Muktamar Antarabangsa Atas Talian: Penutup Kempen “100 Tahun Kejatuhan Khilafah, Ayuh Tegakkannya Wahai Kaum Muslimin” Anjuran Hizbut Tahrir
Kempen global “100 Tahun Kejatuhan Khilafah, Ayuh Tegakkannya Wahai Kaum Muslimin!” anjuran Hizbut Tahrir yang berlangsung di sepanjang bulan Rajab tahun ini telah pun melabuhkan tirainya.
Di sepanjang kempen, anggota Hizbut Tahrir di seluruh dunia telah melakukan pelbagai aktiviti seperti menyebarkan nasyrah, seruan dalam bentuk video, penulisan, ceramah dan lain-lain, dengan mengambil kira suasana Covid-19 di tempat masing-masing. Di samping itu, kenyataan-kenyataan media dari Hizbut Tahrir di pelbagai negara turut diterbitkan dan disiarkan di laman-laman sesawang dan dihantar ke stesen-stesen media. Semuanya dilakukan dalam rangka mengingatkan dan menyeru umat Islam kepada penegakan kembali Khilafah, yang merupakan kewajipan atas setiap Muslim.
Kempen global tersebut disudahi dengan penganjuran Muktamar Antarabangsa secara atas talian, yang membariskan pembicara-pembicara dari seluruh dunia, termasuk Amir Hizbut Tahrir sendiri, Syeikh Atha’ Bin Khalil Abu ar-Rashtah, melalui rakaman suara beliau. Manakala pembicara-pembicara lain, termasuk dari Malaysia, yang diwakili oleh Dr. Muhammad Abu al-Ain menyampaikan mesej masing-masing secara langsung (live) melalui pautan-pautan youtube yang telah disediakan oleh Hizbut Tahrir.
Turut menjadi pembicara dalam muktamar yang berlangsung selama lebih tiga jam itu ialah anggota Hizbut Tahrir dari Turki, Jordan, Kuwait, Britain, Pakistan dan Palestin. Sepanjang berlangsungnya muktamar, ia telah diterjemahkan kepada beberapa bahasa lain, termasuklah Bahasa Malaysia yang mula disiarkan pada jam 1 pagi hari Ahad waktu Malaysia (14/3/2021).
Di sepanjang muktamar ini, selain menyeru umat Islam kepada kewajipan mendirikan Khilafah, para penonton juga dibentangkan mengenai realiti kegagalan dan kerosakan sistem demokrasi buatan manusia yang mencengkam umat Islam dan umat manusia keseluruhannya, serta kepincangannya dari sudut praktikal, termasuklah dalam menghadapi pandemik COVID-19.
Muktamar turut diselang-seli dengan video-video pendek yang membawa mesej dakwah yang penting dalam usaha menegakkan Khilafah, di samping seruan Hizbut Tahrir kepada mereka yang mempunyai kekuatan, angkatan tentera, alim ulama’, pemuda-pemuda, para Muslimah, dan umat Islam keseluruhannya untuk bersama-sama Hizbut Tahrir dalam memperjuangkan penegakan semula Khilafah Rasyidah untuk kali yang kedua, yang telah dijanjikan oleh Rasulullah (saw).
Hizbut Tahrir, selaku sebuah parti politik Islam antarabangsa tanpa jemu mengingatkan umat Islam akan kewajipan yang telah 100 tahun terabai ini. Hizbut Tahrir mengajak umat Islam untuk bersama-sama meraih redha Allah (swt) dalam perjuangan menerapkan hukum-Nya di muka bumi ini melalui penegakan semula Khilafah Rasyidah, yang dengannya sekali gus umat Islam akan meraih kembali kemuliaan dan kekuatannya sepertimana berada di bawah naungan Khilafah suatu ketika dahulu.
Alhamdulillah kami bersyukur kepada Allah (swt) dengan kejayaan kempen ini, dan walaupun ia telah berakhir, namun perjuangan untuk menegakkan Khilafah akan diteruskan oleh Hizbut Tahrir sehinggalah Allah (swt) menganugerahkan kemenangan-Nya.
Ayuh Tegakkannya Wahai Kaum Muslimin!