Model Pemerintahan Islam Adalah Dari Rasulullah SAW.

altMalaysia tawar Islam sederhana kepada dunia – Najib

ISTANBUL 24 Feb. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia telah membuktikan bahawa sistem tadbir urusnya, berdasarkan Islam sederhana, telah berjaya dan boleh dijadikan model untuk diteladani oleh negara-negara lain di dunia, khususnya negara Islam. Beliau berkata, dengan mengambil kira apa yang sedang berlaku di dunia sekarang, adalah penting untuk memastikan sistem pentadbiran yang diguna pakai adalah baik.  Pertimbangan utama, katanya ialah “jika anda mempunyai satu sistem, adakah ia berfungsi untuk menghasilkan tadbir urus yang baik dan efektif?”  Najib berkata demikian sebagai anggota panel pada Persidangan Pergerakan Bagi Keadilan, Keamanan dan Maruah di sini pada Rabu.  Sesi itu dirakamkan oleh BBC World News untuk disiarkan oleh saluran pada satu tarikh kemudian. Sesi itu dikendalikan wartawan BBC Zeinab Badawi. Anggota panel lain termasuk Timbalan Perdana Menteri Turki, Ali Babacan, Presiden Universiti Paramadina Indonesia, Dr Anies Baswedan dan pengasas bersama/Naib Pengerusi Majlis Perniagaan Arab, Khalid Abdulla-Janahi. – Bernama

Sumber : Utusan Malaysia: 24/02/11

 

Model Pemerintahan Islam Adalah Dari Rasulullah SAW.
Bukannya Model Pemerintahan “Islam Sederhana” Oleh Najib.
Islam adalah sebuah cara hidup yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW bagi mengatur hubungan manusia dengan Tuhannya dalam konteks aqidah dan ibadah, mengatur hubungan manusia dengan dirinya sendiri dalam persoalan makanan, pakaian, akhlak dan seterusnya mengatur hubungan manusia dengan manusia yang lain dalam aspek ‘uqubat dan muamalat . Islam bukanlah Deen ciptaan manusia. Islam yang diturunkan oleh Allah SWT adalah mabda yang mengandungi fikrah dan thariqah. Dari aqidah Islam itu akan lahirnya hukum-hakam syara’ iaitu sekumpulan sistem bagi mengatur kehidupan manusia yang lengkap dan sempurna. Firman Allah SWT:

“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu”.[TMQ al-Maaidah (5) : 3].

Namun tidak semena-mena Najib sekali lagi bersuara tentang ‘Islam’ yang dilaksanakan oleh pemerintahannya. Jika sebelum ini liriknya adalah “Islam Moderat”, kini melodi yang dihidangkan adalah “Islam Sederhana” dengan dakwaan bahawa “Malaysia telah membuktikan bahawa sistem tadbir urusnya, berdasarkan Islam sederhana, telah berjaya dan boleh dijadikan model untuk diteladani oleh negara-negara lain di dunia, khususnya negara Islam” . Apakah kenyataan beliau ini dilontarkan kerana ingin memenangi hati rakyat dalam suasana beliau melihat sudah mula berlaku “kebangkitan” di dunia umat Islam hari ini?  Apakah keadaan ini menyebabkan beliau terdesak dan terpaksa mengangkat isu ini? Persoalannya kini ialah, bagaimana Najib boleh mendabik dada dengan mengatakan bahawa apa yang telah diterapkannya pada hari ini adalah sesuatu yang berjaya? Apakah kayu ukur yang digunakan oleh Najib untuk menilai apa yang dibuatnya hari ini sesuai dengan hukum syara’? Apakah Najib pernah terfikir bahawa apa yang dibuatnya sekarang ini adalah sesuatu yang bercelaru dan tersasar jika dibandingkan dengan pelaksanaan Islam yang pernah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW? Terlampau banyak fakta dan realiti di depan mata kita hari ini untuk menyangkal hujah Najib di atas.

Lihatlah sistem ekonomi yang diterapkan. Model sistem ekonomi Islam Rasulullah SAW yang dilaksanakan oleh baginda mengharamkan dan menghapuskan riba, tetapi model pemerintahan “Islam Sederhana” Najib membenarkan dan menyuburkan riba. Begitu juga dengan sistem pemerintahan yang dilaksanakan Najib. Rasulullah SAW telah menerapkan hukum yang bersumberkan wahyu tetapi bagi model “Islam Sederhana” Najib sumber hukumnya adalah akal manusia. Dalam sistem social, Nabi SAW mengaturkan kehidupan lelaki dan wanita dengan aturan Islam tetapi “Islam Sederhana” Najib membiarkan masyarakat terlepas dari hukum syara’. Dalam aspek pendidikan Islam pula, sistem yang diterapkan oleh Rasulullah SAW adalah berasaskan aqidah Islam tetapi polisi pendidikan “Islam Sederhana” yang dilaksanakan oleh Najib diasaskan kepada pemikiran dan idea sekular.  Polisi luar negara yang diterapkan oleh Najib pula adalah berdasarkan kepada manfaat semata-mata. Ini jauh berbeda dengan Nabi SAW yang menerapkan polisi dakwah dan jihad dalam polisi luar negaranya. Kesemua ini jika diukur dengan ukuran hukum syara’, jelas menunukkan bahawa “Islam Sederhana” yang kononnya dibanggakan oleh Najib adalah suatu yang jauh berbeza dengan Islam yang diterapkan oleh Nabi SAW.

Adakah Najib bermaksud untuk mengatakan bahawa “Islam Sederhana” itu bererti melaksanakan sebahagian dari Islam seperti ibadah mahdhah, akhlak, pakaian dan sebagainya tetapi tidak melaksanakan sebahagian yang lain? Jika itu yang dimaksudkan oleh beliau, maka apakah Najib tidak memahami firman Allah SWT ini?

“Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan”
.
[TMQ al-Baqarah (2) ; 85].

Hakikatnya, pemerintahan Najib sebenarnya telah berjaya mempertahankan sistem sekular tinggalan penjajah Barat untuk terus memimpin rakyat dan mengundang murka Allah SWT. Dan dalam masa yang sama, pemerintahan beliau gagal untuk meraih  kedudukan sebuah negara yang baik dan mendapat keampunan disisi Allah SWT sebagaimana firmanNya:

“(negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur) dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun!”. [TMQ Saba’ (34) : 15].

Oleh yang demikian, bukankah semua ini menunjukkan bahawa apa yang diperkatakan dan didakwa oleh Najib itu sebenarnya adalah suatu bentuk penyimpangan dan penyesatan ? Janganlah kita terperangkap dalam penyesatan ini dan janganlah kita membiarkan diri kita sebagai kaum Muslimin yang rindukan Islam terus dikelirukan dengan penipuan ini.