Modenisasi : Bagaimana Islam melindungi kehormatan Wanita dengan Hukum Syarak

Oleh : Husna

Semakin moden kehidupan, semakin besar cabaran terhadap Islam seandainya hukum syarak di anggap remeh dan tidak direalisasikan secara sempurna. Runtuhnya moral dan pelbagai masalah sosial adalah bermula dari menularnya fahaman liberalisme yang semakin mendapat tempat dalam masyarakat.

Tular di media sosial baru-baru ini apabila seorang selebriti mengeluarkan kenyataan kontroversi yang menyatakan bahawa pusat pelacuran perlu diwujudkan bagi membendung jenayah rogol oleh warga negara asing yang tinggal di Malaysia. Inisiatif ini dianggap wajar bagi memenuhi dorongan seksual di kalangan pelaku. Kenyataan yang dikeluarkan tersebut jelas bertentangan dengan ajaran Islam dan mengundang kemurkaan Allah kerana menggalakkan aktiviti penzinaan berleluasa dalam masyarakat. Bagaimana seorang muslim boleh mencadangkan sedemikian rupa yang terang-terang mengundang kemurkaan Allah dengan menghalalkan penzinaan. Walaupun ianya merupakan sebuah pandangan tetapi lihatlah pemikirannya yang sangat menyimpang jauh dari yang telah digariskan dalam Islam.

Inilah natijah fahaman liberalisme yang semakin tertancap dalam benak pemikiran kaum muslim. Liberalisme merupakan fahaman yang dibentuk oleh orang-orang kafir untuk menentang dan bersalahan dengan hukum-hukum Allah. Fahaman yang merosakkan ini mula menormalisasikan pelbagai bentuk larangan Allah agar diterima dan dipraktikkan dalam masyarakat.

Allah SWT berfirman. ” Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk “. (QS Al Isra:32). Ayat ini jelas menunjukkan bahawa larangan mendekati zina bukan saja pada perbuatannya malah jalan-jalan ke arah itu sama sekali perlu dihindari. Justeru pusat pelacuran, kelab malam, rumah urut dan seumpamanya sama sekali tidak wajar kerana ia merupakan suatu jalan yang mengarah kepada penzinaan. Lebih dikesalkan premis ini sangat berleluasa dan dihalalkan dalam negara umat Islam dan menjadi sebahagian daripada sumber pendapatan negara. Bagaimana mungkin jalan – jalan penzinaan dapat dijauhi sedangkan pintu-pintu kemaksiatan ini terbuka luas dalam masyarakat sehingga turut merosakkan pemikiran umat Islam?

Islam sangat menjaga kesucian nasab dan keturunan. Dalam pada masa yang sama Islam sangat memuliakan kaum wanita. Di era jahiliyyah, martabat golongan wanita dipandang rendah sehingga mereka digunakan sebagai objek seks yang boleh ditukar-tukar dan dipergunakan sesuka hati. Sehinggalah Rasulullah datang menyampaikan Islam yang diwahyukan oleh Allah swt. Martabat wanita dimuliakan dan wajib dilindungi. Wanita menjadi insan penting sebagai pembentuk dan pencetak generasi unggul.

Selain itu, Islam mengatur hubungan lelaki dan perempuan agar tidak bercampur gaul tanpa alasan yang mengundang kepada penzinaan. Dalam Surah An Nur ayat 30 dan 31 menerangkan, Allah memerintahkan supaya lelaki dan perempuan masing-masing menundukan pandangan, menjaga aurat dan memelihara kemaluan agar sama-sama terpelihara kesucian dan kehormatan diri. Rasulullah SAW bersabda:

 أَلاَ لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ كَانَ ثَالِثَهُمَا الشَّيْطَانُ

Ketahuilah bahawa tidaklah berdua-duan seorang lelaki dan seorang perempuan itu melainkan yang ketiganya adalah syaitan. (HR Al-Tirmizi)

Hadis ini jelas menunjukan bahawa tempat-tempat maksiat mengundang kehancuran dalam masyarakat. Hal utama yang perlu dilenyapkan terlebih dahulu adalah prasarana yang mendorong ke arah penzinaan. Selain itu, Segala macam bentuk pornografi, pornoaksi dan kemungkaran perlu dihapuskan sama sekali. Namun, ianya mustahil untuk dilaksanakan dalam acuan sistem demokrasi kapitalisme yang masih meletakkan sekularisme dan liberalism dalam kehidupan umat Islam. Hal ini hanya dapat dilaksanakan dengan penerapan hukum Islam secara kaffah di bawah satu sistem Khilafah sebagaimana yang perlu diterapkan lebih 1300 tahun.

Sesungguhnya, segala kerosakan yang ada di muka bumi ini adalah berpunca dari pengelolaan manusia mengikut sistem hukum ciptaan mereka. Kita sebagai umat Islam berkewajipan untuk megembalikan semula sistem Khilafah ala Minhaj Nubuwwah sebagaimana yang diterapkan oleh Rasulullah saw ketikan behijrah ke Madinah. Sistem ini telah diruntukan seabad yang lalu. Kitalah yang bertanggungjawab untuk mengembalikannya demi kesejahteraan sejagat.