka naikkan, atas pelbagai alasan. Demikianlah keadaannya apabila penguasa yang korup dan sistem yang tidak Islami mengatur kehidupan rakyat.

Jurucakap HTM itu menutup kupasan beliau dengan memberikan jalan keluar atau jawapan kepada isu minyak dengan menyeru umat Islam agar terus memuhasabah penguasa yang menindas dan tidak menerapkan Islam ini, agar kembali berhukum dengan Islam, dan mengembalikan semula hak rakyat kepada rakyat. Dalam masa yang sama seru beliau, setiap Muslim wajib berusaha untuk mendirikan semula Negara Islam (Khilafah) yang akan menerapkan Islam secara kaffah, dan sekali gus menjadi entiti penyelesaian kepada seluruh masalah umat Islam.