Membela nasib wanita dengan hukum sekular

Sekretariat khusus bela nasib wanita Islam ditubuh

PUTRAJAYA 20 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bersetuju supaya ditubuhkan sebuah sekretariat khusus untuk membela nasib kaum wanita, keluarga dan kanak-kanak Islam di negara ini.

Serentak itu, beliau mahu satu pelan strategik bagi pembangunan wanita Islam dirangka dan dikemukakan kepadanya minggu depan untuk perhatian kerajaan.

Penasihat Hal Ehwal Pembangunan Wanita dan Sosial kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, perkara itu diputuskan dalam sesi dialog Perdana Menteri dengan 76 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita dan kebajikan Islam di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Shahrizat berkata, peranan yang akan dimainkan oleh sekretariat itu tidak akan menimbulkan pertindihan tugas dengan agensi-agensi kerajaan lain.

‘‘Perdana Menteri amat memahami isu-isu wanita yang telah terlalu lama tertunggak dan tidak diberi perhatian oleh Mahkamah Syariah seperti perceraian, hak penjagaan anak dan harta sepencarian.

‘‘Tumpuan utama sekretariat adalah pada undang-undang keluarga Islam kerana pelaksanaannya amat membimbangkan,” katanya kepada pemberita selepas sesi dialog tertutup selama dua jam itu.

Turut menyertai dialog itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Presiden Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), Prof. Datuk Dr. Sharifah Habsah Syed Hasan Shahabudin; Pengerusi Majlis Penasihat Pembangunan Wanita Negara (Naciwid), Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim dan Naib Canselor Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Rafiah Salim.

Abdullah merupakan penaung kepada sekretariat yang diletakkan di bawah pejabat Penasihat Hal Ehwal Pembangunan Wanita dan Sosial, yang juga akan bekerjasama rapat dengan portfolio Ahmad Zahid.

Shahrizat berkata, banyak isu yang dibangkitkan dalam sesi dialog itu akan diberi perhatian sewajarnya agar pembangunan dan kebajikan wanita Islam dapat diperjuangkan.

Beliau yang juga penasihat kepada sekretariat itu akan merangka pelan strategik tersebut bersama para pemimpin kanan NGO untuk menentukan hala tujunya secara terperinci.

Kata beliau: ‘‘Saya memberi jaminan bahawa peranan dan tanggungjawab sekretariat tidak akan bertindih dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.”

Sumber: Utusan Malaysia 21/06/08

Ulasan:

Satu lagi projek pembaziran oleh Barisan Nasional! Berapa banyak lagi duit rakyat akan dihabiskan? Mengapa tidak? Tidak cukup dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, sekarang ditambah dengan sekretariat wanita pula. Kewujudan sekretariat ini hanya membuktikan bahawa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah gagal memainkan peranannya khususnya untuk menjaga wanita.

Jika kementerian sendiri telah gagal, maka kewujudan sekretariat ini juga pastinya akan mengundang kegagalan yang sama. Selama mana penyelesaian Islam tidak diambil, selama itulah kegagalan demi kegagalan akan terus ditempuh oleh pemimpin sekular ini, walau beratus sekretariat ditubuhkan sekalipun.

Undang-undang keluarga Islam yang ada hari ini dilihat gagal menjaga wanita adalah tidak lain kerana ia diterapkan dalam kerangka sekular. Hanya sedikit sahaja hukum syarak berkenaan keluarga yg diterapkan dalam undang-undang yang ada sekarang, selebihnya adalah hukum sekular buatan manusia. Penerapan Islam dalam bentuk partial (juzuk) tidak akan memberikan apa-apa penyelesaian, masalah akan merumitkan lagi keadaan.

Undang-undang keluarga Islam sebenarnya berkait rapat dengan elemen-elemen syariah yang lain seperti hudud, jinayat, takzir serta penerapan beberapa sistem-sistem Islam termasuk pendidikan, politik, ekonomi, polisi keamanan dalam dan luar negara. Mana mungkin Islam akan hidup ‘sihat dan subur’ apabila ia dinaungi oleh sistem kufur yang gelap gelita??

Syariah merupakan peraturan hidup bagi seluruh manusia tanpa melihat ras, bangsa, warna kulit dan lain-lain perbezaan fizikal manusia. Kenyataannya sekarang, syariah dilihat hanya kepada beberapa aspek kehidupan oleh kebanyakan umat manusia akibat terpengaruh dengan dakyah kufur Barat serta serangan sekularisasi. Syariah adalah peraturan yang diwahyukan oleh Sang Maha Pencipta yakni Allah Azza wa Jalla kepada manusia sebagai sistem yang mengatur hubungan manusia;

a. dengan Allah dalam urusan peribadatan (ritual),

b. dengan diri mereka sendiri (akhlak, makan-minum, pakaian)

c. dengan manusia lain dalam urusan sesama mereka (muamalat dan ‘uqubat)

Ini bererti sekiranya syariah tidak diterap sepenuhnya, maka Islam tidak akan dilihat sebagai cara hidup (deen) yang sempurna. Penerapan sekularisasi di Malaysia khasnya, membuatkan para pemimpin dungu tercari-cari jalan penyelesaian menerusi akal tanpa melihat lagi akar permasalahan. Projek demi projek, langkah demi langkah, permasalahan yang melanda umat tetap terus ‘mekar’, langsung tidak terjejas dengan usaha mereka kerana mereka gagal memanfaatkan akal mereka ke arah mengambil syariah sebagai “problem solving” (penyelesaian permasalahan). Sudah tentu, salah satu aspek yang dimasukkan dalam agenda projek sekretariat ini ‘manfaat’! Penubuhan sekretariat tersebut bukan percuma, ia menelan kos. Takkan pernah selesai masalah dalam bidang apa sekalipun selagi pemimpin masih sekular dan lemas tenggelam dalam timbunan najis kapitalisme.

Ingatlah, manusia hanya akan mulia dengan Islam.