Model Politik Baru, Asasnya Tetap Sekular.

altPolitik baru selesai isu rakyat – Najib

KUALA LUMPUR 29 Julai – Badan-badan politik dan sayap-sayap parti digesa mengambil pendekatan berasaskan ”model politik baru” berbanding cara konvensional dalam usaha mereka menuntut kerajaan melakukan sesuatu bagi menyelesaikan masalah rakyat yang difikir perlu dilakukan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, langkah itu merupakan satu daripada cabang transformasi politik yang sedang diperjuangkan oleh kerajaan ketika ini. Beliau berkata, mengikut cara konvensional, lazimnya suatu usul ataupun ketetapan dibuat oleh parti politik atau sayapnya bagi mendesak kementerian yang berkenaan atau kerajaan bagi melaksanakan sesuatu yang difikirkan perlu. “Sebaliknya melalui model politik baru, badan-badan politik dan sayap-sayap dalam pertubuhan seperti Barisan Nasional (BN) dianjur mengambil inisiatif untuk mengadakan sesuatu program yang hasilnya akan dapat menyelesaikan isu dan masalah rakyat yang dibangkitkan. “Dengan cara ini, kita akan mendekatkan parti dengan rakyat, (dan) rakyat tidak perlu bergantung kepada pihak lain,” katanya yang juga Pengerusi BN ketika melancarkan Pameran Program Miliki Rumah Sendiri Pemuda BN (BNYHOPE) 2011, di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, hari ini. – Bernama

Sumber : Utusan Malaysia: 29/07/11
 

Model Politik Baru, Asasnya Tetap Sekular.
Rakyat terus cuba digula-gulakan dengan pelbagai jenama dan pendekatan yang kononnya baru dan menjanjikan 1001 macam kebaikan. Hakikatnya, yang baru tidak semestinya menjanjikan kebaikan. Bagi seorang Muslim,  baik dan buruk itu ukuran dan nilaiannya mestilah datang dari hukum syara dan bukannya akal manusia. Setiap kali Njib atau mana-mana pemimpin negara memperkenalkan idea baru ia dikatakan akan membawa banyak kebaikan, namun hakikatnya, asas idea ini tetap terikat dengan sekularisme yang rata-rata dipegang oleh para pemimpin umat Islam hari ini dalam menerapkan sistem pemerintahan kufur samada demokrasi kapitalisme, republik, monarki dan lain-lainnya.

Dalam sekularisme, agama tidak ada peranan di dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Dan itulah hakikat yang tidak dapat ditolak oleh sesiapapun yang ikhlas. Pertimbangan para pemimpin sekular yang ada pada hari ini, termasuklah Najib, adalah manfaat semata-mata dan bukannya halal dan haram. Najib telah berjaya memperkenalkan slogan “1Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan” bagi mengantikan slogan “Islam Hadhari” namun asasnya tetap sama – sekularisme. Perlembagaan yang diguna pakai juga tetap sama. Dan dalam masa yang sama, beliau, samada sedar ataupun tidak, terus memandulkan dan membakul sampahkan ajaran al-Quran dan As-Sunnah dalam pemerintahannya. Di Malaysia dan di negeri-negeri umat Islam yang lain keadaannya adalah sama – Al-Quran hanyalah untuk dipertandingkan, dibaca, dihafaz dan bukannya untuk diterapkan dalam kehidupan bernegara.

Najib hanyalah membalut kekufuran sekularisme peninggalan penjajah dengan hiasan yang baru bagi terus menipu dan memperbodohkan rakyat, terutamanya umat Islam. Umat Islam haruslah mula celik dan kembali kepada cara berfikir yang betul dengan menjadikan al-Quran dan As-Sunnah sebagai asas pemikiran politik dan cara bertindak mereka. Wahai umat Islam ingatlah firman Allah SWT:

“dan di antara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya), dan ia (bersumpah dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya, padahal ia adalah orang yang amat keras permusuhannya (kepadamu)”.
[TMQ Al Baqarah (2) : 204].